![Untitled design - 2025-02-14T112614.688](https://cdn.kashoorga.com/2025/02/Untitled-design-2025-02-14T112614.688-696x364.jpg.webp)
Sudah berpisah, namun bekas suami isteri terus berhubung dan berkawan baik demi anak. Ada masa keduanya juga bertemu malah da juga yang menghabiskan masa bercuti bersama. Alasannya supaya anak-anak tak terasa kehilangan susuk ibu atau bapa.
Dalam situasi bekas suami isteri bertemu apa hukumnya? Perkara ini ada dijelaskan dalam Irsyad Hukum Ke-298: Hukum Keluar Dengan Bekas Isteri Bersama Anak Kecil melalui laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Hukum asal harus
Pada asalnya, hukum bekas pasangan suami isteri berjumpa adalah sama seperti dua orang yang ajnabi (asing) berlainan jantina berjumpa. Berkenaan hukumnya, ia perlu melihat kepada keperluan.
Sekiranya tidak ada keperluan, sedangkan perjumpaan membawa kepada memandang, berkhalwat, dan bercakap secara mesra antara satu sama lain, maka tidak dibenarkan. Ini berdasarkan firman Allah ﷻ:
قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.” (Surah al-Nur: 30)
Berkata Imam Ibn Jarir al-Tobari berkenaan tafsir ayat ini: “Hendaklah mereka menahan pandangan mereka daripada apa yang mendatangkan syahwat pada padangan terhadapnya, daripada jenis perkara yang dilarang Allah untuk memandang kepadanya… maka itu lebih suci bagi diri mereka di sisi Allah dan lebih banyak kelebihan.”
Namun begitu, dalam situasi hajat dan darurat, harus sesama ajnabi itu memandang antara satu dan lain. Para ulama menggariskan beberapa panduan berkenaan hal-hal keperluan yang mengharuskan memandang:
-Meminang
-Belajar
-Berubat
-Bermuamalat
-Kesaksian dalam kes mahkamah
-Hakim meminta sumpah dan menjatuhkan hukum
Bertemu untuk berseronok diharamkan
Pengecualian ini berdasarkan kadar keperluan sahaja dan tidak melebihi daripada keperluan. Jika tujuannya adalah untuk berseronok-seronok, maka diharamkan.
Berdasarkan fakta dan hukum di atas, kami berpendapat hukum bekas pasangan suami isteri berjumpa adalah diharuskan. Ini kerana suami masih lagi memiliki tanggungjawab terhadap anak yang berusia empat tahun itu daripada sudut memberikan nafkah dan pendidikan.
Justeru, berjumpa dan berbual dengan bekas isteri bagi tujuan maslahat anak adalah diharuskan.
Namun begitu mereka tidak boleh bersendirian kerana mereka adalah ajnabi. Wajib terdapat orang ketiga yang boleh menemani mereka sama ada mahram bagi wanita atau wanita Muslim yang dipercaya dan diyakini boleh menegah mereka daripada melakukan perzinaan.
Tidak disyaratkan orang tengah tersebut adalah isteri kedua tersebut. Boleh juga sesi perjumpaan itu dibuat di khalayak ramai dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah.
Hukum ini berdasarkan hadis Abdullah bin Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ
Maksudnya: “Jangan sekali-kali seorang lelaki itu bersendirian dengan seorang perempuan melainkan terdapat bersamanya mahram.” Riwayat al-Bukhari (5233) dan Muslim (1341)
Dalam riwayat al-Tirmidzi (2165) daripada Ibn Umar R.Anhuma, Baginda ﷺ juga bersabda:
إِلَّا كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ
Maksudnya: “…melainkan antara kedua mereka ada syaitan (jika tiada mahram atau seumpamanya).”
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI