
Kucing kesayangan mati memang boleh menyebabkan kesedihan pada seluruh ahli keluarga. Dalam masa yang sama ia juga boleh menimbulkan dilema terutama jika tinggal di kediaman bertingkat.
Bagaimana hendak menguruskan bangkai haiwan peliharaan yang mati ini. Perlukah dibuang dalam tong sampah atau ditanam.
Dalam hal ini Islam sebenarnya tidak mensyariatkan kewajipan ke atas perbuatan menanam bangkai haiwan, bahkan ia hanyalah bersifat harus dan boleh dibiarkan begitu sahaja bangkai tersebut tanpa ditanam.
Namun begitu, jika bangkai haiwan ini tidak ditanam dan boleh mendatangkan kemudaratan terhadap manusia dan juga makhluk-makhluk lain di sekelilingnya maka dengan itu, hukum menanam bangkai haiwan tersebut jatuh kepada hukum wajib.
Seperti sedia maklum, bangkai haiwan yang tidak ditanam akan mereput dan menyebarkan kuman-kuman seperti bakteria ataupun virus yang boleh memberikan pelbagai jenis penyakit kepada manusia, selain ia juga mendatangkan bau dan pemandangan yang kurang menyenangkan, apatah lagi jika ia dibiarkan di kawasan orang ramai seperti di masjid, taman perumahan dan sebagainya. Maka, perkara-perkara ini adalah kemudharatan yang mestilah diangkat dan dijauhkan dari diri manusia.
Maka, perlulah ditanam haiwan tersebut atau dikebumikannya dengan baik. Perkara ini turut berkait dengan salah satu kaedah usul Fiqh iaitu سد الذرائع (menutup jalan yang membawa kepada kemudharatan atau kerosakan).
Sebagai panduan boleh gunakan kaedah berikut untuk menanam bangkai haiwan ini.
1. Lokasi
Kalau haiwan peliharaan anda mati, tanam saja di kawasan rumah. Tak kisah depan atau belakang rumah. Cuma pastikan ia tidak berbau dan tidak mengganggu kejiranan. Jika ada haiwan yang mati dilanggar, seeloknya tanam di kawasan berdekatan kejadian.
2. Tanam dalam lubang
Buat lubang atau ‘kubur’ kucing. Ukuran lubang sebaiknya dua kali panjang kucing dan sedalam 30cm. Lebih dalam, lebih bagus supaya mengelakkan bau atau dikesan oleh haiwan lain dan digali. Kelebaran lubang bergantung pada saiz kucing atau haiwan peliharaan anda. Pastikan lubang kering.
3. Alas
Alaskan haiwan peliharaan anda dengan daun segar. Lebih baik jika daun yang besar dan lebar seperti daun pisang. Dengan berlapikkan daun segar, ia membantu mengurangkan bau bangkai haiwan tersebut.
4. Timbus lubang
Selesai masukkan kucing, kambuskan tanah dalam lubang sehingga padat. Banyakkan tanah supaya tidak digali oleh haiwan lain.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Amalan ‘Mengambil Berkat’ Dalam Islam, Kena Tahu Bezakan Antara Berkat Yang Dibenarkan & Berkat Yang Salah

Isi Kandungan
ToggleBaru-baru ini banyak diperkatakan tentang perbuatan ‘mengambil berkat’ dilakukan oleh ahli sebuah pertubuhan Islam yang dikaitkan dengan ketaksuban terhadap pemimpin mereka.
Ada yang dilihat keterlaluan malah menjijikkan bila sanggup meminum air rendaman janggut dan air basuhan badan pemimpin. Ada yang memandang serius hal ini malah tak kurang yang menjadikan ia satu bahan lawak.
Tapi perlu dijelaskan dalam Islam hukumnya perlakukan mengambil berkat atau bertabarruk ini dan adakah dalil yang mengharuskan ‘mengambil berkat’ ini.
Pencerahan tentang perkara ini dibuat oleh Ustaz Wadi Annuar dalam satu hantaran beliau di media sosial.
Kena tahu makna mengambil berkat
Berkaitan dengan mengambil berkat dengan seseorang atau sesuatu, umat Islam mesti mempunyai ilmu untuk membezakan mengambil berkat yang dibenarkan, mengambil berkat yang salah dan boleh tersesat. Untuk memahaminya, kita kena tahu makna mengambil berkat.
