Hukum Cerai Menggunakan Aplikasi Whatsapp

Share

Perceraian atau talak adalah pembubaran hubungan suami-isteri daripada ikatan pernikahan atau perkahwinan yang sah mengikut syariat. Islam membenarkan perceraian apabila tidak ada lagi persefahaman antara suami isteri dan bahagia sudah hilang.

Lebih memilukan jika talak ‘dilafazkan’ melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan WhatsApp atau media sosial.

Berikut ulasan yang dipetik dari Mufti Wilayah Persekutuan.

Talak akan jatuh jika dilafazkan oleh suami kepada isteri sama ada secara sarih (jelas), sekalipun tanpa niat dan juga secara kinayah (samar-samar) jika disertakan dengan niat. Tiada pengecualian di dalam syarak jika talak berkenaan disebutkan ketika waktu normal, bergaduh mahupun bergurau-senda.

Ini berdasarkan sebuah hadis:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: “Tiga perkara yang dilakukan secara serius atau main-main memberi kesan; nikah, talak, dan rujuk.” [Riwayat Abu Daud (2194), al-Tirmidzi (1184) dan Ibnu Majah (2039)]

Lafaz talak terbahagi kepada dua iaitu sarih (jelas) dan kinayah (samar-samar). Bagi lafaz sarih ada tiga perkataan yang jika disebutkan jatuhlah talak, perkataan tersebut ialah cerai, pisah dan lepas.

Kata Imam al-Baijuri:

“Talak yang sarih tidak memerlukan kepada niat. Iaitu niat jatuhnya talak. Kerana tidak dihtimal kepada selain daripada talak.” [Lihat: Hasyiah al-Baijuri ‘ala Syarh Ibn al-Qasim ‘ala Matan Abu Syuja’, 2/263]

Manakala lafaz kinayah adalah lafaz yang samar-samar. Sama ada jatuh atau tidak talak adalah bergantung kepada niat si suami. Kata Ibnu al-Qasim al-Ghazzi:

“Kinayah ialah setiap lafaz yang membawa makna talak ataupun selain daripada itu. Dan ianya memerlukan kepada niat. Jika berniat untuk menceraikan ketika melafazkan lafaz kinayah maka jatuhlah talak. Jika tidak, talak tidak jatuh.” [Lihat: Syarh Ibnu al-Qasim ‘ala Matan Abi Syuja, 2/264]

Lafaz cerai melalui whatsapp termasuk di dalam bahagian kinayah bukannya sarih. Ini bertepatan dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-59, talak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami yang ditujukan kepada isterinya secara khusus seperti melalui faksimili, SMS, e-mel dan sebagainya merupakan talak secara kinayah dan ianya adalah sah sekiranya disertai dengan niat.

Semua penceraian hendaklah dikemukakan kepada mahkamah syariah untuk menthabitkan talak tersebut. Talak yang dilakukan dengan menggunakan alat komunikasi moden adalah kaedah penceraian yang tidak menepati adab penceraian yang digariskan oleh syarak.

Tambahan pula, dar al-Ifta’ al-Misriyyah menyatakan hal yang sama iaitu talak yang diucapkan melalui pesanan ringkas (sms) atau sebagainya termasuk di dalam talak secara kinayah. Talak seperti ini tidak akan berlaku melainkan apabila si suami memang berniat untuk menceraikan isterinya.

Ini kerana, pesanan ringkas ini termasuk di dalam khabar (berita) yang boleh jadi ia benar dan boleh jadi ia dusta. Apabila berlaku perkara seperti ini, si suami akan ditanya akan niatnya. Jika dia memang berniat untuk menceraikan isterinya, maka ia dikira (jatuh talak tersebut). Jika sebaliknya, maka ia tidak akan dikira.

Walau bagaimanapun talak tidak jatuh atau berlaku jika suami tidak berniat menceraikan isteri ketika mengirimkan pesanan tersebut. Setiap pasangan yang diceraikan melalui khidmat pesanan ringkas ini perlu memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Syariah berdekatan dengan rumahnya di negeri yang didiami apabila berhadapan dengan situasi sebegini.

Kepada sang suami, kenanglah saat-saat manis dan episod indah bersama isteri supaya jika berlaku perceraian ia dilakukan secara baik dan gentleman sebagaimana saat indah anda menyunting gadis tersebut untuk memperisterikannya dulu.

Sumber kredit:

VIDEO KASHOORGA:

Published by
wan erni