Kerohanian

Hukum Beri Rating Rendah Kepada Penjual, Adakah Dikira Mengaibkan

Share

Salah satu perkara yang biasa kita buat selepas membeli barang secara online adalah memberi rating kepada penjual.

Tiada masalah jika puas hati dengan pembelian tapi jika sebaliknya,ramai yang bertindak memberi rating rendah kepada penjual.

Dalam situasi pembeli memberi ‘bad rating’ ini apakah hukumnya? Adakah pembeli dikira mengaibkan penjual atau sebaliknya.

Persoalan ini dirungkai oleh Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dalam portal kendalian beliau, Maktabah Al Bakri.

Firman Allah SWT:
وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْ
Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.” Surah al-Baqarah (275)

Imam al-Tabari dalam tafsirnya menyatakan bahawa Allah SWT membenarkan keuntungan yang diperoleh melalui perniagaan dan jual beli.
وَأَحَلَّ اللَّهُ الْأَرْبَاحَ فِي التِّجَارَةِ وَالشِّرَاءِ وَالْبَيْعِ
Maksudnya: “Dan Allah SWT menghalalkan keuntungan yang diperoleh melalui perniagaan dan jual beli.” (Lihat Tafsir al-Tabari 13/6)

Pada hari ini, penjualan secara online telah menjadi salah satu sumber rezeki khususnya bagi mereka yang baru menceburi bidang perniagaan. Ekosistem jual beli di platform e-commerce sebegini amat bergantung dengan penilaian (rating), jumlah barangan terjual (sold item) dan komen (review) pelanggan. Maka, penilaian (rating) yang rendah akan menyebabkan kehilangan pelanggan dan jualan merosot.

Wajar bagi mengelak penipuan

Berbalik kepada soalan di atas, sekiranya penjual menjual barangan yang rosak, maka wajar bagi saudari memberi “bad rating” kepada penjual tersebut. Hal ini bagi mengelakkan pembeli yang lain terjerat dengan penipuan yang dilakukan.

Rasulullah SAW telah menegaskan:
وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: “Dan barangsiapa yang menipu kami maka bukanlah dia daripada kalangan kami.” Riwayat Muslim (101)

Syams al-Haq al-‘Azim Abadi menyebut bahawa hadith ini menjadi dalil yang menunjukkan bahawa haramnya perbuatan menipu dan perkara tersebut telah disepakati. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 9/231)

Dalam hal ini juga, ia tidaklah dianggap mengaibkan. Bahkan, jika kita lihat pada hari ini juga banyak aplikasi seperti Shopee, Lazada, Shein dan seumpamanya yang telah memberi hak kepada pengguna untuk menilai sendiri penjual-penjual berkenaan.

Akan tetapi, jika sekiranya pembeli sengaja memberi rating yang rendah kepada penjual, walhal beliau telah menjual barang yang dalam keadaan baik, maka pembeli tersebut dikira berdosa kerana menimbulkan syak wasangka kepada orang lain.

Semoga bermanfaat.

Sumber: Maktabah Al Bakri

Published by
Team Kashoorga