Penggunaan kotak Android atau Android box untuk mengakses siaran berbayar dan hak cipta lain dengan cara yang salah adalah diharamkan kerana mencerobohi hak dan menzalimi pihak lain.
Demikian penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam menjawab satu pertanyaan netizen berkenaan hukum pembelian android box untuk menonton siaran Astro tanpa membayar kepada Astro.
“Apa hukum kita beli android box? Contoh, kita boleh tengok siaran Astro tapi tak bayar pada Astro. Mohon pencerahan pejabat mufti.”
Hukumnya haram berikutan pengguna peranti berkenaan mendapat akses kepada siaran berbayar tanpa melanggannya yang akan menyebabkan kerugian kepada syarikat penyiaran.
Mengambil hak orang lain dengan cara yang batil
Secara umumnya Android Box adalah alat atau peranti yang digunakan untuk membolehkan televisyen mendapat siaran-siaran dari seluruh dunia. Tambahan lagi, peranti tersebut dapat membolehkan televisyen menyiarkan perkhidmatan siaran strim (streaming services) lain yang biasanya hanya boleh diakses melalui laptop, komputer, telefon dan peranti pintar yang lain.[1] Selain itu, ia juga akan membolehkan pengguna mendapat akses terhadap aplikasi-aplikasi peranti pintar seperti playstore, internet dan lain-lain.
Terdapat dua bentuk siaran yang akan diperoleh melalui penggunaan peranti tersebut iaitu siaran berbayar dan siaran percuma. Justeru, tidak timbul sebarang isu syariah bagi kategori siaran percuma kerana ia boleh digunakan oleh semua orang.
Namun begitu, timbul isu syariah bagi kategori siaran berbayar yang sepatutnya pengguna bayar terlebih dahulu untuk mendapat akses siaran tersebut. Terdapat keadaan di mana pengguna peranti tersebut mendapat akses kepada siaran berbayar tanpa melanggannya yang seterusnya menyebabkan kerugian kepada syarikat penyiaran.
Justeru, permasalahan ini adalah sama mengambil hak orang lain dengan cara yang batil dan menzalimi syarikat penyiaran serta pihak-pihak berkaitan dengannya. Perbuatan ini juga telah dilarang oleh Allah SWT melalui firmanNya berikut:
وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ
Maksudnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah. Surah al-Baqarah (188)
Selain itu, permasalahan ini juga berkait rapat dengan hak cipta dan lesen penyiaran. Hak cipta, penyiaran dan seumpama dengannya adalah merupakan hak yang diiktiraf syarak. Ini dapat dilihat melalui kenyataan Dr Abu Ghuddah yang menyatakan bahawa cap dagangan, nama syarikat, tulisan atau ciptaan seseorang dalam konteks semasa dianggap mempunyai nilai di sisi syarak.
Oleh itu, tidak boleh untuk seseorang mencerobohi hak tersebut atau menggunakannya dengan cara yang salah seperti mencetak tanpa kebenaran, menggodam atau menggunakannya tanpa membayar atau melanggannya. (Rujuk Majalah Majma’ Fiqh al-Islami 2080/5[2]; Fiqh Nawazil 165/2[3])
Adapun bagi perbuatan membeli dengan tujuan untuk menonton siaran percuma atau fungsi-fungsi lain yang tidak melibatkan hak pihak lain dan mencerobohi hak-hak mereka, maka pembelian atau penggunaannya adalah diharuskan syarak sekiranyya menepati syarat dan rukun jual beli. Hal ini juga berdasarkan kaedah fiqh berikut:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: Hukum asal suatu perkara adalah harus sehingga terdapat perkara yang membawa kepada pengharamannya. (Rujuk al-Asybah wa al-Nazoir h.60)
Namun begitu, sekiranya pembelian peranti tersebut adalah bertujuan untuk mendapatkan akses siaran berbayar dengan cara yang salah maka ianya adalah haram sebagaimana perbincangan di atas. Ini adalah bertepatan dengan kaedah fiqh berikut:
الْأُمُورُ بِمَقَاصِدِهَا
Maksudnya: Setiap perkara itu bergantung dengan niat tujuannya. (Rujuk al-Asybah wa al-Nazoir h.8)
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Konflik suami isteri sering saja berlaku, ada masa ia menjadi cukup serius sehingga suami melafazkan kata-kata yang tidak sepatutnya.
Antaranya mengharamkan duit digunakan untuk isteri sendiri walaupun satu sen. Dalam hal begini apa yang perlu dilakukan oleh isteri? Perlukah isteri mencari duit lain untuk makan dan minum sedangkan menjadi kewajipan suami untuk memberi nafkah.
Persoalan ini dirungkai dalam satu soal jawab di laman web Mufti Selangor dan berikut adalah jawapan yang diberikan sebagai panduan wanita lain yang dalam situasi ini.
Suami sepatutnya memberi nafkah keluarga
Merujuk kepada persoalan ini, seorang suami itu wajib memberi nafkah kepada isteri dan orang di bawah tanggungannya. Firman Allah yang bermaksud :
“…dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya.”
(Al-Baqarah : 233)
Apabila seorang suami gagal menunaikan tanggungjawabnya memberi nafkah zahir atau batin, maka isteri berhak membuat pengaduan tentang perkara tersebut kepada pihak Mahkamah Syariah.
Puan juga boleh mendapatkan nasihat dan pandangan dengan merujuk kepada Unit Undang-undang Keluarga di Pejabat Agama Islam Daerah yang berdekatan.
Tidaklah menjadi kesalahan kepada puan jika telah menggunakan duit suami pada kadar yang sepatutnya bagi keperluan harian sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah RA, katanya :
“Hindun binti ‘Utbah, isteri Abu Sufyan, pernah datang kepada Rasulullah SAW., lalu katanya: “Ya, Rasulullah! Sesungguhnya Abu Sufyan itu seorang lelaki yang bakhil. Dia tidak pernah memberi ku nafkah yang mencukupi bagi keperluanku dan keperluan anak-anakku, kecuali bila kuambil hartanya tanpa pengetahuannya. Berdosakah aku berbuat seperti itu?”
Jawab Rasulullah SAW, “Boleh kamu ambil sekadar perlu untuk mencukupi keperluanmu dan anak-anakmu.” (Riwayat Muslim)
والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.
Sumber: Mufti Selangor
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Meski seorang ibu seharusnya menyayangi anak-anak mereka sama rata tapi ada saja berlaku keadaan sebaliknya. Walau anak sudah berbuat baik dan menyayangi sepenuh hati tapi tanpa sebab ibu tetap membenci dan selalu memarahi anak ini.
Apakah nasib anak ini? Adakah neraka tempat mereka, kerana Islam menyuruh anak-anak membahagiakan dan menyantuni orang tua dengan baik.
Mengulas tentang situasi ini menurut Datuk Dr Zulkifli Mohammad Al Bakri, ibu bapa merupakan dua insan yang wajib ditaati oleh anak-anak selagi mana mereka tidak menyeru kepada perkara-perkara maksiat.
Anak-anak wajib berbuat baik terhadap kedua ibu bapa mereka walaupun mereka tidak beriman dan menyeru kepada kekufuran. Hubungan ibu bapa dan anak-anak akan kekal walaupun berlainan agama. Allah SWT telah berfirman:
وَإِن جَاهَدَاكَ عَلَىٰ أَن تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا ۖ وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا
Maksudnya: “Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan-Ku atas sesuatu yang engkau tidak mengetahuinya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.”
Tidak menjadikan mereka anak derhaka
Menjawab persoalan kata Datuk Zulkifli walaupun seseorang ibu marah dan benci kepada anak ini, namun ia tidaklah menyebabkan dirinya masuk neraka.
“Benar, redha Allah adalah pada keredhaan ibu bapa, namun ia adalah perkara yang ketaatan dan juga dalam perkara yang harus sahaja. Hal ini kerana sekiranya ibu bapa yang tidak meredhai anak yang melakukan kebaikan dan ketaatan, ia tidaklah menjadikan seorang itu anak derhaka,”jelas.
Oleh itu nasihat beliau bagi anak yang dalam situasi ini banyakkan berdoa kepada Allah SWT supaya melembutkan hati ibu kerana Allah SWT sahaja yang memegang hati seseorang itu.
“Dia sahaja yang boleh melembutkan hati seseorang itu. Di samping itu, teruskan melakukan kebaikan dan ketaatan kepada ibu bapa walaupun dalam keadaan mereka tidak menyukai kita. Semoga Allah SWT melembutkan hati mereka untuk terus menyayangi anak mereka,”katanya.
Sumber: Maktabah Al Bakri
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Kebanyakan tandas di pusat membeli belah direka secara corak yang sama hingga orang lelaki yang mahu melepaskan hajat membuang air kecil akan melakukannya secara berdiri.
Apakah hukum kencing berdiri yang sebahagian lelaki mengambil remeh isu terutama melibatkan bab istinjak ini.
JAWAPAN:-
Waalaikumussalam w.b.t. Isu ini telahpun dibincangkan oleh para ulama sejak sekian lama. Mereka terbahagi kepada dua pandangan sama ada yang melarang ataupun yang membolehkannya. Berikut merupakan dalil- dalil yang berkaitan dengan isu kencing berdiri.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummul Mukminin A’isyah R.anha beliau berkata:-
مَنْ حَدَّثَكُمْ أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ يَبُولُ قَائِمًا فَلاَ تُصَدِّقُوهُ مَا كَانَ يَبُولُ إِلاَّ قَاعِدًا
Maksudnya: Sesiapa yang bercerita kepada kalian semua bahawasanya Rasulullah S.A.W itu kencing berdiri maka janganlah kalian mempercayainya. Tidaklah Rasulullah S.A.W itu kencing melainkan dalam keadaan duduk. Riwayat al-Tirmizi (12)
Juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Huzaifah Ibn al-Yaman R.A beliau berkata:-
أَتَى النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم سُبَاطَةَ قَوْمٍ فَبَالَ قَائِمًا ثُمَّ دَعَا بِمَاءٍ فَجِئْتُهُ بِمَاءٍ فَتَوَضَّأ
Maksudnya: Nabi S.A.W mendatangi tempat buangan sampah sebuah kaum, kemudian baginda kencing secara berdiri. Kemudian baginda meminta air lalu aku membawanya dan baginda pun berwudhuk. Riwayat al-Bukhari (224)
Kedua-dua hadis di atas dilihat seakan-akan saling bercanggahan di antara satu sama lain. Akan tetapi, kami menyebut di sini berkenaan cara untuk mengharmonikan di antara kedua-dua dalil tersebut adalah dengan mengatakan: Dibolehkan kencing secara berdiri berdasarkan hadis Huzaifah, manakala yang lebih afdhal adalah kencing secara duduk kerana itulah yang paling kerap dilakukan oleh Rasulullah S.A.W bahkan inilah sunnah baginda sendiri.
Kata Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah: Yang zahirnya baginda melakukannya (kencing secara berdiri) adalah untuk menjelaskan akan keharusannya dan dalam banyak keadaan baginda membuang air kecil secara duduk. Lihat Fath al-Bari Syarah Sahih al-Bukhari, Ibn Hajar (1/330).
Kami juga menyatakan bahawa para ulama yang mengharuskan perbuatan kencing berdiri turut menyebutkan beberapa perkara seperti berikut:
– Hendaklah ia dilakukan di tempat yang sembunyi dari penglihatan manusia lainnya supaya auratnya terpelihara.
– Hendaklah berhati-hati supaya air kecil tidak terpercik ke pakaian.
Wallahu A’lam.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI