Umumnya kita sekarang berada dalam bulan Syaaban. Satu bulan sebelum bertemu Ramadan. Berkata Abu Bakar al-Warraq al-Balkhi rahimahullah mengatakan: “Rejab adalah bulan untuk menanam. Syaaban pula bulan untuk menyiram tanaman, manakala Ramadan bulan untuk menuai tanaman.” (Lataif al-Maarif)
Antara kelebihan terbesar bulan Syaaban yang disebutkan oleh Nabi SAW:
قَالَ : “ذلِكَ شَهْرٌ يَغفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ ، وَهُوَ شَهْرٌ تُرفَعُ فِيْهِ الأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ العَالَمِيْنَ ، فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عمَلِيْ وأَنَا صَائِمٌ”.
Maksudnya: “Itu adalah bulan yang mana manusia sering lalai akannya iaitu bulan yang berada di antara Rejab dan Ramadan. Bulan tersebut adalah bulan bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Rabb al-‘Alamin (Allah SWT), maka aku suka ketika amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa”. (HR Al-Nasa’ie)
Hadis ini diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid menunjukkan bahawa Nabi SAW lebih gemar amalannya diangkat ketika baginda SAW dalam keadaan berpuasa.
Dalam hadis yang lain juga diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha,
كَانَ أَحَبُّ الشُّهُوْرِ إِلَيْهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَصُوْمَهُ شَعْبَانَ ثُمَّ يَصِلُهُ بِرَمَضَانَ
Maksudnya: “Bulan yang paling disukai oleh Rasulullah SAW untuk melaksanakan ibadah puasa adalah Sya’ban, lalu baginda SAW melanjutkannya dengan Ramadhan.” (HR Abu Daud)
Namun menjadi pencanggahan pendapat ulamak bila terdapat juga hadis yang melarang berpuasa di pertengahan bulan Syaaban.
Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra:
إِذَا انْتَصَفَ شَعْبَانُ فَلَا تَصُوْمُوْا
Maksudnya: “Apabila tiba pertengahan bulan Sya’ban maka janganlah kalian berpuasa”. (HR Abu Daud, hadis sahih)
Dalam lafaz yang lain,
إِذَا كَانَ النِّصْفُ مِنْ شَعْبَانَ فَلاَ صَوْمَ حَتَّى يَجِىءَ رَمَضَانُ
Maksudnya: “Apabila tiba pertengahan bulan Sya’ban, maka tidak ada puasa sehingga datangnya bulan Ramadhan”. (HR Abu Daud, hadis sahih)
Berdasarkan kefahaman daripada hadis di atas jelas menunjukkan larangan untuk berpuasa setelah 15 hari akhir selepas Syaaban.
Dikuatkan lagi dengan hujah yang dibawa oleh Habib Hassan Al Kaff dalam kitabnya Taqrirat Sadidah mengatakan berpuasa pada setengah akhir di bulan Sya’ban bermula 16,17,18 sehingga akhir bulan adalah dilarang dan tidak sah.
Namun ada perbincangan lain dibahaskan oleh Habib dengan mengatakan 3 golongan terkecuali (dibenarkan) untuk berpuasa setelah 15 Sya’ban.
1. Jika itu adalah puasa yang Wajib. Seperti Qada’, Kaffarah atau Nazar.
2. Jika seseorang itu telah membiasakan dirinya untuk berpuasa sebelum ini. Seperti puasa isnin dan khamis.
3. Jika seseorang itu baru mula berpuasa pada 15 Sya’ban yang mana sebelum ini tidak pernah berpuasa. Maka golongan ini dibenarkan untuk berpuasa pada setengah Sya’ban yang kedua.
Seperti yang disebutkan dalam Matan Sofwah Zubad:
أَو وَصَلَ الصّوْمَ بِصَومٍ مرَّا
Maksudnya: Atau pernah puasa walau hanya sehari.
Antara hikmahnya ialah supaya umat Islam menyiapkan diri dan tubuh badan mereka sebelum menempuh bulan Ramadhan. Di mana pada bulan tersebut difardhukan bagi setiap orang Islam yang mukallaf untuk berpuasa sebulan penuh dalam bulan tersebut. Wallahu a’lam.
Kesimpulan
1. Sunat puasa dalam bulan Syaaban secara amnya.
2. Dibolehkan puasa sunat pada hari Nisfu Syaaban (15 Syaaban).
3. Dibolehkan puasa sunat pada 16-30 Syaaban bagi orang yang biasa puasa sunat sebelum itu.
4. Larangan puasa sunat pada 16-30 Syaaban bagi orang yang tidak biasa puasa sunat sebelum itu.
5. Dibolehkan puasa wajib seperti QADHA’, NAZAR dan seumpamanya pada 16 hingga 30 Syaaban.
Sumber: Ustazah Asma’ Harun