Kebanyakan kediaman kita mempunyai hiasan dinding berupa kaligrafi daripada ayat-ayat al-Quran. Bukan sekadar untuk menghiasi kediaman tapi juga sebagai peringatan dan untuk bacaan penghuni setiap kali melihatnya.
Namun begitu ada pendapat yang mengatakan perbuatan meletakkan hiasan kaligrafi ayat al-quran pada dinding rumah ini adalah makruh. Jadi sejauh mana kebenarannya.
Pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus ada memberi penjelasan tentang penjelasan tentang perkara ini dalam satu hantaran di media sosial beliau baru-baru ini.
Ujarnya sememangnya ada perselisihan pandangan kalangan ulamak tentang perkara ini. Setengah ulamak mengharuskannya dengan syarat memeliharanya dan memuliakannya manakala setengah ulamak memakruhkannya.
Tersebut pada Kitab Al-Fatawa Al-Hindiyah :
ولو كتب القرآن على الحيطان والجدران بعضهم قالوا: يرجى أن يجوز، وبعضهم كرهوا ذلك مخافة السقوط تحت أقدام الناس”
Ertinya : “Dan jikalau ditulis akan Al-Quran di atas dinding dan tembuk maka berkata setengah ulamak : Diharapkan bahawa hukumnya adalah harus manakala setengah mereka itu memakruhkan yang demikian itu kerana khuatir jatuh ia pada kaki-kaki manusia.” ( jilid 5 m.s. 323)
Dalam pada itu Ustaz Azhar juga ada memetik kata-kata Mufti Jordan :
تجوز كتابة الآيات القرآنية على الجدران أو نقشها عليها أو تعليقها على شكل مناظر، ولكن الواجب أن تُعظَّم وتُحترم، وتُصان عن العبث أو الامتهان، وعدم رميها مع القمامة بعد تلفها، لقوله عز وجل: (ذَلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوبِ) الحج/32.
Ertinya : “Harus menulis ayat-ayat Quran atas dinding atau memahat ayat Quran di atasnya atau gantungnya sebagai tatapan awam akan tetapi yang wajib bahawa memuliakannya dan menghurmatinya. Dan juga wajib dipelihara dari disia-siakannya atau direndah-rendahkannya. Dan tidak harus melemparnya bersama sampah selepas ia rosak kerana firman Allah Taala : Bermula yang demikian itu dan orang yang membesarkan akan sekelian syiar Allah maka sungguhnya ia termasuk tanda hati yang taqwa.” (Al-Haj : 32) Majlis Fatwa Jordan
Secara kesimpulannya menurut beliau tidak mengapa dijadikan ayat Quran sebagai hiasan pada dinding rumah dengan syarat hendaklah diletakkan tinggi jauh dari kaki manusia dan wajib pula memeliharanya dari kotoran atau seumpamanya kerana menghormatinya.
Sumber: Ustaz Azhar Idrus
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Isteri Mengidam Perkara Pelik-Pelik, Wajarkah Suami Tunaikan
Isi Kandungan
ToggleSituasi biasa bila seorang isteri hamil teringin atau mengidam makan sesuatu. Kalau makanan biasa mungkin tiada masalah tapi ada juga yang mengidam minum alkohol, makan sabun atau teringin hidu minyak petrol.
Jika mengidam perkara begini bagaimana pula, wajarkah suami tunaikan? Berikut adalah penjelasan yang dipetik daripada Mufti Wilayah Persekutuan
Penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan
Mengidam merupakan keinginan yang tinggi bagi wanita hamil terhadap makanan. Oleh itu, suami wajib menunaikan apa-apa keinginan isteri hamil (mengidam) terhadap makanan yang menjadi kebiasaannya kerana termasuk dalam konteks nafkah.
Walau bagaimanapun keinginan wanita hamil yang bertunjangkan hawa nafsu semata-mata serta perkara haram adalah dilarang. Hal ini kerana mengidam bukanlah sesuatu darurat yang boleh menghalalkan perkara yang haram. Oleh itu, suami sewajarnya menapis agar setiap kemahuan tersebut tidak menjatuhkan maruah suami serta apa-apa keinginan yang bercanggah dengan hukum syarak.
Huraian
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.
Mengidam Semasa Hamil
Mengidam ialah keinginan yang tinggi terhadap sesuatu jenis makanan yang dirasai ketika mengandung.[1] Namun punca mengidam masih lagi tidak dapat ditemui.
Sementara, dakwaan air liur bayi akan meleleh kerana kemahuan ibunya ketika hamil tidak dipenuhi masih belum dapat dibuktikan secara saintifik. Sementara, sesetengah saintis menyatakan mengidam makanan pelik mahupun melakukan sesuatu yang luar biasa mungkin disebabkan perubahan hormon wanita semasa hamil. [2]
Tanggungjawab Nafkah Suami Bagi Wanita Yang Mengidam Makanan
Fuqaha mazhab Syafi‘i telah membahaskan berkaitan nafkah yang perlu diberikan oleh suami untuk perbelanjaan isteri hamil yang mengidam makanan. Perkara ini disebut dalam kitab Hasyiah al-Bujairimi:
يَنْبَغِي أَنْ يَجِبَ مَا تَطْلُبُهُ الْمَرْأَةُ عِنْدَ مَا يُسَمَّى بِالْوَحَمِ مِنْ نَحْوِ مَا يُسَمَّى بِالْمُلُوحَةِ إذَا اُعْتِيدَ ذَلِكَ. وَأَنَّهُ حَيْثُ وَجَبَتْ الْفَاكِهَةُ وَالْقَهْوَةُ وَنَحْوُ مَا يُطْلَبُ عِنْدَ الْوَحَمِ، يَكُونُ عَلَى وَجْهِ التَّمْلِيكِ فَلَوْ فَوَّتَهُ اسْتَقَرَّ لَهَا وَلَهَا الْمُطَالَبَةُ بِهِ وَلَوْ اعْتَادَتْ نَحْوَ الْأَفْيُونِ بِحَيْثُ تَخْشَى بِتَرْكِهِ مَحْذُورًا مِنْ تَلَفِ نَفْسٍ وَنَحْوِهِ لَمْ يَلْزَمْ الزَّوْجَ لِأَنَّ هَذَا مِنْ بَابِ التَّدَاوِي
Maksudnya: “ sepatutnya menjadi kewajiban apa -apa yang diinginkan isteri ketika mengalami apa yang disebut mengidam iaitu kemasinan sekiranya menjadi kebiasaan. Begitu juga wajib memberi buah-buahan, kopi dan apa-apa yang diinginkan isteri semasa mengidam yang dinyatakan sebagai nafkah yang bersifat pemilikan (tamlik).
Sekiranya suami lambat menunaikan, maka si isteri berhak menuntutnya agar suami dapat melangsaikan. Jika isteri terbiasa dengan makan candu/dadah dan apabila dikhuatiri meninggalkannya menyebabkan kerosakan fungsi badan, maka suami tidak wajib memenuhi permintaan tersebut kerana ia termasuk dalam bab perbahasan perubatan bukannya nafkah.”[3]
Berdasarkan kenyataan berikut, makanan yang memang menjadi kebiasaan isteri dan apabila isteri mengidam ketika hamil, maka wajib suami tunaikannya. Sebagai contoh apabila isteri suka makan benda-benda masin, maka apabila isteri hamil dan kemudian mengidam ikan masin dan ia termasuk tanggungjawab nafkah suami.
Tambahan lagi, jika makanan yang diidamkan itu memberi khasiat dan nutrien kepada ibu dan anak yang dikandung. Walau bagaimanapun, suami tidak diwajibkan memenuhi keinginan isteri sekiranya makanan yang diidamkan di luar kemampuan suami untuk memenuhinya atau bukan makanan yang biasa dimakan oleh isteri.
Adapun, isteri yang mengidam atau berkehendak sesuatu yang di luar kebiasaan dan ditegah oleh syarak serta tidak memberi sebarang kebaikan kepada isteri mahupun kandungannya seperti mengidam minum arak, makan daging khinzir, memegang badan lelaki ajnabi dan sebagainya, maka suami bertanggungjawab menghalang dan haram memenuhi keinginan tersebut. Perkara ini jelas disebutkan dalam firman Allah SWT berikut:
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ ۚ فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللَّهُ ۚ وَاللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ ۖ
Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.
Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya.
Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).”
Surah al-Nisa’ (34)
Oleh yang demikian, dalam keadaan mengidam, isteri hamil yang mengalami perubahan hormon dan beremosi hendaklah sedaya upaya mengawal keinginan dan tidak terlalu mengikut nafsu semata-mata. Suami juga perlu mengambil langkah yang lebih proaktif bagi mengalihkan perhatian dan keinginan tersebut dengan perkara-perkara yang diharuskan oleh syarak.
Selain itu, pasangan suami isteri juga boleh merujuk ahli perubatan bagi mendapatkan khidmat nasihat serta tip bagi mengawal rasa mengidam selain membantu wanita hamil tersebut agar tidak terlalu melayan perasaan terhadap keinginan yang tidak syarii.
Penutup
i. Suami diharuskan memenuhi permintaan dan keinginan isteri lebih-lebih lagi dalam keadaan isteri yang sedang hamil, selagi mana permintaan isteri tersebut dalam lingkungan yang diharuskan oleh syarak. Hal ini kerana permintaan isteri ketika hamil juga merupakan sebahagian daripada nafkah isteri.
ii. Menjadi kewajipan seorang suami mendidik isteri sekiranya kelakuan melebihi batas syarak atau keinginannya pada sesuatu yang telah diharamkan.
iii. Wanita hamil sepatutnya memperbanyakkan amalan untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT agar dapat mengumpulkan kekuatan untuk menghadapi saat perit getir bersalin.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan
[1] http://www.myhealth.gov.my/mengidam-semasa-mengandung/
الوَحَمُ: شِدَّةُ شَهْوَةِ الحُبْلَى لِمَأْكَلٍ
[2]https://hsaas.upm.edu.my/akhbar/mengidam_petanda_ibu_kurang_zat_perubahan_deria-19402?L=en
[3] Al-Bujairimi, Sulaiman bin Muhammad, Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib :Tuhfah al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib ( Dar al-Fikr, 1995) J4: P89
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Sembuhkan Hati Dengan Membaca Al-Quran
Kita sering mendengar istilah “kamus berjalan”. Istilah ini biasanya ditujukan kepada orang yang daya hafalnya begitu kuat sehingga apa yang ditanya kepadanya mampu dijawab. Orang tersebut ibarat sebuah komputer yang mampu menyediakan data apa pun yang diminta.
The Walking Quran atau “Quran berjalan” mestilah lebih dari sekadar itu. Orang yang disebut sebagai “The walking Quran” boleh dijadikan tempat bertanya sekaligus sebagai tempat menimba ilmu. Mereka bukan saja menghafal al-Quran tapi mampu memahaminya dengan baik. Kehadirannya tak hanya membantu tapi juga membawa manusia keluar dari jalan yang gelap menuju cahaya yang terang.
Firman Allah SWT;
“Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan.” (QS Taha 20:2)
Ayat ini menyatakan bahawa Al-Quran tak akan membuat manusia menjadi susah. Ini bermaksud semakin kita dekat dengan Al-Quran, semakin mudahlah hidup kita. Semoga kita mampu amalkan.
Untuk menjadi individu yang sentiasa dekat dengan Al-Quran, anda perlu tahu perkara-perkara yang berikut;
1. Tilawah Wa Tartil (Selalu membaca dengan betul)
Suka membaca Al-Quran akan menambah kebaikan, baik dalam keadaan miskin ataupun kaya serta menambah ilmu.
Membaca secara tartil akan melepaskan manusia dari belenggu kesesatan, menenangkan fikiran dan hati yang kalut serta merasakan kegembiraan dalam menghadapi situasi kehidupan.
Membaca secara berkelompok akan mendatangkan ketenangan dan rahmat serta syafaat di Hari Kiamat (HR Bukhari & Muslim)
2. Tadabur (Merenungkan kandungannya)
Bertadabur Al-Quran boleh membuka hati untuk menerima petunjuk Allah dan mendapat ilmu
3. Hifzh (Menghafal)
Dengan membaca Al-Quran, kita juga akan mengembangkan saraf otak.
Penghafaz Al-Quran tidak akan diseksa setelah meninggal, jasadnya diharamkan oleh Allah untuk dilukai bumi.
4. Ta’lim (Mengajarkan)
Manusia terbaik adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannnya (HR Bukhari)
Generasi yang dekat dengan Allah adalah yang tidak berhenti belajar dan mengajarkan Al-Quran.
5. Istimaa’ (Sentiasa mendengarkannya)
Mereka yang suka mendengar bacaan Al-Quran akan mendapat rahmat, kebaikan dan kemenangan serta diberi khabar berita.
Allah memberikan satu mulut dan dua telinga adalah untuk mendidik manusia supaya sedikit bercakap dan banyak mendengar.
Mendengarkan wahyu akan mendatangkan ketenteraman jiwa, kesucian hati, menghilangkan gangguan Syaitan, menguatkan jiwa dan meneguhkan langkah kehidupan.
Sesungguhnya, apabila hidup berpegang pada Al-Quran, ia akan menjadi pengubat hati, penawar rindu. Oleh itu, langkah-langkah di atas tidak boleh dianggap remeh. Secara emosionalnya, Al-Quran memberikan belaian dan ubat hati yang menteteramkan.
Secara spiritualnya pula, dengan membacanya, seolah-olah mendengar kembali Tuhan berfirman kepada dirinya.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Rebut Peluang Malam Nisfu Sya’ban, Malam Penuh Keberkatan. Ini Amalan Yang Boleh Dilakukan
Kita sudahpun menghampiri pertengahan bulan Sya’ban. Malam tanggal 15 Sya’ban adalah malam Nisfu Sya’ban iaitu malam yang istimewa dan penuh keberkatan selepas Lailatul Qadar.
15 Sya’ban tahun 2024 jatuh pada 25 Februari iaitu pada hari Ahad ini. Bermaksud, tarikh malam Nisfu Sya’ban akan disambut pada malam 24 Februari 2024 (Sabtu), selepas masuk waktu Maghrib.
Sebaiknya kita umat Islam tidak terleka untuk merebut peluang di malam penuh keberkatan ini, di mana malam ini Allah SWT mengampunkan dosa hamba-hambanya.
Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr r.a., bahawa Nabi SAW bersabda:
يَطَّلِعُ اللهُ عزَّ وجلَّ إلى خَلْقِهِ ليلَةَ النِّصفِ مِنْ شَعْبَانَ ، فيَغْفِرُ لِعبادِهِ إِلَّا لِاثْنَيْنِ مُشَاحِنٍ ، وقَاتِلِ نَفْسٍ
Maksudnya: “Allah SWT melihat pada malam Nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan hamba-Nya kecuali dua (golongan) iaitu orang yang bermusuhan dan orang yang membunuh diri”.
[HR Ahmad, No. Hadith 6353, Ahmad Syakir mengatakan sanadnya adalah sahih]
Justeru ambillah kesempatan untuk menghidupkan malam Nisfu Sya’ban yang juga menjadi amalan orang-orang soleh terdahulu.
Ia disebutkan oleh Al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali, di dalam kitab Lathaif al-Ma’arif menyatakan:
وَلَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ كَانَ التَّابِعُوْنَ مِنْ أَهْلِ الشَّامِ يُعَظِّمُوْنَهَا وَيَجْتَهِدُوْنَ فِيْهَا فِي الْعِبَادَةِ، وَكَانَ خَالِدُ بْنِ مَعْدَانَ وَلُقْمَانُ بْنِ عَامِرٍ وَغَيْرُهُمَا مِنْ تَابِعِي الشَّامِ يَقُوْمُوْنَ فِي الْمَسْجِدِ لَيْلَةَ النِّصْفِ، وَوَافَقَهُمُ اْلإِمَامُ إِسْحَاقُ ابْنُ رَاَهَوْيه عَلىَ ذَلِكَ، وَقَالَ فِيْ قِيَامِهَا فِي الْمَسَاجِدِ جَمَاعَةً
Maksudnya: “Malam Nisfu Sya’ban, kaum Tabi’in dari penduduk Syam mengagungkannya dan bersungguh-sungguh menunaikan ibadah pada malam tersebut. Khalid bin Ma’dan, Luqman bin Amir dan lain-lain dari kalangan tabi’in Syam mendirikan solat di dalam Masjid pada malam Nisfu Sya’ban. Perbuatan mereka disetujui oleh al-Imam Ishaq Ibnu Rahawaih. Ibnu Rahawaih berkata mengenai shalat sunnah pada malam Nisfu Sya’ban di Masjid-masjid secara berjemaah.
Dari hadis dan kalam ulama tersebut, maka jelaslah bahawa begitu besar kelebihan malam Nisfu Sya’ban yang mungkin kita sering lupa untuk membuat persiapan bagi menemuinya.
Namun menurut perkongsian Ustazah Asma’ Harun di dalam hadis, Nabi Muhammad SAW TIDAK MENETAPKAN MANA-MANA AMALAN SEBAGAI AMALAN KHUSUS untuk dilakukan pada malam Nisfu Sya’ban.
Amalan malam Nisfu Sya’ban
Namun begitu, kita boleh mengambil peluang dengan kelebihan yang Allah SWT berikan pada malam tersebut untuk melakukan amal soleh sebanyaknya. Terdapat beberapa amalan yang disarankan oleh para ulama bagi menghidupkan malam Nisfu Sya’ban, seperti:
1. Mendirikan solat sunat mutlak
Pada malam Nisfu Sya’ban, kita dibolehkan mendirikan solat sunat mutlak. Solat sunat mutlak ialah solat sunat semata-mata mengharapkan keredaan Allah SWT. Ia tidak ditentukan waktunya dan tidak ada had jumlah rakaatnya.
Cara mengerjakan solat sunat mutlak ini adalah sama seperti solat biasa. Niatnya adalah seperti berikut:
أُصَلِّى صَلَاةَ السُّنَّةَ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku solat sunat dua rakaat kerana Allah Taala”
Solat ini juga disebutkan oleh Imam Ibnu Taimiyah apabila diminta penjelasan tentang solat malam Nisfu Sya’ban. Lalu, beliau menyatakan:
إِذَا صَلَّى اْلإِنْسَانُ لَيْلَةَ النِّصْفِ وَحْدَهُ أَوْ فِيْ جَمَاعَةٍ خَاصَّةٍ كَمَا كَانَ يَفْعَلُ طَوَائِفُ مِنَ السَّلَفِ فَهُوَ حَسَنٌ. وَقَالَ فِيْ مَوْضِعٍ آخَرَ : وَأَمَّا لَيْلَةُ النِّصْفِ فَقَدْ رُوِيَ فِيْ فَضْلِهَا أَحَادِيْثُ وَآَثاَرٌ وَنُقِلَ عَنْ طَائِفَةٍ مِنَ السَّلَفِ أَنَّهُمْ كَانُوْا يُصَلُّوْنَ فِيْهَا فَصَلاَةُ الرَّجُلِ فِيْهَا وَحْدَهُ قَدْ تَقَدَّمَهُ فِيْهِ سَلَفٌ وَلَهُ فِيْهِ حُجَّةٌ فَلَا يُنْكَرُ مِثْلُ هَذَا.
Maksudnya: “Apabila seseorang menunaikan solat pada malam Nisfu Sya’ban, sendirian atau bersama jamaah tertentu sebagaimana dikerjakan oleh banyak kelompok kaum salaf, maka hal itu baik.” Di tempat lain, Ibn Taimiyah juga berkata: “Adapun malam Nisfu Sya’ban, telah diriwayatkan banyak hadis dan athar tentang keutamaannya dan telah dikutip dari sekelompok kaum salaf bahwa mereka menunaikan solat pada malam itu. Jadi solat yang dilakukan oleh seseorang sendirinya pada malam tersebut, telah dilakukan sebelumnya oleh kaum salaf dan ia mempunya hujah, oleh karena itu hal seperti ini tidak boleh diingkari.
2. Memperbanyakkan doa dan munajat
Imam al-Syafie di dalam kitab al-Umm ada menyatakan tentang keistimewaan berdoa pada malam Nisfu Sya’ban:
بَلَغَنَا أَنَّهُ كان يُقَالُ إنَّ الدُّعَاءَ يُسْتَجَابُ في خَمْسِ لَيَالٍ في لَيْلَةِ الْجُمُعَةِ وَلَيْلَةِ الْأَضْحَى وَلَيْلَةِ الْفِطْرِ وَأَوَّلِ لَيْلَةٍ من رَجَبٍ وَلَيْلَةِ النِّصْفِ من شَعْبَانَ
Maksudnya: “Telah sampai kepada kami bahawasanya selalu dikatakan bahawa permohonan akan dikabulkan pada lima malam, iaitu malam Jumaat, malam hari raya Aidil Adha, malam hari raya Aidil Fitri, awal malam di bulan Rejab dan malam Nisfu Sya’ban.”
Pada malam istimewa ini, ajaklah ahli keluarga untuk bersama mengambil peluang sebaiknya bagi memohon segala hajat yang diinginkan untuk kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.
3. Menghidupkan malam dengan memperbanyakkan membaca al-quran
Orang yang membaca al-Quran walau satu huruf akan diberikan ganjaran sepuluh kali ganda pahala. Sebagaimana hadis Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لاَ أَقُولُ الم حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلاَمٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ
Maksudnya : “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya satu kebaikan. Satu kebaikan menyamai 10 gandaan. Tidaklah aku katakan yang الم itu satu huruf. Bahkan Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”
(HR al-Tirmizi, bertaraf hasan)
Selain itu, Nabi Muhammad SAW bersabda:
اقْرَؤُوا القُرْآنَ فإنَّه يَأْتي يَومَ القِيامَةِ شَفِيعًا لأَصْحابِهِ
Maksudnya : “Bacalah Al-Quran kerana sesungguhnya pada hari kiamat ia datang memberi syafa’at kepada sahabat-sahabatnya (pembacanya). (HR Muslim 804)
Apabila menjelangnya Nisfu Sya’ban juga, terdapat amalan yang sering dilakukan secara tradisi sejak sekian lama dalam masyarakat kita. Sebagai contoh, amalan membaca surah Yaasin sebanyak 3 kali yang diniatkan untuk mendapat redha Allah, insyaAllah pahalanya juga berganda dengan banyaknya bacaan.
Menurut para ulama, tiada halangan untuk mengamalkannya selagi mana kita tidak menyandarkan amalan tersebut kepada hadis Nabi Muhammad SAW kerana tiada dalil khusus yang menyatakan tentangnya. Namun begitu, kita sangat dianjurkan untuk memperbanyakkan membaca al-Quran pada setiap masa, lebih lagi pada malam ini.
4. Banyakkan sayyidul istigfar kepada Allah SWT
Sayyidul istighfar merupakan penghulu kepada istighfar. Di dalamnya terkandung kalimah tauhid yang membesarkan Allah dan pembuktian kehambaan kita sebagai seorang hamba yang lemah dan hina.
Daripada Syaddad bin Aus r.a., bahawa Nabi SAW bersabda:
سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
Maksudnya: “Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau”.
[Riwayat al-Bukhari]
5. Banyakkan selawat
Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا
Maksudnya: “Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.” [Riwayat Muslim (384)]
Dalam sebuah hadis yang lain diriwayatkan bahawa, para sahabat pernah bertanya kepada Nabi Muhammad SAW tentang bagaimana cara berselawat kepada Baginda.
Kemudian Baginda menjawab dengan mengatakan: “Katakanlah:
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.
“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Ya Allah, Berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” (HR Bukhari dan Muslim)
6. Meminta dan memberi maaf
Sepertimana Hadis Nabi SAW di atas, antara golongan yang tidak akan diampunkan Allah SWT adalah mereka yang bermusuhan.
Maka marilah sama-sama kita saling bermaafan, kerana sesungguhnya nilai keampunan Allah SWT jauh lebih tinggi daripada membesarkan ego dan emosi kita. Hayati Firman Allah SWT dibawah, antara golongan yang akan dikurniakan Syurga :
“Dan bersegeralah kamu mencari ampunan daripada Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, (iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Surah Ali-Imran: ayat 133-134)
Sumber: Ustazah Asma’ Harun
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI