Hidup Miskin & Tinggal Di Dalam Stor Berhampiran Tangki Najis, Ibu Tunggal Empat Orang Anak Tak Pernah Abaikan Aspek Kebersihan

Share

Agama Islam sangat mementingkan soal kebersihan dan kesihatan. Selain menitikberatkan tentang penjagaan kebersihan, amat penting untuk mewujudkan suasana yang selesa di dalam semua keadaan sama ada ketika beribadat ataupun tidak. Islam amat menyukai orang yang cintakan kebersihan serta sentiasa menjaganya kerana kebersihan adalah asas kepada kesihatan.

Perlu diketahui bahawa menjaga kebersihan ini termasuk di dalam ciri-ciri orang yang beriman, sebagaimana dalam sebuah hadis Rasullullah SAW:

Maksudnya :

“Dari Abu Malik al-As’hari berkata : Sabda Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Kebersihan itu sebahagian daripada iman.” (Riwayat Imam Muslim)

Apabila seseorang yang hendak mendirikan sembahyang perlulah terlebih dahulu memastikan diri, pakaian dan tempat sembahyang bersih dan terhindar dari segala najis dan kotoran. Sekiranya soal tersebut diabaikan, sudah tentulah akan menjejaskan kesempurnaan sembahyangnya.

Umat Islam juga hendaklah peka dan bertanggungjawab untuk menjadikan tempat-tempat ibadat seperti masjid dan surau agar sentiasa dalam keadaan bersih, tidak dicemari dengan kotoran atau bau busuk dan begitu juga dengan segala kemudahan yang disediakan seperti tandas perlulah dijaga dengan baik dan memastikan kebersihannya.

BILIK STOR BERHAMPIRAN TANGKI NAJIS

Kisah seorang ibu tunggal dengan empat orang anak  yang dihimpit kesusahan dan terpaksa tinggal di dalam sebuah stor deretan kedai di depan bangunan Koperasi Guru Agama Kelantan Berhad di Jalan Long Yunus menarik perharian netizen.

Lebih menyedihkan, bilik stor tersebut terletak berhampiran tangki najis yang menjadi “taman permainan” anak-anak Najwa Lipayang, 31, yang berusia antara dua hingga 10 tahun. Turut tinggal bersama mereka, ibu Najwa, Ruzana Amat, 53.

Najwa yang berasal dari Thailand dan berkahwin dengan lelaki tempatan dikurniakan empat cahaya mata, Nur Airis Natasha Mohd Khalis, 10, Muhamad Hafiz Danial, 6, Muhamad Hazim, 4 dan Nur Aina Syuhada, 2, kesemuanya memiliki sijil kelahiran Malaysia.

Pasangan suami isteri itu, bagaimanapun bercerai pada Januari lalu, menyebabkan Nawja hilang tempat bergantung. Kerana kesempitan hidup itu juga, Nur Airis Natasha dan Muhamad Hafiz Danial berjalan kaki sejauh dua kilometer untuk ke Sekolah Sultan Ismail 2 selain kadang kala dihantar oleh nenek mereka.

BAKAL HILANG TEMPAT TINGGAL

Najwa berkata, stor yang menjadi tempat tinggal mereka itu ditumpangkan tanpa bayaran, namun malangnya perlu dikosongkan pada penghujung bulan ini.

“Stor inilah tempat kami tidur, walaupun tidak ada bilik, tiada tandas, tapi kami masih boleh berteduh dan berehat di sini.

“Kalau mandi kami mandi di luar sebab di sini tidak ada bilik air dan tandas kami tumpang milik bangunan kedai, tetapi selepas ini tidak tahu apa nasib kami kerana sudah tiada tempat tinggal,” katanya.

Menurutnya, dia ada mencari rumah sewa, namun perlu memikirkan kemampuan untuk menjelaskan bayaran bulanannya kerana hanya bekerja sebagai pembantu gerai.

“Pendapatan saya hanya RM20 hingga RM25 sehari bergantung kepada keuntungan jualan dan duit itulah yang digunakan untuk membeli lauk pauk dan makanan kepada anak-anak.

“Kadang-kadang kalau tidak ada duit sangat, saya bagi anak-anak sajalah makan nasi bersama lauk, saya pula makan nasi dengan kuah sahaja pun tidak apa-apa,” katanya.

PENTINGKAN KEBERSIHAN

Apa yang menarik perhatian dan menimbulkan rasa kagum terhadap wanita itu ialah sikapnya yang amat menitik beratkan aspek kebersihan. Baju-baju yang didermakan orang ramai kepada Nawja serta anak-anaknya berada dalam keadaan tersusun rapi.

Hanya ada sekeping tilam nipis, bantal, kipas kecil dan periuk nasi elektrik berserta sebuah meja buruk terletak kemas di bahagian masing-masing.

SUSUN BAJU DENGAN RAPI

Menurutnya, dia sangat menghargai pemberian orang ramai dan menjaga baju itu dengan rapi selain meletakkan plastik di luar bagi mengelak habuk atau terkena kotoran.

“Saya pula suka mengemas dan diri sendiri pun selalu berhias, tetapi kerana melihat kepada pemakaian saya yang kemas ini menyebabkan kadang-kala orang salah erti dan tidak percaya saya orang susah.

“Sebenarnya ini semua baju derma dan walaupun kami dalam keadaan serba kekurangan, saya kena jaga kebersihan kerana bimbang anak terkena penyakit, takut nanti sudahlah susah, sakit pula,” katanya.

Moralnya di sini, kemiskinan bukanlah alasan untuk seseorang itu mengabaikan aspek kebersihan. Islam itu sendiri sangat menitikberatkan soal menjaga kebersihan. Bahkan di sisi Islam, orang yang menjaga kebersihan itu adalah mereka yang mempunyai iman yang tinggi.

Sumber kredit: Sinar Harian dan Oh My Media

Published by
wan erni