
Soalan
Kebiasaannya, ketika banjir agak susah untuk mendapatkan bekalan air bersih kecuali air minuman dibekalkan. Lalu bagaimana dengan wuduk yang kita ambil untuk bersolat?. Bolehkah kita menggunakan air banjir untuk mengambil wuduk sekiranya ketiadaan air bersih. Adakah mangsa banjir perlu menggunakan air banjir sebagai alat untuk bersuci ataupun bertayamum?
Jawapan:-
Pendapat kami, dibolehkan untuk mangsa banjir menggunakan air banjir sebagai alat untuk bersuci. Kata al-Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili:
“Sekiranya air berubah pada warna, bau, dan rasanya sama ada disebabkan oleh lamanya menetap, disebabkan debu tanah, lumut, tanah kibrit (sulfur), dan kesemua yang susah untuk dipelihara darinya, maka ia kekal suci lagi menyucikan.

Adapun jika air tersebut telah digunakan untuk berwuduk, mandi, serta menghilangkan najis maka ia tidak lagi berada dalam keadaan suci lagi menyucikan.” Rujuk al-Muktamad fi Fiqh al Syafie (1/38).
Wallahua`lam.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Perlu Atau Tak Basuh Bersih Tuala Wanita Sebelum Buang, Ini Hukumnya Kena Ambil Tahu

Soalan :
Adakah perlu membasuh tuala wanita sebelumnya membuangnya kerana saya ada terdengar yang mana jika tidak dibasuh sebelum membuangnya Jin akan makan darah haid yang ada pada tuala tersebut. Adakah terdapat sebarang hadis atau athar yang berkaitan?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Tiada sebarang athar atau hadis yang menunjukkan bahawa tuala wanita yang terkandung darah haid perlu dibasuh terlebih dahulu sebelum membuangnya. Bahkan tidak ada riwayat dari para Sahabat dari kalangan wanita menyatakan bahawa mereka membasuh tuala tersebut sebelum membuangnya. Juga tidak terdapat arahan dari Nabi agar membasuhnya. Yang Nabi arahkan adalah jika darah tersebut terkena pakaian sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Asma’ Binti Abu Bakar. Kata beliau :
سَأَلَتُ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- عَنْ دَمِ الْحَيْضَةِ يُصِيبُ الثَّوْبَ فَقَالَ : حُتِّيهِ ثُمَّ اقْرُصِيهِ بِالْمَاءِ ثُمَّ رُشِّيهِ فَصَلِّى فِيه
Maksudnya :” Aku bertanya kepada Nabi saw tentang darah haid yang terkena pada pakaian. Nabi saw bersabda : basuhlah ia dan gosoklah ia dengan air serta siramlah ia (setelah digosok). Kemudian solatlah dengan pakaian tersebut.”
Riwayat al-Tirmizi (138) & Abu Daud ( 362)
Adapun membasuh tuala wanita sebelum membuangnya, tidak pernah diarahkan oleh Nabi saw. Ini dapat dilihat dari zahir hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri. Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw :
أَنَتَوَضَّأُ مِنْ بِئْرِ بُضَاعَةَ وَهِيَ بِئْرٌ يُلْقَى فِيهَا الْحِيَضُ وَالنَّتْنُ وَلُحُومُ الْكِلَابِ قَالَ الْمَاءُ طَهُورٌ لَا يُنَجِّسُهُ شَيْءٌ
Maksudnya :” Adakah boleh kami mengambil wuduk dari perigi yang mana dibuang di dalamnya kain-kain yang terkandung darah haid, nanah dan daging anjing. Sabda Nabi saw : Air itu suci dan tidak dinajiskan oleh sesuatu,”
Riwayat al-Tirmizi (66) & Ahmad (11257) di dalam Musnadnya
Zahir hadis menyatakan bahawa الحِيض iaitu kain tuala wanita dibuang tanpa dibasuh terlebih dahulu. Jika kain tersebut dibasuh, masakan ada yang bertanya tentang kesucian air perigi tersebut.
Kami menyatakan bahawa tiada sebarang hadis atau athar yang menyatakan perlu membasuh tuala tersebut sebelum membuangnya. Adalah tidak benar jika ada yang mengatakan bahawa ia perlu dibasuh terlebih dahulu kerana dibimbangi akan menjadi makanan jin. Namun tidak dinafikan bahawa syaitan adalah antara kalangan yang memang menyukai perkara-perkara yg kotor & najis. Ini berdasarkan hadis daripada Anas bin Malik yang menyebut doa Rasulullah saw ketika masuk ke dalam tandas. Rasulullah berdoa :
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْخُبُثِ وَالْخَبَائِثِ
Maksudnya :” Ya Allah aku berlindung dengan Engkau dari al-Khubuth dan al-Khabaith.”
Riwayat al-Bukhari (6322)

