Jika ada antara kita yang bujang, tidak bertemu jodoh dan tidak berkahwin semasa hayat di dunia, InsyaAllah di syurga nanti, Allah akan anugerahkan kita pasangan masing-masing.

Semasa itu, tidak akan ada perasaan tidak mahu berkahwin. Sesungguhnya syurga adalah tempat paling indah yang tak dapat digambarkan kehebatannya.

Ingin bertemu pasangan anda yang tampan atau cantik kelak? Kita baca ulasan ustaz Azhar Idrus berkenaan hal ini.

SOALAN:

Berkenaan kenyataan ustaz di dalam syurga tidak ada hidup membujang saya mohon ustaz sebutkan dalilnya untuk menambahkan pengetahuan saya.
Terima kasih.

JAWAPAN:

Di dalam syurga disediakan segala perkara yang disuka oleh hati manusia dan dicita-citakan di dalam hidup dunia seperti tempat tinggal yang mewah, kenderaan yang bagus, makanan yang lazat dan termasuk juga pasangan untuk bergembira.

IKLAN

Maka dari kerana itulah setiap ahli syurga akan mempunyai pasangan iaitu bersuami isteri. Walaupun ketika di dunia dia tidak berkahwin sehingga meninggal dunia.

Firman Allah Taala:
وَفِيهَا مَا تَشْتَهِيهِ الْأَنفُسُ وَتَلَذُّ الْأَعْيُنُ وَأَنتُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Ertinya: “Dan di dalam syurga itu segala yang diinginkan oleh nafsu dan perkara yang cantik dipandang segala mata dan kamu sekelian di dalam syurga itu nanti berkekalan.”(Az-Zukhruf : 71)

Di antara perkara yang sangat diinginkan oleh nafsu itu ialah mempunyai pasangan maka siapa yang mati dalam keadaan bujang akan mempunyai suami atau isteri di dalam syurga.

Ulama telah sepakat atas sesungguhnya di dalam syurga nanti tidak akan ada orang yang bujang tidak mempunyai pasangan sekalipun mungkin di dalam dunia ada orang yang tidak mahu berkahwin namun di dalam syurga tidak akan ada lagi perasaan tidak ingin berkahwin tersebut.

Maka jika di dunia lelaki itu mati dalam keadaan bujang nanti dia akan beristeri di dalam syurga dan jika perempuan mati dalam keadaan bujang nanti dia akan bersuami di dalam syurga.

Artikel berkaitan:Bagi Yang Bujang, Selalulah Baca Doa Ini Setiap Kali Lepas Solat. Semoga Tuhan Jodohkan Dengan Pasangan Yang Baik!

Artikel berkaitan:Buat Yang Masih Bujang Jangan Risau, Ini Rahsia Memilih Jodoh Dalam Islam

Telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah SAW bersabda :

إِنَّ أَوَّلَ زُمْرَةٍ تَدْخُلُ الْجَنَّةَ عَلَى صُورَةِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ وَالَّتِى تَلِيهَا عَلَى أَضْوَإِ كَوْكَبٍ دُرِّىٍّ فِى السَّمَاءِ لِكُلِّ امْرِئٍ مِنْهُمْ زَوْجَتَانِ اثْنَتَانِ يُرَى مُخُّ سُوقِهِمَا مِنْ وَرَاءِ اللَّحْمِ وَمَا فِى الْجَنَّةِ أَعْزَبُ
Ertinya : “Sungguhnya orang yang awal masuk ke dalam syurga ialah atas rupa bulan purnama dan yang mengiringinya pula atas rupa seperti bintang yang sangat terang sinarnya di langit. Bagi setiap ahli syurga dari mereka itu dua isteri yang mana dapat dilihat dari belakang daging akan sumsum dua betisnya dan tiadalah di dalam syurga itu orang yang bujang.”

Hadis di atas telah diriwayatkan oleh Imam Muslim dan ada juga dikeluarkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnad dan Ibnu Hibban di dalam Sahih Ibnu Hibban dan At-Tabarani di dalam Mu’jam Al-Awsath.

Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus