Menjelang hari raya korban bulan hadapan, sudah tentunya ramai yang ingin berhasrat melaksanakan ibadah korban.
Ibadah korban ini adalah usaha memenuhi anjuran syarak di samping menuruti sunnah Nabi Muhammad SAW.
Perintah untuk mengerjakan ibadah korban ini merupakan sunat muakkad dan ia amat digalakkan ke atas mereka yang berkemampuan agar melaksanakannya.
Maksud berkemampuan di sini ialah seseorang yang mempunyai harta atau wang melebihi perbelanjaan untuk dirinya sendiri dan mereka di bawah tanggungannya, sama ada makan, pakaian dan tempat tinggal pada sepanjang hari raya dan hari tasyrik.
Namun timbul persoalan bagi mereka yang tidak mampu melaksanakannya, adakah dibolehkan bagi mereka untuk berhutang bagi tujuan mengerjakan ibadah korban tersebut? Sama ada dengan cara meminjam wang dari orang lain atau pun dengan cara menggunakan kad kredit.
Memetik penjelasaan dalam laman web Mufti Wilayah Persekutuan, pada dasarnya tuntutan beribadat di dalam agama Islam bukanlah bertujuan untuk menyusahkan manusia. Allah SWT berfirman:
مَا يُرِيدُ اللَّـهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍ وَلَـٰكِن يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Al-Maidah; 5: 6
Maksudnya: “Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.”
Selain daripada itu, berhutang akan membebankan diri seseorang. Terdapat ancaman yang menunjukkan bahawa roh orang yang tidak melangsaikan hutang akan tergantung daripada tempat yang sepatutnya seperti mana yang dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
نَفْسُ الْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ
Maksudnya: “Roh seorang mukmin itu tergantung-gantung dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan.”
Walau bagaimanapun, melaksanakan korban dengan cara berhutang tetaplah sah disisi syarak. Hal ini kerana, berkemampuan bukanlah syarat sah ibadah korban sebaliknya ia merupakan syarat taklif.
Cuma tidak digalakkan untuk berhutang bagi tujuan melakukan ibadah korban kerana tuntutan untuk melakukannya adalah pada orang yang mampu melakukannya menggunakan wang sendiri.
Ia juga kerana Islam tidak pernah membebankan umatnya untuk melakukan sesuatu di luar kemampuan dirinya. Namun begitu, sekiranya seseorang yakin bahawa dia mampu membayar hutang tersebut dan tidak akan terbeban dengannya, maka dibolehkan untuk dia menggunakan pakej akikah secara ansuran yang ditawarkan.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan