Hukum Anak Enggan Ziarah Ibu Bapa Tetapi Beri Duit Belanja Bulanan

Share

Perselisihan keluarga antara anak dan ibu bapa memang biasa terjadi lantaran masing-masing mempunyai pandangan berbeza terhadap sesuatu perkara.

Akibatnya, kerana tidak mahu memperpanjangkan cerita, anak nekad untuk tidak mahu berbicara atau bersua muka kerana takut akan berlaku lagi perselisihan.

Mungkin dalam hal tertentu anak tidak bersalah dan terasa hati dengan tindakan ibu bapa. Perasaan susah memaafkan mula bersarang dan seterusnya mengambil keputusan tidak mahu menziarahi mereka. Bagi anak cukuplah dengan memberikan wang belanja bulanan dengan tanggapan telah tunaikan tanggungjawab sebagai anak.

Justeru sampai berapa lama mahu keadaan ini berlarutan? Enggan memaafkan dan tidak menzarahi mereka?

Artikel berkaitan: Derhaka Kah Anak Bantah Kata Ibu Paksa Ceraikan Isteri

Artikel berkaitan: Ziarah Kubur Ibu Bapa Tiap Jumaat, Doa Anak Derhaka Tetap Diterima Allah

Kita ikuti penjelasan Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al Hamid tentang kemelut yang memang banyak terjadi dalam keluarga Islam hari ini.

Allah berfirman dalam al-Quran surah al-Isra’ : Ayat 23

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan janganlah kamu semua menyembah melainkan Dia dan berbuat baiklah kepada dua ibu bapa.”

Allah SWT telah menegaskan bahawa semua hambaNya wajib berbuat baik kepada ibu bapa setelah mereka melaksanakan tanggungjawab menyembah Allah. Ini bermakna berbuat baik kepada orang tua adalah satu tanggungjawab besar dan berat, melihatkan kedudukannya setelah kewajipan menyembah Allah.

Jika orang tua kita sudah tiba pada usia tua atau emas, janganlah kita bersikap kasar terhadap mereka . Jangalah berkata “Ah!’ sekalipun. Jangan kita mengherdik mereka. Sedangkan mengeluarkan perkataan ‘Ah!’ pun tidak dibolehkan apatah lagi dengan memaki, apatah lagi dengan tidak menziarahi, jauh sekali ada rasa geram dan rasa nak marah.

Nak tunjuk muka kurang senang atau tidak suka kepada orang tua pun tak dibolehkan, apatah lagi kalau kita tak mahu memaafkan mereka.

Andai mereka bersalah sekali pun, kita WAJIB memaafkan mereka. Apa sebabnya? Sebabnya ialah kalau bukan kerana mereka, kita tidak akan lahir ke dunia ini dengan izin Allah. Apa yang kita dapat hari ini, semuanya adalah kerana orang tua kita. Bagaimana kita nak mengecap nikmat hidup kalau bukan dari redha mereka?

Apabila berlarutan rasa ego seperti ini, maka anak mengambil keputusan enggan menziarahi ibu bapa, Jika dahulu kerap, kini boleh dibilang setahun berapa kali sahaja berjumpa malah ada yang bertahun tidak menziarahi orang tua.

Jadi, apakah hukumnya jika anak sekadar memberi wang belanja tanpa datang menziarahi ibu bapa?

Ketahuilah oleh kita bahawa, memberi wang belanja yang ditanggung oleh anak, hukumnya WAJIB. Berbuat ihsan kepada orang tua, hukumnya WAJIB. Bila mana anak tidak menziarahi ibu bapa kerana geram dan marah akan mereka, di sini, si anak telah DERHAKA kepada orang tuanya. Sejahat-jahat orang tua, mereka tetap mempunyai hak untuk kita hormati.

Dalam kemelut seperti ini, sejauh mana batasan anak untuk tidak perlu taat kepada mereka? Jika ibu dan ayah kita menyuruh anak berbuat mungkar dan maksiat, maka anak tidak perlu mentaatinya.

Jika orang tua suruh berbuat maksiat, jangan ditaati, tetapi tetaplah berbuat baik kepada mereka. Walaupun tidak taat kepada orang tua yang menyuruh berbuat maksiat, kita tetap perlu hormati mereka. Kedudukan orang tua adalah pintu kepada anak untuk menuju ke syurga atau neraka.

Published by
Emma Masri