Mengambil berkat bermaksud: mengharapkan berkat daripada Allah ﷻ dengan perantara sesuatu. Setiap orang Islam perlu memahami bahawa keberkatan itu datangnya dari Allah ﷻ. Keberkatan tidak datang dari mana-mana benda atau individu.
Dalam al-Quran Allah ﷻ berfirman:
Maksudnya: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan(Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”(Surah al-A’raf: 96)
Al-Allamah Raghib al-Asfahani berkata di dalam kitabnya al-Mufradat fi Gharib al-Quran: Yang dinamakan berkat kerana kebaikannya yang tetap pada perkara yang diberkati seumpama tetapnya air dalam bekas.
Hukum Bertabaruk Dengan Orang-Orang Soleh
Terdapat perbezaan pandangan ulama mengenai hukum bertabaruk dengan orang soleh. Sebahagian ulama berpandangan bahawa hukumnya adalah harus manakala sebahagian lagi tidak membenarkannya.
Jumhur ulama dalam kalangan ulama empat mazhab membenarkan untuk bertabaruk dengan orang soleh. Perbahasan mengenai bertabaruk dengan orang soleh dibincangkan pada pelbagai bab dalam kitab fiqah.
Dalil-dalil keharusan bertabaruk dengan orang-orang soleh:
- Al-Quran
Maksudnya: “Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka: “Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya dari Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa daripada Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi-Nabi Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman”. (Surah al-Baqarah: 248)
Disebutkan dalam kitab al-Futuhat al-Ilahiyyah karangan Syeikh Sulaiman al-Jamal bahawa Bani Israel memiliki sebuah berkas yang akan diletakkan di hadapan mereka ketika mereka ingin berperang. Mereka mengharapkan kemenangan melaluinya. Dalam bekas tersebut mengandungi antaranya serban Nabi Harun AS dan selipar serta tongkat Nabi Musa AS.
- Hadis
Maksudnya: “Beberapa orang bayi dibawa kepada Baginda lalu Nabi mendoakan keberkatan dan mentahnikkan mereka. Kemudian seorang bayi dibawa kepada Nabi lalu bayi itu terkencing (di atas riba Nabi ﷺ). Nabi meminta air lalu Nabi membersihkan kencing tersebut tanpa membasuhnya.”(Riwayat Muslim)
Imam al-Nawawi ketika menjelaskan makna hadis ini berkata:
Maksudnya: “Pada hadis ini terdapat beberapa pengajaran, antaranya: mentahnikkan kanak-kanak yang baru lahir dan ia merupakan suatu yang disunatkan berdasarkan ijmak para ulama, antaranya lagi mentahnikkan oleh seorang yang soleh sama ada lelaki atau perempuan dan juga mengambil berkat dengan peninggalan, air liur atau apa sahaja daripada orang-orang yang soleh.” .
Antara hujah yang lain, iaitu satu riwayat hadis yang berbunyi:
Maksudnya: “Nabi ﷺ mengubati dirinya ketika baginda sakit yang menyebabkan baginda wafat dengan membaca muawwizat (surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas). Manakala ketika Nabi ﷺ dalam keadaan gering aku membacakan muawwizat dan meniupkannya serta menyapu dengan tangan Baginda kerana keberkatannya.”(Riwayat al-Bukhari)
Ibn Hajar al-Asqalani menerangkan bahawa hadis ini menunjukkan keharusan bertabaruk dengan orang yang soleh begitu juga dengan seluruh anggotanya khususnya tangan yang kanan.
Dalam sebuah riwayat yang lain disebutkan bahawa:
Maksudnya: “Ketika Abu Bakar r.a dilantik sebagai khalifah beliau menulis surat mengenai kadar zakat, adalah ukiran cincin memiliki tiga baris Muhammad sebaris, Rasul sebaris dan Allah sebaris.” (Riwayat al-Bukhari)
Ibn Hajar al-Asqalani dalam hal ini juga berkata:
Maksudnya: “Hadis ini menunjukkan keharusan menggunakan peninggalan atau memakai pakaian orang soleh untuk tujuan tabaruk dan mengambil kebaikan daripadanya.”
Isunya pada ajaran sesat, mereka mensistemkan amalan tabarruk dan memaksa bertabaruk sebagai syarat ketaatan atau bertabarruk bukan pada orang yang sepatutnya.
Pemaksaan seorang pemimpin agar pengikut mensucikannya atau mengambil berkat darinya adalah perbuatan melampau atau ghuluw di dalam Islam yang boleh membawa kepada syirik kepada Allah.
Keadaan ini boleh terjadi terutama apabila semua ramalan yang dibuat oleh pemimpin tersebut menjadi kenyataan yang menyebabkan pengikut percaya bahawa mereka mempunyai kuasa yang ajaib dalam menentukan sesuatu itu boleh terjadi dengan hanya mengucapkan ungkapan tentang sesuatu. Walhal ia hanya istidraj iaitu keajaiban yang diberi untuk lebih menyesatkan mereka.
Kesimpulan Hukum
Jumhur ulama dari kalangan mazhab yang empat mengharuskan amalan bertabaruk dan ada juga sebahagian ulama lain yang tidak mengharuskannya. Setiap perbuatan bertabaruk dengan sesuatu hendaklah disertai dengan keimanan bahawa tiada apa yang dapat memberi manfaat atau mudarat selain Allah ﷻ dan kepada-Nya sahaja kita berharap dan memohon pertolongan.
Bagi ulama yang mengharuskan terdapat batas-batas yang perlu dipatuhi seperti iktikad terhadap Allah ﷻ dan bukannya terhadap barang atau individu, serta tidak meletakkan kaifiat-kaifiat tertentu yang tiada asas dalil.
Bertabaruk adalah bersifat peribadi dan tidak seharusnya memuat naik gambar atau video di media sosial, kerana boleh mengundang fitnah kepada mereka yang tidak memahaminya. Berpada-pada dalam melakukan sesuatu perkara adalah amalan yang terbaik.
Sumber: Ustaz Wadi Annuar
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Di Sebalik Empat Kisah Tersirat, Ini Rahsia Surah Al-Kahfi

Surah Al Kahfi (سورة الكهف) adalah surat ke-18 dalam Al Qur’an. Surah ini mempunyai 110 ayat dan termasuk dalam golongan surah-surah Makkiyyah. Dinamakan Al-Kahfi (bahasa Arab:Gua) dan Ashhabul Kahfi yang membawa maksud Penghuni-Penghuni Gua.
Selain itu, nama ini diambil daripada cerita yang terdapat dalam surah ini pada ayat 9 hingga 26 mengenai beberapa orang pemuda yang tidur dalam gua bertahun-tahun lamanya. Selain daripada cerita tersebut, terdapat pula beberapa buah cerita dalam surah ini mengandungi pengajaran yang amat berguna bagi kehidupan manusia.
Surah al-Kahfi ini sangat digalakkan oleh Islam untuk dibaca sebagai amalan pada setiap hari Jumaat. Tujuan amalan itu ialah memberi nilai tambah kepada umat Islam selain dijadikan bimbingan dan panduan dalam kehidupan seharian.
Surah ini bukan sahaja menceritakan realiti kehidupan sebenar tetapi membuktikan bahawa setiap yang dicatat dalam al-Quran itu bukanlah suatu kebetulan sebaliknya menjelaskan lagi setiap kebenaran.
https://www.youtube.com/watch?v=6GC3p9t8Fqo
Nur Dari Gua menerangkan mengenai intipati surah al-Kahfi yang menceritakan tentang fitnah atau ujian yang sangat besar serta dahsyat di sebalik empat buah kisah utama.
Cerita utama yang dikisahkan dalam surah tersebut ialah kisah penghuni gua, si pemilik kebun, Nabi Musa dan Khidir serta kisah Zulqarnain, Yakjuj dan Makjuj. Empat kisah itu mempunyai banyak pengajaran yang boleh dijadikan iktibar.
MESEJ UTAMA SURAH INI
Kesemuanya mempunyai satu tema yang sama iaitu pertembungan antara iman dengan keduniaan.
Kisah pertama iaitu penghuni gua mengisahkan tentang sekumpulan pemuda atau Ashab al-Kahfi yang diuji keimanan sehingga berlindung dalam gua. Kisah itu menuntut kita agar bersahabat dengan orang soleh dan saling membimbing antara satu dengan lain dalam memelihara akidah serta iman kepada Allah.
Kisah si pemilik-pemilik kebun pula mengenai ujian dan fitnah harta benda yang menimpa mereka. Ia mengingatkan kita kepada kehidupan dunia yang akan musnah dan hari akhirat yang kekal selamanya.
Kisah ketiga iaitu nabi Musa dan Khidir berkisar tentang ujian serta fitnah ilmu. Ia mengingatkan kita agar sentiasa mengamalkan sikap tawaduk dan rendah diri walaupun dikurniakan ilmu yang tidak terhingga.
Kisah terakhir ialah tentang Zulqarnain yang berhadapan ujian dan fitnah berkaitan kuasa. Zulqarnain yang terkenal dengan kepimpinan itu mengingatkan kita bahawa kepentingan sikap tawaduk dan mengakui kekuasaan hanyalah daripada Allah.
HUBUNGAN SURAH AL-KAHFI DENGAN FITNAH AKHIR ZAMAN
Menariknya, kesemua yang dinyatakan itu merupakan fitnah serta ujian yang dihadapi oleh manusia sepanjang zaman. Disebabkan itu, umat Islam dituntut mengamalkan bacaan surah ini pada setiap hari Jumaat. Selain itu, tadabbur dan ambil iktibar daripada kisah itu sebagai langkah memelihara diri, mengukuhkan iman dan berjaga-jaga dalam menghadapi ujian serta fitnah dunia.
Sumber kredit: Petikan Buku Tafsir Dan Tadabbur Surah Al-Kahfi tulisan Datuk Dr. Haji Zahazan Mohamed
VIDEO KASHOORGA:
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Dalam Keadaan Tertentu, Solat Perlu Dilakukan Secara Duduk Atau Pun Bersandar, Persoalannya, Sahkah Solat?

Solat merupakan suatu ibadah yang paling besar dalam kehidupan setiap insan yang beragama Islam. Perintah untuk bersolat dalam setiap keadaan baik ketika bermusafir atau bermukim, dalam keadaan sakit atau sihat, sama ada solat dilakukan secara berdiri, duduk, atau dalam keadaan berbaring, semua ini jelas menunjukkan akan peri pentingnya kedudukan solat di dalam agama kita.
Kedudukan Solat Di Dalam Kehidupan
Peri pentingnya solat dapat dilihat melalui beberapa nas dari al-Quran mahupun al-Sunnah. Berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Umar R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ
Maksudnya: Dibina Islam itu di atas lima iaitu kalimah La Ilaaha IllaLlaah dan sesungguhnya Muhammad itu adalah hamba dan Rasul-Nya, dan mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji di baitullah, serta berpuasa pada bulan Ramadhan.
Riwayat Muslim (16)
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa ibadah solat adalah merupakan salah satu rukun daripada lima rukun Islam yang wajib dilaksanakan bagi setiap muslim yang mukallaf.
Hukum Solat Secara Duduk Di Atas Kerusi
Di antara dalil yang membolehkan seseorang itu solat dalam keadaan duduk sekiranya dia tidak mampu untuk solat secara berdiri adalah sebuah riwayat daripada ‘Imran bin Husin R.A yang mana beliau mengadu kepada Rasulullah bahawa dirinya mengalami penyakit buasir. Maka Rasulullah S.A.W bersabda:
صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Maksudnya: Solatlah kamu dalam keadaan berdiri, sekiranya kamu tidak mampu (untuk berdiri) maka solatlah dalam keadaan duduk, dan sekiranya kamu tidak mampu untuk solat secara duduk, maka solatlah di atas lambung.
Riwayat Al-Bukhari (1117)
Kata Imam Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini: Hadis ini menunjukkan bahawa tidak dibolehkan seseorang yang sakit itu berpindah kepada duduk (ketika solat) melainkan setelah dia tidak mampu untuk berdiri.
Telah berkata ‘Iyadh daripada Imam al-Syafie dan daripada Imam Malik, Imam Ahmad serta Ishak bahawa tidak disyaratkan tidak mampu berdiri bahkan cukup jika wujudnya masyaqqah (kesusahan).
Yang makruf di sisi ulama’ al-Syafie’yyah bahawa yang dimaksudkan dengan ternafinya kemampuan dengan wujudnya kesusahan yang berat sekiranya berdiri, atau dikhuatiri sakit itu semakin teruk atau berlaku kerosakan dan tidaklah berpada dengan masyaqqah (kepayahan) yang ringan.
Antara kesusahan yang berat itu adalah seperti pening kepala pada hak orang yang menaiki kapal dan takut akan tenggelam jika dia solat dalam keadaan berdiri di dalam kapal tersebut. Adakah dikira tidak mampu (berdiri) seseorang yang bersembunyi ketika berjihad dan jika dia solat dalam keadaan berdiri maka musuh akan melihatnya. Maka dengan itu, dibolehkan baginya untuk solat dalam keadaan duduk atau tidak pada waktu itu. Terdapat pada masalah ini dua pandangan disisi ulama’ al-Syafie’yyah, yang paling tepat adalah dibolehkan tetapi perlu diqadha’ kerana itu adalah uzur yang jarang berlaku. Lihat: Fath al-Bari, Ibn Hajar (588/2).
Pendapat Para Fuqaha
Kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah: Sekiranya seseorang (yang solat secara berdiri) itu takutkan kesusahan yang kuat atau bertambahnya kesakitan, ataupun seorang yang berada di atas sampan takut tenggelam (jika solat berdiri) ataupun dia berasa pening kepala maka dia boleh untuk solat secara duduk serta tidak perlu untuk mengulanginya. Lihat Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/310).
Kata Imam Al-Nawawi dalam Al-Majmu’, Al-Nawawi (4/226) lagi: Umat telah bersepakat bahawa sesiapa yang tidak mampu untuk berdiri di dalam solat fardhu maka dia boleh melakukannya secara duduk dan solat tersebut tidak perlu diulangi. Demikian juga pahalanya (solat secara duduk) tidak berkurang daripada solat secara berdiri kerana dia diberikan keuzuran.
Telah sabit di dalam Sahih Al-Bukhari bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:
إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا
Maksudnya: Apabila seseorang hamba itu sakit ataupun dia bermusafir akan dituliskan (ganjaran) untuknya sama seperti mana yang dilakukan oleh seorang yang dalam keadaan bermukim dan juga seorang yang dalam keadaan sihat.
Riwayat al-Bukhari (2774)
Manakala Imam Al-Syaukani Rahimahullah ketika mengulas hadis Imran bin Husein R.A di atas berkata: Hadis Imran menunjukkan kepada keharusan bagi sesiapa yang mempunyai keuzuran yang menyebabkan dirinya tidak mampu berdiri untuk solat dalam keadaan duduk. Manakala sesiapa yang mempunyai keuzuran yang menyebabkan dirinya tidak boleh duduk maka dia boleh untuk solat di atas lambungnya. Rujuk Nail Al-Authar, Al-Syaukani (3/243).
Kata Imam Ibn Qudamah Al-Maqdisi Rahimahullah: Telah ijma’ (sepakat) para ulama bahawasanya sesiapa yang tidak mampu untuk solat secara berdiri maka dia boleh melakukannya secara duduk. Lihat Al-Mughni, Ibn Qudamah (1/443).
Keadaan Yang Membolehkan Seseorang Solat Secara Duduk
Di dalam kitab-kitab feqh para ulama terdahulu, terdapat beberapa perkara yang dianggap sebagai masyaqqah (kepayahan) yang membolehkan seseorang itu solat secara duduk. Berikut kami nyatakan beberapa contohnya:
*Tidak mampu untuk berdiri
*Mempunyai penyakit yang akan bertambah teruk sekiranya dia bersolat secara berdiri.
*Seseorang yang berada di atas kapal, sampan, ataupun perahu, yang takut akan tenggelam sekiranya dia melakukan solat secara berdiri di atas kenderaan tersebut.
*Seseorang yang berasa pening kepala.
*Sakit yang boleh mengganggu khusyuk di dalam solat.
*Solat di atas kapal terbang jika dikhuatiri jatuh apabila dilakukan solat secara berdiri.
*Solat di dalam keretapi seperti perkhidmatan ETS (Electric Train Service) dan seumpamanya.
*Seseorang yang mengalami penyakit salis al-baul. Yang mana jika dia berdiri akan menyebabkan air kencingnya mengalir.
Ini semua adalah berdasarkan kata-kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah: Sekiranya seseorang (yang solat secara berdiri) itu takutkan kesusahan yang kuat atau bertambahnya kesakitan, ataupun seorang yang berada di atas sampan takut tenggelam (jika solat berdiri), ataupun seseorang berasa pening kepala maka dia boleh untuk solat secara duduk serta tidak perlu untuk mengulanginya. Lihat Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/310).
Begitu juga berdasarkan pendapat yang disebut oleh Imam Al-Ramli yang menyatakan bahawa dibolehkan untuk seseorang itu solat secara duduk apabila terdapatnya masyaqqah (kepayahan) yang boleh menghilangkan kekhusyukan semasa solat. Lihat Al-Taqrirat Al-Sadidah, Hasan Bin Ahmad Al-Kaf (214).
Kata Imam al-Haramain Abdul Malik al-Juwaini: Aku berpandangan bahawa kriteria tidak mampu berdiri itu adalah sekiranya dia berdiri, akan menyebabkan masyaqqah yang menghilangkan kekhusyukannya. Rujuk al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, al-Nawawi (4/310).
Dibolehuga bagi sesiapa yang melakukan solat di atas kapal terbang untuk solat secara duduk demikian juga halnya bagi sesiapa yang menaiki keretapi dan ingin melakukan solat di dalamnya.
Tatacara Solat Duduk Di Atas Kerusi
Bagi sesiapa yang mempunyai kepayahan untuk solat secara berdiri disebabkan oleh penyakit ataupun perkara selainnya, berikut kami nyatakan beberapa tatacara yang boleh dilakukan untuk solat dalam keadaan tersebut:
Secara asasnya, jika seseorang itu mampu berdiri untuk solat dan tidak mampu untuk rukuk dan sujud, hendaklah dia berdiri terlebih dahulu. Kemudian baru dia duduk dan melakukan rukuk dan sujud.
Pada asasnya, yang paling utama adalah solat duduk di atas lantai. Sekiranya tidak mampu, maka dibolehkan untuk solat secara duduk di atas kerusi.
Sekiranya seseorang solat duduk di atas kerusi dan tidak mampu untuk berdiri ketika takbiratul ihram, maka dia boleh untuk melakukannya secara duduk.
Sesiapa yang tidak mampu untuk berdiri maka dibolehkan untuknya duduk atas kerusi. Manakala rukuk dan sujud dilakukan sebagaimana biasa.
Sekiranya dia mampu untuk berdiri, namun berasa payah untuk rukuk dan sujud, maka hendaklah dia solat secara berdiri kemudian dia rukuk dan sujud di atas kerusi.
Dalam kes ini, perbuatan rukuk dan juga sujud dilakukan secara isyarat sahaja. Iaitu seseorang itu mengisyaratkan kepalanya dengan tunduk sedikit semasa rukuk dan juga menundukkan kepalanya lebih sedikit dari kadar tunduknya semasa rukuk apabila beliau bersujud.
Imam Nawawi Rahimahullah menyatakan: “Dan jikalau lemah seseorang itu (yakni musalli) daripada berdiri, maka (bolehlah) dia duduk seperti mana yang dia ingini.” Ertinya, seseorang yang solat duduk dalam apa kaedah duduk pun maka solatnya sah dan tidak batal. Yang berbeza hanyalah dari segi afdaliyyah (kelebihan). Berkata Imam al-Nawawi lagi: “Dan duduk secara iftirasy itu lebih afdal berbanding duduk bersila menurut pendapat yang azhar dan dimakruhkan duduk al-Iq`a’. Rujuk Minhaj al-Thalibin, Imam al-Nawawi (Hlm. 45).
Berdasarkan kepada kata-kata al-Nawawi di atas, kami berpandangan apabila dikatakan yang kita boleh solat duduk dalam apa keadaan sekalipun maka ia termasuklah solat duduk di atas kerusi bagi yang mempunyai keuzuran. Solatnya dikira sebagai sah dan tidak batal.
Hukum Bersandar Ketika Menunaikan Solat
Di dalam mazhab Imam al-Syafie, seseorang yang bersolat secara berdiri tetapi bersandar atau bergantung pada sesuatu seperti dinding, manusia atau tongkat, maka hukum solatnya adalah sah dengan hukum makruh. Ini jika tiada keuzuran yang membolehkan bersandar. Jika terdapat keuzuran maka tidak ada hukum makruh di situ. Lihat al-Mu’tamad Fi Fiqh al-Syafie, al-Zuhaili (1/243).
Kata Imam al-Khatib al-Syarbini: Sekiranya seseorang itu bersandar kepada sesuatu seperti dinding solatnya sah berserta karahah (makruh). Beliau berkata lagi: Sekiranya seseorang itu tidak mampu untuk berdiri disebabkan masyaqqah yang berat maka dia boleh duduk sebagaimana yang dia mahu. Rujuk al-Iqna’, al-Khatib al-Syarbini (Hlm. 184).
Sekiranya seseorang yang solat bersandar juga dikira sebagai sah solatnya, maka begitulah juga solat seorang yang duduk dalam keadaan bersandar. Lebih-lebih lagi bersandarnya dia itu disebabkan keuzuran yang diambil kira oleh syarak. Ini kerana, duduk apabila tidak mampu mengambil maqam berdiri dalam solat bagi yang mampu. Jika bersandar semasa berdiri tidak membatalkan solat, demikian jugalah bersandar semasa duduk ketika menunaikan solat.
Beberapa Cadangan Atau Dhawabit
Berikut eberapa dhawabit dan juga cadangan bagi sesiapa yang ingin melaksanakan solat secara duduk di atas kerusi seperti berikut:
*Hendaklah kedudukan kerusi yang digunakan oleh para jemaah yang uzur atau tidak mampu berdiri itu berada di hujung saf.
*Bahagian belakang kaki kerusi perlulah selari dengan kedudukan kaki jemaah yang berada di sebelah.
*Kedudukan kaki mereka yang solat duduk di atas kerusi hendaklah tidak melebihi kedudukan imam.
*Kami juga mencadangkan bahawa kerusi yang digunakan hendaklah bersaiz kecil dan tidak terlalu besar, ini supaya keseragaman saf dapat dijaga serta memberikan keselesaan bagi jemaah yang lain.
*Ketika seorang itu solat secara duduk, kedudukan belakang badannya hendaklah selari dengan orang yang solat di sebelahnya.
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Setelah kami melihat dan menekuni permasalahan ini, kami yakin dan percaya bahawa Islam merupakan suatu agama yang memberi rahmat kepada sekalian alam. Demikian juga Islam itu bersifat dengan قلة التكاليف (sedikit taklif) serta عدم الحرج (tidak menyusahkan). Ini berbetulan dengan firman Allah S.W.T:
يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْر
Maksudnya: Allah mahukan kemudahan untuk kamu dan Dia tidak mahukan kepayahan buat kamu.
Surah Al-Baqarah (185)
Begitu juga firman-Nya:
وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
Maksudnya: Dan tidaklah Allah menjadikan ke atas kalian kepayahan di dalam agama.
Surah Al-Hajj (78)
Imam al-Thabari Rahimahullah ketika menafsirkan ayat di atas ini, beliau menukilkan beberapa pendapat ulama tafsir seperti Ibn Abbas, A’isyah, Abu al-‘Aliyah, serta Al-Hasan bahawa yang dimaksudkan dengannya adalah: Tidak Allah jadikan kesempitan dalam beragama kepada umat Muhammad S.A.W. Rujuk Tafsir al-Thabari, Ibn Jarir (18/690).
Maka solat secara duduk di atas kerusi hukumnya adalah sah. Demikian juga solat duduk yang dilakukan secara bersandar, maka hukumnya sah seperti yang kami jelaskan di atas. Akan tetapi ianya perlulah menepati syarat-syarat serta dhawabit yang telah disebutkan.
Yang penting adalah perlaksanaan solat mengikut apa yang telah dinyatakan oleh syarak serta apa yang telah diajarkan oleh para fuqaha dan ulama dalam memberikan solusi yang berkaitan dengan isu ini. Solat yang menjadi tiang agama perlulah dilaksanakan dengan sebaiknya dengan meraikan segala rukun dan juga syarat-syaratnya.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI