Apakah hukum membalas WhatsApp ketika khatib sedang berkhutbah? Kadang-kadang saya hanya membuka handphone untuk tempoh waktu yang sekejap bagi menghilangkan mengantuk. Mohon pencerahan.
Ringkasan Jawapan:
Hukum mendengar khutbah adalah sunat namun jika seseorang berbual atau melakukan apa-apa perbuatan yang boleh menganggu tumpuan mendengar khutbah maka hukumnya adalah makruh dan menghilangkan pahala Jumaat.
Termasuk dalam perkara yang menghilangkan tumpuan mendengar khutbah ialah bermain telefon seperti whatsapp atau lainnya. Dalam hadis Nabi SAW menganjurkan untuk mengubah tempat duduk atau mungkin jika kawasan tersebut terlalu sempit dia boleh mengubah cara duduk kerana pergerakan boleh membantu untuk menghilangkan rasa mengantuk.
Huraian Jawapan:
Menurut mazhab Syafi’i setiap jemaah disunatkan mendengar khutbah yang disampaikan oleh khatib[1] berdasarkan firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.”
Ads
Hal ini berdasarkan pandangan yang mengatakan bahawa ayat ini turun berkenaan dengan khutbah dan disebutkan mendengar al-Quran kerana dalam khutbah juga turut dibacakan ayat-ayat al-Quran. Suruhan perintah dalam ayat ini fahami dengan makna suruhan berdasarkan hukum sunat[2].
Di samping suruhan untuk mendengar khutbah orang ramai juga dilarang untuk bercakap dan berzikir. Namun harus difahami bahawa larangan untuk berzikir ini ialah bagi orang yang dapat mendengarkan khutbah. Adapun jika dia tidak mendengarkan khutbah dengan sebab jauh atau lainnya maka sunat untuk dia berzikir dengan perlahan dan tidak bercakap-cakap[3].
Maksudnya: Sesiapa yang berwuduk dan dia memperelokkan wuduknya, kemudian dia pergi menuju solat Jumaat serta mendengar (khutbah) dengan teliti, dan diam (semasa khutbah), akan diampunkan dosa-dosanya dalam tempoh antara dirinya dan juga hari Jumaat (yang akan datang), serta pertambahan 3 hari lagi. Dan sesiapa yang bermain dengan batu kecil, maka dia telah lagha.
(Riwayat Muslim)
Imam al-Nawawi ketika menerangkan makna hadis ini berkata bahawa hadis ini menunjukkan larangan untuk bermain dengan batu atau lainnya ketika sedang khutbah. Setiap orang hendaklah menumpukan sepenuh perhatian kepada khutbah yang sedang disampaikan. Dimaksudkan dengan lagha di sini ialah sesuatu perbuatan yang tercela dan tertolak[4].
Ads
Dapat difahami dari keterangan di atas bahawa Nabi SAW melarang dari melakukan perkara-perkara yang boleh menganggu tumpuan untuk mendengar khutbah. Antara bentuk ganguan tersebut ialah dengan membalas whatsapp atau lainnya ketika sedang mendengar khutbah. Manakala dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW memerintahkan untuk mengubah tempat duduk ketika dalam keadaan mengantuk. Sabda Nabi SAW:
Maksudnya: “Apabila salah seorang kamu mengantuk semasa dia berada di dalam masjid (pada hari Jumaat) maka hendaklah dia beralih kedudukan dari tempat duduknya itu kepada tempat yang lain.”
(Riwayat Abu Daud)
Sekalipun jika difahami dari hadis ini seolah-olah Nabi SAW membenarkan untuk melakukan sesuatu pergerakan yang boleh menghilangkan rasa mengantuk namun harus difahami bahawa perbuatan bermain telefon atau lainnya tidak boleh dikiaskan dengan berpindah tempat duduk bahkan yang lebih dekat bermain telefon lebih hampir hukumnya dengan bermain batu kecil yang menyebabkan seseorang itu tidak fokus mendengar khutbah seperti yang disabdakan Nabi SAW.
Kesimpulannya, hukum mendengar khutbah adalah sunat namun jika seseorang berbual atau melakukan apa-apa perbuatan yang boleh menganggu tumpuan mendengar khutbah maka hukumnya adalah makruh dan menghilangkan pahala Jumaat.
Termasuk dalam perkara yang menghilangkan tumpuan mendengar khutbah ialah bermain telefon seperti whatsapp atau lainnya sekalipun untuk tujuan menghilangkan rasa mengantuk. Dalam hadis Nabi SAW menganjurkan untuk mengubah tempat duduk atau mungkin jika kawasan tersebut terlalu sempit dia boleh mengubah cara duduk kerana pergerakan boleh membantu untuk menghilangkan mengantuk.
Mufti Perjelas Hukum Ibu Bapa Guna Duit Raya Anak. Kanak-kanak antara yang paling riang menyambut lebaran. Bahkan rezeki mereka juga cukup murah kerana tradisi pemberian duit raya membolehkan kanak-kanak mendapat sejumlah duit raya.
Masa yang sama, ibu bapa mungkin barang kali antara yang terkesan kerana sudah terlalu banyak mengeluarkan belanja untuk menyambut raya selain mempunyai hutang yang tinggi.
Mufti Perjelas
Persoalannya, adakah boleh ibu bapa ambil duit raya anak atau meminta seketika sebelum memulangkannya semula? Berikut hukum ibu bapa kena tahu.
Jumhur (majoriti) fuqaha’ di dalam mazhab asy-Syafie, Hanafi dan Maliki berpendapat bahawa ayah tidak boleh mengambil harta anaknya kecuali dalam keadaan yang memerlukannya sahaja. Lihat Mughni al-Muhtaj (3/446), Hasyiyah Ibn ‘Abidin (4/513), Hasyiyah ad-Dasuqi ‘ala al-Syarh al-Kabir (2/522)
Mereka berhujah berdasarkan keumuman hadith Nabi SAW bahawa tidak boleh diambil harta seseorang dengan sewenang-wenangnya. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:
Maksudnya: “ Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan di antara kamu adalah haram bagimu sepertimana kemuliaan pada harimu ini, di negerimu ini” Riwayat at-Tirmizi (2159)
Al-Mubarakfuri Rahimahullah telah berkata: “Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan kamu haram bagimu iaitu haram untuk diambil sebahagian daripada kamu ke atas sebahagian yang lain pada hari-hari lain sepertimana kehormatan pada hari ini iaitu pada hari Arafah (pendapat lain: hari raya korban), di negeri ini iaitu Mekah” Lihat Tuhfat al-Ahwazi (8/382)
Para fuqaha’ dalam mazhab Hanbali pula berpendapat bahawa seorang ayah berhak untuk mengambil harta anaknya secara mutlak, sama ada anaknya masih kecil mahupun sudah besar, namun dengan 2 syarat, iaitu:
Tidak memberi mudarat kepada anaknya dan tidak mengambil sesuatu yang menjadi keperluannya
Tidak mengambil harta daripada salah seorang daripada anaknya dan memberikannya kepada anak yang lain.
Lihat al-Mughni (6/62)
Mereka berhujah dengan hadith Nabi SAW:-
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رضي الله عنه, أَنَّ رَجُلا قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّه, إِنَّ لِي مَالا وَوَلَدًا وَإِنَّ أَبِي يُرِيدُ أَنْ يَجْتَاحَ مَالِي, فَقَالَ رسول الله صلى الله عليه وسلم: أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ
Maksudnya: Daripada Jabir bin Abdullah RA, sesungguhnya seorang lelaki telah berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki harta dan anak, dan ayahku ingin mengambil hartaku, maka Rasulullah SAW bersabda: “Kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu” Riwayat Ibn Majah (2291).
Hukum Ibu Bapa
Ustaz Azhar Idrus (UAI) juga pernah menjawab isu yang sama dalam ceramahnya.
“Perkara ini selalu berlaku dalam masyarakat kita. Ada yang menggunakan duit raya anak-anak untuk membeli sport rim, spoiler dan lain-lain. Haram guna duit raya anak-anak untuk kepentingan diri.
Guna Duit Raya Anak
Namun boleh gunakan duit raya anak-anak sekiranya dalam keadaan terdesak seperti bekalan elektrik hendak dipotong sebab tak bayar.
Yang mana masalah itu juga akan mendatangkan kemudaratan kepada anak-anak.
Jadi boleh gunakan duit raya anak-anak untuk membayar bil elektrik. Walau bagaimanapun ia perlu dibayar segera.” katanya.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Dalam mengagihkan daging korban di komuniti setempat boleh jadi juga ada kalangan bukan Islam yang menerima sama ada secara sengaja atau tidak.
Dalam hal ini apakah hukumnya? Adakah daging korban ini boleh diberi kepada bukan Islam. Ikuti penjelasan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Dalam mazhab Syafi’e, yang masyhur daging korban tidak boleh diberi kepada bukan Islam kerana korban adalah ketaatan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Namun begitu di dalam isu ini ia juga hendaklah dilihat dari sudut maslahah dan juga siyasah syar’iyyah supaya ia lebih harmoni dalam masyarakat.
Sekiranya di dalam komuniti masyarakat Islam di sesuatu tempat terdapat jiran-jiran mereka yang bukan Islam dan mereka itu dikenali dengan sifat baik serta ramahnya dengan masyarakat setempat, jika terdapat lebihan dari hasil korban maka dibolehkan untuk diberikan kepada mereka.
Namun jika hasil korban itu hanya mencukupi untuk orang Islam, maka dahulukanlah umat Islam setempat yang lebih memerlukan.
Ini kerana terdapat dalil dari Al-Quran agar berbuat baik kepada orang bukan Islam yang mana Allah SWT telah berfirman:
Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (Surah Al-Mumtahanah: 8)
Memberikan daging korban kepada orang bukan Islam juga adalah termasuk di dalam berbuat baik yang dibenarkan oleh Allah SWT.
Selain itu, terdapat juga hadith yang mengisyaratkan agar berbuat baik kepada jiran meskipun mereka bukan dari kalangan orang Islam.
Daripada Abdullah bin ‘Amr al-‘As R.Anhuma yang mana telah menyembelih seekor kambing buat ahli keluarganya lalu beliau berkata: Adakah kamu telah menghadiahkan (daging tersebut) kepada jiran kita Yahudi? (beliau menanyakannya sebanyak dua kali) kerana sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah SAW telah bersabda:
Maksudnya: “Sentiasalah Jibril AS mewasiatkan kepadaku (berbuat baik) kepada jiran (dengan baik dan sopan) sehingga aku menyangka bahawa Jibril AS mengarahkan daripada Allah SWT agar menjadikan mereka sebagai pewaris.” Riwayat Abu Daud (5152) & Al-Tirmizi (1943)
Apakah suami akan mendapat pahala apabila isteri bersedekah dengan duit yang diberi oleh suaminya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Sedekah merupakan satu perkara yang amat dituntut di dalam Islam apabila seseorang itu memiliki wang yang berlebihan. Tambahan pula, ganjaran atau pahala bersedekah ini amatlah besar sehinggakan ia disebut di dalam al-Qur’an:
Maksudnya: “Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai. Pada tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaan-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”
Sebahagian para ahli tafsir mengatakan ayat ini diturunkan pada menyatakan hebatnya sedekah yang dilakukan oleh dua orang sahabat Nabi SAW yang agung iaitu Abd al-Rahman bin Auf dan Uthman bin Affan. Akan tetapi, ayat ini juga termasuk sesiapa sahaja yang mengikuti jejak langkah dua orang sahabat Nabi SAW ini pada menggunakan hartanya di jalan Allah SWT. [Lihat: Tafsir al-Wasith, 602/1]
Ayat ini juga jelas menunjukkan akan kelebihan seseorang itu apabila dia menyedekahkan sebahagian hartanya pada jalan Allah SWT. Di samping itu juga, keikhlasan amat penting agar apa yang kita sedekahkan atau belanjakan diterima oleh Allah SWT dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain dengan tujuan agar kita dikenali atau digelar sebagai seorang yang kuat bersedekah.
Berdasarkan soalan di atas, terdapat hadith yang menunjukkan kelebihan seorang isteri bersedekah dengan menggunakan harta suaminya. Antaranya adalah:
Maksudnya: “ Jika seorang wanita (isteri) itu bersedekah dengan harta suaminya maka dia akan mendapat pahala, begitu juga dengan suaminya dan orang yang menyimpannya (hamba). Tidak ada seorang pun di antara mereka yang akan berkurang pahalanya. Suami akan mendapat pahala berdasarkan hasil usahanya, manakala isteri pula mendapat pahala daripada apa yang disedekahkan.” [Riwayat al-Tirmizi (671)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini hasan sahih]
Para ulama’ mengatakan tidak dibolehkan isteri dan hamba bersedekah dengan harta suami atau tuannya melainkan dengan izinnya. Hadith ini juga menunjukkan bahawa dibolehkan mengeluarkan sebahagian harta sebagaimana ia adalah adat ahli hijaz bahawa diserahkan urusan ini kepada ahli keluarga (isteri) atau hamba apabila ada orang yang memerlukan bantuan dan juga apabila adanya tetamu. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 277/3]
Hadith di atas membicarakan kelebihan atau pahala yang bakal diperolehi oleh isteri atau seseorang hamba itu bersedekah dengan harta suami atau tuannya dengan syarat setelah mendapat keizinan suami atau tuannya. Selain itu, pahala yang akan diperolehi tidak akan kurang antara satu sama lain.
Penutup
Kesimpulannya, bersedekah merupakan satu amalan yang mulia dan amat dituntut bagi sesiapa yang berkemampuan dan sedekah ini tidak hanya tertumpu kepada ahli keluarga terdekat atau jauh sahaja, bahkan ia melibatkan orang-orang yang berada di sekeliling kita juga. Akan tetapi, apa yang penting buat para isteri adalah perlu meminta izin suami jika itu adalah harta suaminya. Akhirnya, marilah sama-sama kita menanam sifat gemar bersedekah walaupan apa yang disedekahkan itu sedikit tetapi moga-moga dengan yang sedikit itu mampu membantu kita untuk masuk ke syurga Allah SWT. Semoga Allah SWT menjadikan kita semua dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa menginfaqkan atau menyedekahkan harta pada jalan Allah SWT. Amin.
Dalam Islam seorang isteri dilarang untuk keluar dari rumah tanpa mendapat keizinan daripada suaminya terlebih dahulu.Bagaimanapun timbul persoalan adakah pengecualian dalam larangan itu? Sebagai...