Kata al-Khattabi :
“al-Khubuth adalah kata jamak bagi al-Khabith yang membawa makna syaitan jantan. Manakala al-Khabaith adalah kata jamak bagi al-Khabithah yang membawa makna syaitan betina.”
Rujuk Ma’alim al-Sunan (1/10)
Cuma kami mengesyorkan beberapa perkara :
Tuala tersebut perlu dibuang di tempat yang khusus. Jika boleh asingkan dari tempat buangan yang biasa digunakan seperti mana yang dilakukan di hospital.
Jangan dibuang merata-merata seperti di mangkuk tandas dan lain lain tempat yang tidak sesuai. Ini kerana, ia boleh menimbulkan suasana tidak selesa.
Wallahu’alam.
SUMBER: PEJABAT MUFTI WILAYAH
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
‘Usaha Abdikan Diri Pada Allah.’ Amalkan 5 Tip Ini Agar Terus Istiqamah Selepas Ramadan

Isi Kandungan
Toggle‘Usaha abdikan diri pada Allah.’ Ustazah Asma’ Harun kongsi 5 tip ini agar kita terus istiqamah selepas Ramadan. Jika sebelum ini, sepanjang bualn puasa kita fokus beribadat, apa salahnya kita teruskan.
Jangan hanya jadikan satu bulan saja untuk mengejar pahala, sebaliknya masih ada bulan-bulan lain untuk kita beribadat dan mengabdikan diri kepada Allah SWT.
Ikuti perkongsian Ustazah Asma’ Harun dan hadam baik-baik cadangannya agar kita semua terus kekal istiqamah.
Artikel Berkaitan:
Hikmah Ramadan, Mila Jirin Tekad Mahu Jaga Aurat Lebih Sempurna Setelah Baca Tafsiran Surah An-Nur
Usaha Abdikan Diri
Alhamdulillah kita syukur dan gembira menyambut kehadiran Syawal yang mengeratkan lagi hubungan sesama keluarga tercinta. Namun, kita tetap perlu muhasabah diri selepas Ramadan berlalu.
Adakah kita bersungguh manfaatkan Ramadan agar membentuk diri kita menjadi lebih baik dari sebelumnya? Maka, mari sama-sama kita renungkan apa perkara yang boleh kita lakukan supaya istiqamah dalam usaha mengabdikan diri kepada Allah SWT.
1. BACA AL-QURAN SETIAP HARI
Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ.
Maksudnya: “Tidaklah sekumpulan orang berkumpul di rumah Allah untuk membaca Al-Quran, melainkan mereka akan diliputi ketenangan, rahmat, dan dikelilingi para malaikat, serta Allah akan menyebut-nyebut mereka pada malaikat-malaikat yang berada di sisi-Nya.
[HR Muslim, hadis sahih]
Alhamdulillah, seronok bila tiba bulan Ramadhan kita bersungguh dalam membaca Al-Quran dan perbaiki bacaan. Maka teruskan semangat itu walau bulan Ramadhan sudah berlalu.
Pada Allah
2. SEMPURNAKAN PUASA ENAM SYAWAL
Rasulullah SAW telah bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ
Maksudnya: “Siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diteruskan dengan enam hari (berpuasa) di bulan Syawal, ibarat dia berpuasa sepanjang tahun.”
[HR Muslim, hadis sahih]
SubhanAllah, amat rugi bagi siapa yang tak rebut ganjaran berpuasa sepanjang tahun ini, kerana kita telah rasai cabaran berpuasa selama 30 hari berturut-turut, maka jangan sia-siakan kemudahan yang Allah SWT sediakan kepada kita di bulan Syawal ini.
3. JANGAN TINGGALKAN SOLAT SUNAT RAWATIB
Daripada Ummu Habibah R.’Anha, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَلَّى فِي يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً بُنِيَ لَهُ بَيْتٌ فِي الْجَنَّةِ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الْفَجْرِ.
Maksudnya: “Siapa yang mengerjakan solat (sunat) sebanyak dua belas rakaat dalam sehari semalam kelak akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga.
Dua belas rakaat itu adalah empat rakaat sebelum solat Zohor, dua rakaat setelah solat Zohor, dua rakaat setelah solat Maghrib, dua rakaat setelah solat Isyak dan dua rakaat sebelum solat Subuh.”
[HR Tirmizi, hadis sahih]
Solat sunat ini mungkin terasa berat pada awalnya, tetapi bila sudah biasakan diri melakukannya dengan istiqamah, insyaAllah solat sunat rawatib ini akan terasa ringan.
Amalkan 5 Tip Ini
4. LAKUKAN KEBAIKAN WALAU SEDIKIT, TETAPI BERTERUSAN
أَحَبُّ الْعَمَل إِلَى اللَّهِ تَعَالَى مَا دَاوَمَ عَلَيْهِ صَاحِبُهُ وَإِنْ قَل
Maksudnya: “Amalan yang paling disukai oleh Allah SWT adalah yang berterusan walaupun sedikit.”
[HR Muslim, hadis sahih]
Jika di bulan Ramadhan yang lalu kita kerap bersedekah, memberi makan kepada orang ramai, membuat amal kebajikan, maka teruskan juga usaha tersebut pada bulan-bulan berikutnya.
Tak perlu amalan yang berat atau di luar kemampuan, memadai yang sedikit tapi boleh dilakukan secara berterusan.
5. BERDOA SEMOGA ALLAH BERI KEKUATAN UNTUK ISTIQAMAH
رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ
Maksudnya:
“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat di sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi.”
(Surah Ali-Imran: 3)
Kemampuan kita untuk melaksanakan amal ibadah dengan tubuh badan kita adalah kerana dengan izin Allah SWT. Sekiranya Dia tidak mengizinkan, nescaya ibadah yang mudah pun kita tak akan mampu lakukan.

Oleh itu, banyakkan memohon kepada Allah agar diberi hidayah dan taufiq untuk melakukan amal-amal soleh.
Agar Terus Istiqamah Selepas Ramadan
Allah S.W.T sentiasa membuka peluang untuk kita beribadah untuk menggantikan masa-masa yang sudah kita sia-siakan.
Contohnya, berusaha sungguh-sungguh untuk meraih malam Lailatul Qadar, mengerjakan umrah Ramadhan yang diganjari seperti berhaji bersama Rasulullah S.A.W.
Daripada Saidatina ‘Aisyah Radhiyallahu anha, berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مَا لَا يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW lebih giat (dalam beribadah) pada sepuluh hari terakhir (Ramadan) yang tidak baginda lakukan pada hari-hari lainnya.”
[HR Muslim, hadis sahih]
Baca Di Sini:
Ramadan Kali Ini Sangat Berbeza. Perlu Persiapan Rohani Yang Mantap Untuk Sambutnya Ketika Musibah
Kashoorga: Mengejar pahala bukan hanya di bulan puasa saja.
Sumber: Asma’ binti Harun & Tim Penyelidikan
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Jangan Disebabkan Najis Kucing Kita Tak Masuk Syurga!

Salah satu pemandangan biasa di kawasan perumahan adalah kehadiran kucing-kucing jalanan berlegaran mencari makanan. Tidak dinafikan, rezeki mereka ini pasti ada kerana ramai juga yang suka memberinya makan.
Namun dalam kemurahan hati memberi makan, ada juga kalangan jiran yang tidak sukakannya. Bukan membencinya tetapi mungkin alergik dan ingin memelihara kebersihan persekitaran kerana terganggu dengan bau busuk tinja kucing yang menyengat.
Kucing jalanan ini biasanya akan membuang hajat di halaman kediaman kejiranan tanpa mengira rumah siapa pun. Najis kelihatan di merata tempat; dalam pasu tanaman, depan pagar utama, anjung meletak kereta dan banyak lagi tempat yang mengundang rasa marah dan geram ‘mangsa’.
Artikel berkaitan:Perlukah Kita Bayar Zakat Kerana Mengkasi Haiwan Peliharaan Seperti Kucing?
Artikel berkaitan :Kucing Bukan Sekadar Makhluk Yang Suka Tidur, Tapi Lindungi Kita Di Malam Hari Dari Roh Jahat
Isu ini sering menjadi perbincangan hangat dalam grup whatsapp kawasan perumahan. Kita ikuti apa hukumnya memberi makan kucing jalanan sehingga jiran-jiran terganggu disebabkan najis-najisnya berselerakan oleh SS Mufti Wilayah Persekutuan.
Pada asalnya sunat untuk memberi makanan kepada kucing jalanan selagi mana tidak mengganggu ketenteraman awam.
Justeru, keutamaan wajib diberi berdasarkan keadaan di tempatnya, sekiranya memberi makanan tersebut akan mengganggu dan menyusahkan jiran tetangga disebabkan najis atau bau yang tidak menyenangkan, maka perbuatan memberi makan itu adalah tidak digalakkan bagi menjamin keharmonian hubungan antara jiran.
Sebaiknya gunakan kebijaksanaan dalam mempertimbangkan kaedah yang terbaik bagi mendapat dua kebaikan, iaitu kebaikan dalam menjaga hubungan di antara jiran dan juga kebaikan dengan memberi makan kepada kucing jalanan.
Memberi makan kepada kucing jalanan merupakan salah satu sikap yang terpuji dan Islam mengajar umatnya supaya berbuat baik sesama makhluk sekalipun terhadap haiwan.
Ini adalah sifat ihsan yang diterapkan di dalam agama Islam. Nabi SAW menceritakan berkenaan dengan kebaikan yang dilakukan oleh seorang pelacur sehingga diampunkan dosanya hanya dengan memberi minum seekor anjing yang kehausan dengan menggunakan kasutnya.
Ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, daripada Nabi SAW bersabda:
أَنَّ امْرَأَةً بَغِيًّا رَأَتْ كَلْبًا فِي يَوْمٍ حَارٍّ يُطِيفُ بِبِئْرٍ قَدْ أَدْلَعَ لِسَانَهُ مِنَ الْعَطَشِ فَنَزَعَتْ لَهُ بِمُوقِهَا فَغُفِرَ لَهَا
Maksudnya: Sesungguhnya seorang pelacur wanita melihat seekor anjing mundar-mandir mengelilingi telaga pada hari yang sangat panas dengan lidahnya yang terkeluar kerana kehausan, lalu perempuan itu memberi minum menggunakan kasutnya, maka dia diberi pengampunan segala dosanya. (Riwayat Muslim: 2245)
Selain itu, tanggungjawab untuk menjaga nafkah dan keperluan haiwan yang dipelihara adalah wajib di atas tuannya.
Sekiranya seseorang itu gagal memenuhi keperluan haiwan peliharaannya itu maka ia akan menanggung dosa di atas perbuatannya, seperti tidak menyediakan makanan, tempat tinggal dan kebersihannya.
Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar r.a, sabda Nabi SAW:
دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا، فَلَمْ تُطْعِمْهَا، وَلَمْ تَدَعْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ
Maksudnya: Seorang wanita dimasukkan ke dalam neraka disebabkan seekor kucing yang ditambatnya, tidak diberi makanannya, dan tidak melepaskannya untuk mencari makanan di atas muka bumi (Riwayat Muslim: 2619)
Berbalik kepada persoalan, tanggungjawab dalam menjaga kebajikan haiwan adalah salah satu perkara yang perlu dilakukan oleh penjaganya, terutamanya dalam menjaga kebersihan sehingga tidak mengganggu jiran tetangga yang lain.

Dalam hal ini, keharmonian jiran tetangga merupakan perkara yang sangat penting dan perlu diberi perhatian oleh setiap umat Islam. Baginda Nabi SAW memberi amaran kepada umatnya bahawa tidak akan dimasukkan ke dalam syurga kepada sesiapa yang melakukan sesuatu perkara sehingga mengganggu jiran tetangganya.
Ini jelas seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ لاَ يَأْمَنُ جَارُهُ بَوَائِقَهُ
Maksudnya: Tidak akan masuk syurga bagi seseorang itu apabila jirannya tidak merasa aman dengan gangguannya (Riwayat Muslim: 46)
Nabi SAW menasihatkan para sahabatnya supaya berbuat baik kepada jirannya kerana sikap dan keperibadian seorang muslim yang sejati itu adalah mereka yang sentiasa berbuat baik kepada jiran tetangganya.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, berdasarkan kepada persoalan yang diajukan di atas serta nas yang diberikan, pada asalnya sunat untuk memberi makanan kepada kucing jalanan selagi mana tidak mengganggu ketenteraman awam.
Justeru, keutamaan wajib diberi dengan berpandukan keadaan ditempatnya, sekiranya dengan memberi makanan tersebut akan mengganggu dan menyusahkan jiran tetangga disebabkan najis atau bau yang tidak menyenangkan, maka perbuatan memberi makan itu adalah tidak digalakkan bagi menjamin keharmonian hubungan antara jiran.
Sebaiknya kebijaksanaan dalam mempertimbangkan kaedah yang terbaik bagi mendapat dua kebaikan, iaitu kebaikan dalam menjaga hubungan di antara jiran dan juga kebaikan dengan memberi makan kepada kucing jalanan.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI