Sempena Aidiladha nanti mungkin ada keluarga yang sepakat menumbang lembu untuk melakukan korban.
Dalam masa yang sama ada juga ahli keluarga mahu menyertai bahagian lembu ini tapi bukan untuk niat korban sebaliknya untuk akikah dan seumpamanya. Dalam hal ini apakah hukumnya berlainan niat untuk tujuh bahagian lembu ini.
Menurut penjelasan Mufti Perlis dalam laman web muftiperlis.gov.my, adalah dibolehkan seekor lembu atau unta yang hendak dibuat korban dikongsi tujuh orang dengan niat yang berbeza. Seperti sebahagian mereka bertujuan melakukan korban, manakala sebahagian lain bertujuan membuat akikah. Inilah pandangan majoriti ulama.
Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 5/91-92 dinyatakan:
Maksudnya: “Ulama mazhab Syafi‘e dan Hambali berbeza dengan ulama mazhab Hanafi. Ulama mazhab Syafi‘e dan Hambali berpandangan harus berkongsi orang yang berniat korban atau ibadah lain dengan orang yang hendaklah daging semata-mata, sekalipun yang berniat korban itu hanya 1/7 dari seekor unta, 1/7 lagi hendakkan hady, 1/7 lagi berniat akikah, dan baki yang lain hendakkan daging semata-mata, lalu disembelih seekor unta dengan niat-niat yang berbeza ini, maka ia adalah harus.
Ini kerana sesuatu perbuatan menjadi ibadah berdasarkan niat setiap orang yang berkongsi. Salah seorang dari mereka yang tiada berniat beribadah tidak merosakkan ibadah mereka yang lain.”
Dalil keharusan ini, antaranya berdasarkan hadis Jabir RA riwayat al-Bukhari dan Muslin yang berkata:
Maksudnya: “Kami diperintahkan oleh Rasulullah SAW untuk berkongsi pada unta dan lembu, setiap tujuh orang daripada kami seekor unta” Dalam riwayat lain di sisi Muslim, Jabir berkata:
Maksudnya: “Kami berkongsi bersama Nabi SAW ketika haji dan umrah bagi setiap tujuh orang daripada kami pada seekor unta.”
Bentuk pendalilan dari hadis ini iaitulah terdapat perintah dan perakuan jelas keizinan berkongsi melaksanakan korban dan hady (Haiwan sembelih yang dikorbankan di Tanah Haram Mekah).
Suatu yang sedia diketahui bahawa orang ramai dalam peristiwa haji wada’ terbahagi kepada kumpulan yang berbagai. Dalam kalangan mereka ada yang melakukan haji Tamattu’, ada yang Qiran, ada yang menyembelih hady wajib mahupun sunat dan ada yang menyembelih kerana dam melakukan tegahan haji.
Nabi SAW membenarkan mereka berkongsi seekor lembu atau unta seramai tujuh orang yang memiliki niat yang berbeza.
Bab poligami memang sensitif bagi wanita, namun ia amat digemari lelaki. Isu ini melibatkan soal hati. Walaupun Islam mengenakan syarat ketat mengharuskan poligami, namun wanita tidak yakin akan jaminan yang suami mampu berlaku adil setelah berkahwin lain.
Tidak hairanlah jika ada bakal isteri meletakkan syarat tidak mahu suami berpoligami. Kita ikuti penjelasan panjang Mufti Wilayah Persekutuan akan hal ini.
Assalamualaikum. Apakah hukum jika seorang isteri meletakkan syarat dalam perkahwinan bahawa suaminya tidak boleh berpoligami?
Adakah syarat ini sah disisi syarak, dan perlukah suami mematuhinya?
Jawapan:
Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Para ulama telah membahaskan isu ini dalam karangan-karangan mereka, dan kami bawakan sebahagian nukilan pandangan mereka:
Pertama: Mazhab Hanafi
Menurut Akmal al-Din al-Babarti, syarat seumpama ini adalah fasid, kerana ia berbentuk larangan ke atas perkara yang diharuskan syara’, namun ia tidak membatalkan nikah. Jika suami mematuhi syarat itu, maka isteri perlu diberikan mahar musamma, dan jika syarat itu tidak dipatuhi, isteri perlu diberikan mahar mitsil. Menurut Imam al-Sarakhsi pula, syarat sebegini tidak perlu dituruti oleh suami.
Kedua: Mazhab Maliki
Menurut Imam Malik, syarat seumpama ini adalah batil, namun nikah itu tetap sah. Beliau menukilkan pandangan Sa’id ibn Musayyib menyatakan perkahwinan seumpama ini adalah sah dan diharuskan.
Namun menurut satu atsar yang diriwayatkan oleh Al-Laith ibn Sa’ad dimana pada zaman Umar al-Khattab, seorang lelaki telah berkahwin dengan seorang wanita yang mensyaratkannya agar tidak membawanya keluar dari negeri asalnya. Umar apabila mendengar hal ini, telah mengangkat syarat itu dari lelaki tersebut, dan perkahwinan itu tidak dibatalkan.
Menurut Khalil ibn Ishaq al-Jundi, syarat-syarat yang dikenakan oleh isteri untuk bernikah seperti suami tidak boleh berpoligami, tidak boleh dibawa mengikuti peperangan dan tidak tidak boleh dibawa keluar daripada rumah dan seumpamanya adalah makruh, dan Imam Malik berkata beliau telah meminta para hakim untuk melarang orang ramai daripada terlibat dengan syarat-syarat seumpama itu.
Ketiga: Mazhab Syafie
Menurut para fuqaha’ mazhab Syafi’e iaitu Imam al-Nawawi, Ibn Hajar al-Haitami, Imam Khathib al-Syarbini dan Syeikh Zakariyya al-Ansari, syarat jenis ini dihukum sebagai fasid dan ia turut menyebabkan mahar menjadi fasid, namun ia tidak membatalkan akad nikah itu sendiri.
Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji juga ada disebut bahawa syarat seumpama ini adalah bercanggah dengan tuntutan nikah itu sendiri, tapi ia tidak menafikan tujuan asasi nikah iaitu menghalalkan persetubuhan. Syarat seperti ini ialah fasid, namun nikah itu tetap sah.
Keempat: Mazhab Hanbali
Menurut Ibn Qudamah, syarat nikah terbahagi kepada tiga, salah satunya ialah yang wajib dipenuhi oleh suami, yang berkait dengan maslahah terhadap dirinya sendiri, seperti suami tidak boleh berpoligami, tidak boleh dibawa bermusafir dan tidak dibawa menemani ke peperangan.
Jika syarat ini tidak dipenuhi, isteri berhak untuk menuntut fasakh. Pendapat ini juga diriwayatkan daripada Umar Al-Khattab, Sa’ad bin Abi Waqqas, Mu’awiyah, Amru bin Al-‘Aas R.Anhum, Syuraih, Umar bin Abdul Aziz, Thawus dan Al-Auza’ie.
Menurut beliau lagi, ini merupakan pandangan para sahabat dan beliau tidak dapati sebarang sanggahan daripada para sahabat lain pada permasalahan ini, maka ia menjadi ijma’.
Selain itu, sabda Nabi SAW juga: الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ
Maksudnya: Kaum Muslimin itu terikat dengan janji-janji mereka. Sunan Tirmidzi (1352) dan Sunan Abu Daud (3594)
Dakwaan bahawa syarat seperti ini mengharamkan yang halal juga tidak tepat, kerana syarat itu hanya berbentuk pilihan kepada isteri untuk menuntut fasakh daripada suami, jika syaratnya itu tidak dipatuhi.
Namun demikian, tidak diharuskan jika syarat itu menghendaki bakal suaminya untuk menceraikan isterinya yang sedia ada, kerana terdapat larangan yang jelas dalam hadith:
“Janganlah seorang wanita meminta bakal suaminya untuk menceraikan isterinya yang sedia ada dan merampas haknya. Berkahwinlah (walaupun tanpa menetapkan syarat demikian), sesungguhnya dia akan memperoleh apa yang Allah SWT telah tetapkan kepadanya” Sahih Muslim (1408)
Imam al-Mardawi pula menganggapnya sebagai satu syarat yang sah dan perlu dipatuhi, dan jika suami melanggar syarat ini, isteri berhak untuk memohon fasakh. Syeikhul Islam ibn Taimiyyah juga pernah ditanya soalan ini, dan beliau menyebut bahawa syarat tersebut adalah sah, dan suami perlu mematuhinya.
Antara dalil beliau ialah kata-kata Umar al-Khattab yang dihadapkan dengan satu kes melibatkan suami isteri yang telah bersetuju sewaktu akad supaya suami tidak berpoligami, beliau mengesahkan syarat tersebut dan berkata: Pemutus-pemutus hak itu bergantung kepada syarat-syarat yang ditetapkan.
Mengikut satu qaul Imam Ahmad yang diterima jumhur fuqaha’ mazhab Hanbali, mematuhi syarat ini hukumnya sunat, dan isteri berhak menuntut fasakh jika suami tidak mematuhinya.
Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah pula memilih pandangan yang mewajibkannya, dan ia adalah pendapat yang lebih sahih.
Namun demikian, jika isteri itu redha dengan pelanggaran syarat yang dilakukan oleh suami contohnya poligami ini, isteri tidak berhak lagi untuk menuntut fasakh.
Namun kedua-dua suami dan isteri tidak boleh mensyaratkan agar kedua-duanya tidak boleh berkahwin lagi setelah mereka bercerai atau salah seorang daripada mereka meninggal dunia.
Namun jika syarat seumpama ini ditetapkan setelah berlaku akad, maka syarat itu tidak lagi perlu dipatuhi. Namun kata Ibn Rajab, syarat itu tetap wajib dipatuhi meskipun ia ditetapkan setelah akad nikah, dan inilah pandangan yang azhar dalam mazhab Hanbali.
Perbahasan Pandangan Ulama dan Tarjih Imam Ibn Rusyd sewaktu memberi komentar tentang isu ini menulis: Para ulama’ berbeza pandangan pada hukum mematuhi syarat seumpama ini, seperti suami tidak boleh berpoligami, tidak boleh membawa isteri pergi berperang atau berpindah dari negerinya.
Manakala menurut al-Auza’ie dan Ibn Syubrumah, isteri berhak mengenakan syarat itu dan suami mestilah mematuhinya. Ibn Shihab juga menyatakan para ulama berpegang pada pendapat ini. Qaul mereka ini diriwayatkan daripada Ali dan Umar R.A. Adapun faktor perbezaan pandangan mereka ialah kerana percanggahan antara nas umum dan nas khusus. Nas umum ialah hadith daripada ‘Aisyah r.a:
Sesiapa yang mengenakan syarat yang tidak terdapat dalam al-Qur’an maka ia bathil, meskipun dia mengenakan seratus syarat sekalipun. Syarat Allah lebih benar dan dipercayai. Riwayat al-Bukhari (2155)
Manakala nas khusus pula ialah hadith daripada ‘Uqbah bin Amir: Sesungguhnya syarat yang lebih berhak untuk dipatuhi dan ditunaikan ialah syarat yang menghalalkan hubungan kelamin (syarat perkahwinan). Riwayat Muslim (1418)
Kedua-dua hadith ini adalah sahih, namun yang lebih masyhur dalam kalangan usuliyyun ialah mendahulukan nas khusus ke atas yang umum, dan dalam kes ini, wajib untuk mematuhi syarat yang telah dipersetujui bersama isteri.” (Rujuk Bidayah al-Mujtahid, 3/81-82)
Kesimpulan Tuntasnya, kami mentarjihkan pandangan yang mengharuskan syarat yang dikemukakan isteri sebelum akad agar suami tidak boleh berpoligami, dan para suami hendaklah mematuhi persetujuan yang telah ditetapkan bersama isteri, demi memelihara keutuhan rumah tangga yang harmoni.
Namun dalam masa yang sama, syarat-syarat yang diletakkan manusia bukanlah hukum Allah SWT yang tidak boleh dipinda dan diubah. Sikap toleransi dan berlapang dada mestilah diutamakan, dan dalam banyak keadaan, perbincangan hati ke hati pastinya akan menatijahkan hasil yang positif.
Maka, meskipun isteri memiliki hak untuk menuntut fasakh jika suami tidak mematuhi syarat yang ditetapkan, pertimbangan yang rasional dan pemikiran matang haruslah digunakan dalam membuat sebarang keputusan.
Kami akhiri dengan doa seperti yang diajar oleh Allah SWT:
“Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” (Surah al-Furqan: 74)
Adakah ada dalil, khususnya daripada sejarah Nabi atau sahabat yang jelas berhubung boikot? Ini kerana terdapat pandangan yang mengatakan boikot tidak pernah berlaku dalam sejarah Islam.
JAWAPAN:
Boikot barangan Yahudi sebenarnya sudah lama dilakukan oleh sahabat Nabi SAW lagi. Seperti yang dimaklumi, ketika umat Islam berhijrah ke Madinah, golongan Yahudi sememangnya memonopoli ekonomi dan pentadbiran Madinah.
Sejajar dengan semangat hijrah, Nabi SAW berusaha mengubah cara hidup bangsa Arab Madinah ketika itu dengan memupuk dalam diri mereka cinta kepada agama. Menerusi cinta agamalah mereka mampu menjadi pentadbir yang baik dan peniaga yang hebat.
Atas kegigihan mereka dalam mengubah nasib, umat Islam di Madinah berjaya melumpuhkan ekonomi dan pentadbiran Yahudi. Segala yang mereka miliki sebelum ini musnah akibat daripada boikot besar-besaran oleh umat Islam.
Tidak cukup sekadar itu saja, anjakan paradigma semakin membuak-buak dalam diri mereka apabila terdapat segolongan sahabat yang pakar dalam bidang perniagaan bersusah payah mendidik umat Islam Madinah berniaga dan sebagainya. Usaha ini secara tidak langsung makin melumpuhkan lagi ekonomi golongan Yahudi.
Antara contoh sahabat Nabi SAW yang berjaya berbuat demikian ialah Abdul Rahman bin Auf. Ketika beliau sampai di Madinah, pelbagai teknik dilakukan bagi tujuan menandingi industri perdagangan unta yang sebelum ini dimonopoli bangsa Yahudi.
Selepas usaha keras, beliau berjaya menambat hati masyarakat Madinah dan antarabangsa untuk membeli unta daripadanya. Keadaan menjadi lebih teruk lagi apabila umat Islam di Madinah turut memboikot usahawan Yahudi dalam semua sektor. Rentetan daripada keadaan itu, bangsa Yahudi terpaksa keluar dari Madinah sedikit demi sedikit.
Berhubung isu hukum memboikot sama ada wajib atau tidak, ia mestilah kembali kepada keadaan dan suasana. Boikot menjadi wajib apabila produk berkenaan adalah barangan yang mampu kita tinggalkan tanpa mendatang kemudaratan jika tidak mengambilnya.
Tetapi jika produk berkenaan adalah keperluan asas harian yang tidak dapat dihindari oleh umat Islam, maka adalah tidak salah bagi umat Islam untuk membelinya selagi mana tiada yang setanding dengannya. Apa yang penting di sini ialah memboikot dengan ilmu dan akhlak bukan memboikot secara terburu-buru tanpa berfikir panjang hingga mendatangkan kemudaratan yang tidak sepatutnya.
Hebatnya penangan raja buah pada musim ini sehingga ia telah tular dan menjadi kegilaan ramai.
Setiap kali tiba musim durian, pasti ramai orang akan membelinya dan kadang-kadang ada yang akan membuat jamuan dan pesta memakan durian.
BAU DURIAN DI BAWA KE DALAM SOLAT
Tahukah anda, buah durian yang sudah tua dan terlalu masak mengandungi alkohol. Disebabkan itulah, jika dimakan secara berlebihan, ia boleh memabukkan, malah boleh muntah kerana panas dari dalam.
Namun, menurut pandangan ulama’ seperti Mufti Indonesia, Imam Abu Hanifah dan ramai lagi, ia bukanlah alkohol yang sampai kepada hukum haram.
Menurut Imam Abu Hanifah lagi, hukum memakan durian adalah berbalik kepada hukum asal, iaitu harus dan tidak haram.
Hal ini kerana, segala jenis buah dan juga jus buah yang tidak diproses seperti arak, iaitu diperam selama tiga hari atau lebih adalah halal untuk dimakan.
Namun, perlu diingatkan untuk tidak berlebihan kerana bimbang boleh mengundang mudarat.
Hal ini ada disebut melalui firman Allah dalam kalamnya yang berbunyi:
“Dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”
(Surah Al-A’raf, 7:31)
Malah, tidak dapat disangkal lagi bahawa terdapat banyak kebaikan dan khasiat yang akan diperoleh jika kita memakan buah durian. Hal ini telah didasari oleh beberapa buah kajian saintifik yang telah dilakukan oleh pakar-pakar pemakanan mengenai keunikan durian.
Buah durian yang dikatakan mengandungi vitamin A, C, E, B1, B2, kalsium, protein, serat, karbohidrat, kalium dan fosforus dikatakan baik untuk kesihatan dan kecantikan kulit. Malah, antioksidan yang terkandung di dalam durian tersebut boleh mencegah dan menghilangkan jerawat.
Ia juga mengandungi tryptophan yang berfungsi untuk menenangkan fikiran dan tubuh serta boleh mengubati penyakit imsonia. Vitamin B-6 yang juga terkandung di dalam buah durian mampu menghasilkan serotonin yang berfungsi untuk mencegah tekanan secara semulajadi.
Akhir sekali, ia diyakini boleh mengawal keseimbangan gula dalam darah sehingga kadar gula menjadi normal.
Walau bagaimanapun, ia tidak digalakkan dimakan oleh golongan yang mempunyai penyakit diabetis dalam jumlah yang banyak kerana ia mengandungi karbohidrat yang tinggi dalam bentuk glokosa dan fruktosa, menurut Dr Zubaidi.
Sebenarnya, banyak lagi khasiat dan manfaat durian yang diperoleh oleh para penggemar durian sehingga ia diiktiraf sebagai buah paling sedap oleh peminat durian yang fanatik.
Walau bagaimanapun, pengambilannya perlu dielakkan sebelum ingin menunaikan solat, sama ada berjemaah atau tidak.
Hal ini kerana, baunya yang boleh menganggu kekhusyukan sesiapa sahaja dalam solat. Bukankah Allah telah berpesan bahawa, apabila solat, kita perlu meletakkan dunia dan isinya di luar agar tidak mengganggu ibadah kita.
Mafhum: “Dan berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.” (Surah Al-Mu’minun, 23:1-2)
Malah, dalam sebuah hadis nabi juga ada disebut bahawa mereka yang memakan benda-benda yang sangat kuat baunya perlulah dibersihkan mulutnya terlebih dahulu sebelum bersolat.
Maksud: “Siapa memakan bawang putih atau bawang, maka jarakkanlah mereka daripada kamu atau jarakkanlah daripada masjid kami.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Menurut tafsir Al-Allam Syarh ‘Umdatul Ahkam, makruh hukumnya memakan benda-benda yang berbau jika ingin solat selepasnya. Ia bukan sahaja untuk mengelakkan daripada jemaah lain tidak terganggu, malah malaikat dan makhluk lain di dalam masjid juga.
Oleh itu, muslim dinasihatkan untuk mengelakkan diri daripada memakan durian atau makanan lain yang berbau seperti petai, bawang dan sebagainya sebelum menunaikan solat untuk mengelakkan daripada mulut yang berbau.
Inisiatif lain ialah dengan membersihkan mulut untuk menghilangkan bau seperti bersugi atau menggosok gigi dengan bersih.
Hal ini adalah untuk menjaga kesucian dan maruah diri sendiri selain memberi keselesaan kepada jemaah lain juga.
KESIMPULAN
Makan durian secara beramai-ramai adalah tidak salah, malah digalakkan untuk membantu mengeratkan silaturahim. Namun, jika dimakan secara berlebihan dan sehingga mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri atau jemaah lain, ia perlulah dielakkan.
Islam tidak melarang umatnya untuk merasa nikmat dunia, namun perlu berjaga-jaga agar tidak merosakkan ibadah diri sendiri dan orang lain.
Keluar pejabat pada waktu bekerja untuk melakukan urusan peribadi ibarat satu kebiasaan. Ada yang memberitahu majikan tapi ramai juga yang keluar senyap-senyap hingga berjam-jam...