Berita

Hukum Denda Atau Penjara Di Terengganu Kalau Tak Solat Fardhu

Share

Solat berfungsi sebagai asas dalam menegakkan agama, ia juga adalah rukun Islam kedua selepas mengucap dua kalimah syahadah. Walau sesempurna mana pun seorang Muslim itu dari segi akhlak dan akidahnya, namun jika tidak melaksanakan solat, ia tetap menjejaskan kesempurnaan yang dimilikinya.

Solat berfungsi sebagai kriteria utama bagi seseorang untuk layak atau tidak dinobatkan sebagai Muslim sejati. Tanggungjawab Muslim dalam menunaikan solat seharusnya tidak dipandang remeh. Sesibuk mana pun dengan kerja, jangan sesekali meninggalkan solat.

Usaha kerajaan Terengganu mendidik rakyatya tentang kepentingan solat fardhu harus dipuji.  Individu Islam yang dikesan sengaja meninggalkan solat fardu di Terengganu bakal dihukum denda RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, mereka yang tiada alasan munasabah meninggalkan solat fardu boleh didakwa di bawah Seksyen 18, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana kesalahan tidak menunaikan sembahyang fardu.

“Bagi kesalahan itu, individu yang terlibat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Gambar sekadar hiasan.

BUKAN MENGHUKUM TAPI MENDIDIK

Tegasnya, tindakan yang dikenakan adalah satu pelaksanaan yang relevan, malah masyarakat perlu tahu itu bukan bertujuan menghukum tetapi sebagai pengajaran bagi mendidik umat Islam mematuhi perintah ALLAH menerusi pelaksanaan undang-undang.

“Tindakan itu juga, secara tidak langsung menunjukkan kasih sayang pemimpin yang bertanggungjawab untuk mengelakkan umat Islam daripada terus melakukan dosa dan maksiat.

“Bagi pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) pula, peringatan menerusi pelbagai medium termasuk bertulis, secara lisan melalui ceramah selain turun padang mendekati masyarakat terutama golongan remaja hari ini bagi memberi kesedaran dan mengingatkan kepada mereka tentang pentingnya menjaga solat fardu,” katanya.

DIDIK KEPENTINGAN SOLAT BERJEMAAH

Sementara itu, Ketua Bahagian Penguatkuasa JHEAT, Nik Zuhaiza Ismail berkata, seramai lapan lelaki Islam dicekup kerana didapati ponteng solat Jumaat sepanjang tempoh 2016 hingga November lalu.

Jelasnya, kesemua mereka ini didakwa di bawah Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 iaitu mana-mana lelaki akil baligh yang tidak menunaikan solat Jumaat di masjid kecuali terdapat keadaan dibenarkan hukum syarak merupakan satu kesalahan.

“Jika disabitkan kesalahan, individu itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan,” katanya.

 

Gambar sekadar hiasan.

Nik Zuhaiza berkata, penguatkuasaan itu juga adalah bagi meningkatkan kesedaran umat Islam mengenai kewajipan melaksanakan solat fardu yang lain bermula dengan penekanan solat Jumaat secara berjemaah.

“Mungkin ada umat Islam yang seumur hidup tidak pernah solat. Menerusi penguatkuasaan ini secara tidak langsung akan membuatkan dia hadir ke masjid walaupun bukan secara sukarela dan siapa tahu hadirnya hidayah dan memberi kesedaran kepadanya,” ujarnya.

Sumber kredit: Sinar Harian

Published by
wan erni