Selalu kita dengar orang sekeliling, mungkin juga kita atau ahli keluarga mendapatkan pekerjaan menggunakan ‘kabel’. Kabel, orang dalam, atau kroni ini boleh jadi kenalan, saudara mara atau orang terdekat dengan kita.

Dalam gembira memperoleh pekerjaan sebaiknya kita tahu hukum mendapat kerja dengan cara sedemikian.

Menurut penjelasan portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mendapat pekerjaan dengan cara menggunakan kabel atau kroni boleh dilihat dari dua persektif berbeza dan ia boleh jatuh haram jika seseorang yang mendapat pekerjaan itu tidak layak atau menafikan hak orang lain yang lebih layak. Berikut adalah penjelasan tentang isu dapat kerja guna ‘kabel’ ini.

Fahami dulu makna syafaat atau pertolongan

Firman Allah SWT:

مَّن يَشْفَعْ شَفَٰعَةً حَسَنَةً يَكُن لَّهُۥ نَصِيبٌ مِّنْهَا ۖ وَمَن يَشْفَعْ شَفَٰعَةً سَيِّئَةً يَكُن لَّهُۥ كِفْلٌ مِّنْهَا ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ مُّقِيتًا

Maksudnya: “Sesiapa yang memberikan syafaat yang baik nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya; dan sesiapa yang memberikan syafaat yang buruk, nescaya ia akan mendapat bahagian (dosa) daripadanya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” Surah al-Nisa’ (85)

IKLAN

Syeikh Wahbah al-Zuhaili dalam tafsirnya mengatakan syafaat atau pertolongan terbahagi kepada dua iaitu baik dan buruk. Syafaat yang baik (حَسَنَةً)seperti mengambil berat hak-hak seorang Muslim dengan cara menghindarkannya daripada bahaya, atau mendorongnya ke arah kebaikan dengan niat ikhlas demi Allah SWT serta tidak mengambil sogokan atau rasuah. Maka pertolongan seperti ini adalah diharuskan kecuali menolong orang untuk meringankan hukuman hadd atau melanggar hak orang lain.

Syafaat atau pertolongan yang buruk (سَيِّئَةً) pula adalah berlawanan dengan syafaat yang baik. Antara contoh sekarang adalah seperti orang tengah atau pertolongan dalam perkara keburukan dengan cara menyogok menggunakan wang dan harta, untuk menafikan hak orang lain atau mengambil harta orang lain.

Cara dibenarkan

Berdasarkan huraian tafsir di atas, kita dapat mengenal pasti bahawa pertolongan boleh dibahagikan kepada dua perspektif. Perspektif yang pertama adalah melalui cara yang dibenarkan seperti meminta tolong rakan-rakan untuk memudahkan urusan kehidupan tanpa menafikan hak orang lain. Contohnya, seorang majikan memilih pekerja atas dasar ingin membantu pekerja tersebut yang datang daripada keluarga yang miskin.

IKLAN
Cara buruk dan haram

Perspektif yang kedua pula adalah melalui cara yang buruk dan haram. Islam melarang menggunakan ‘kabel’ dengan cara membayar sejumlah wang atau harta kepada orang lain dengan niat untuk mendapatkan sesuatu.

Muhammad Soleh al-Munajjid menghuraikan dengan teliti berkenaan hukum mendapatkan sesuatu pekerjaan menggunakan ‘kabel’. Beliau mengatakan jika pertolongan oleh seseorang dalam syarikat itu mengakibatkan lucutnya hak orang yang lebih layak dari segi kompetensi serta keupayaan untuk menjalankan tugas dengan cekap, maka pertolongan itu adalah haram hukumnya.

Ia adalah ketidakadilan kepada mereka yang lebih layak, serta ketidakadilan yang dilakukan oleh autoriti kerana menghalang keupayaan orang lain untuk berkhidmat dengan cekap, tidak membantu mereka untuk membina potensi diri, dan menjadi satu kehinaan kepada negara dan rakyat.

IKLAN

Keadaan ini akan membuatkan orang berhasad dengki, bersangka buruk dan merosakkan masyarakat secara tidak langsung. Ada pun jika tidak melanggar hak orang lain, maka ianya tidak mengapa dan dituntut di dalam Islam.

Kesimpulan

Berdasar kepada penjelasan di atas maka disimpulkan terdapat dua jenis ‘kabel’ iaitu yang pertama yang dibuat atas dasar telah saling mengenali dan bertujuan membantu pada masa yang sama individu berkenaan mempunyai kompetensi yang bersesuaian. Maka ‘pertolongan’ yang sebegini adalah harus dan dibenarkan.

Sementara kategori yang kedua iaitulah ‘pertolongan’ dengan cara sogokan atau apa-apa bentuk favouritisme atas dasar ahli keluarga atau sahabat karib yang tidak berasaskan kompetensi. Maka inilah jenis yang diharamkan kerana ia menzalimi hak orang lain dan boleh menyemai budaya kerja tidak sihat dan pelbagai kemudaratan yang lain.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

 

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI