Saya ada mendapat wang bantuan dari pihak sekolah saya gunakan wang itu untuk membeli telefon. Dengan telefon itu, saya tengok benda maksiat. Sekarang baru saya sedar perbuatan saya, adakah saya perlu menggantikan wang sekolah atau bertaubat?
Jika perlu menggantikan wang itu saya tidak mampu kerana masalah kewangan, cukupkah dengan saya hanya bertaubat?
Jawapan
Wa’alaikumussalam,
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Agama Islam merupakan agama yang menyuruh kepada perkara yang makruf (baik) dan mencegah daripada perbuatan mungkar (jahat). Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
Maksudnya: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).”
(Surah Ali ‘Imran: 110)
Imam Al-Qurtubi ketika mentafsirkan ayat ini menyatakan bahawa Allah menyifatkan umat Islam sebagai umat yang melakukan amar makruf dan nahi mungkar dan mereka dipuji disebabkan itu. Antara isi penting daripada tafsiran ayat ini ialah perkara yang mungkar perlulah dijauhi dan ditegah kerana itu merupakan tanda-tanda orang beriman. (Rujuk: Al-Jami’ li Ahkamil Quran, jld.4, hlm. 170)
Menjawab persoalan yang diajukan, wang bantuan yang diberikan oleh pihak sekolah itu merupakan wang amanah yang telah diamanahkan oleh pihak tertentu untuk diberi kepada penerima yang layak.
Ads
Oleh yang demikian, wang bantuan yang diberikan oleh pihak sekolah tersebut perlulah digunakan sebaiknya dan tidak digunakan untuk perkara yang tidak berfaedah dan haram di sisi agama seperti membeli rokok, vape atau digunakan untuk berjudi dan sebagainya.
Ada pun berkenaan penggunaan wang bantuan tersebut untuk membeli telefon bimbit tidak menjadi masalah jika ia satu keperluan. Namun, perbuatan yang dilakukan seperti melihat perkara yang haram dan maksiat perlulah si pelaku bertaubat daripada perbuatan tersebut serta tidak mengulanginya lagi kerana dikhuatiri keberkatan akan hilang dan mendapat kesan buruk yang tertentu.
Pelaku tidak perlu menggantikan wang tersebut disebabkan kesempitan wang yang dihadapi tetapi perlu menyesal atas perbuatan melihat maksiat seperti yang dinyatakan. Firman Allah SWT dalam al-Quran:
Maksudnya: “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).”
(Surah Ali ‘Imran: 134)
Kesimpulan
Setelah si pelaku mengetahui perbuatan menggunakan sesuatu pemberian seperti wang bantuan telah digunakan untuk tujuan yang salah seperti melakukan maksiat, pelaku tersebut perlulah segera bertaubat dan mengharap pengampunan daripada Allah SWT. Si pelaku tidak perlu memulang atau menggantikan wang bantuan tersebut disebabkan masalah kekangan dan kesempitan wang.
Tanpa sedar ramai tertinggal barangan berharga ketika berhenti menunaikan solat di surau mahupun masjid ketika sedang bermusafir di sesuatu lokasi. Hendak berpatah balik mungkin agar sukar selain kita terlupa tentang barang tersebut di mana letaknya.
Bagaimana hak barangan berharga yang tertinggal di masjid selepas setahun tidak dituntut tuan empunya? Adakah kita dibolehkan membelinya? Dalam satu perkongsian ilmu oleh Ustaz Dr Syed Shahridzan Ben Agil di mana seorang bertanyakan adakah dibolehkan membeli barangan tertinggal di masjid, ia yang wajib kita tahu.
Berikut adalah perkongsian di fbnya.
Assalamualaikum ustaz. Saya nak tanya Ustaz. Suami saya bendahari surau. Dia ada simpan barang-barang berharga yang dijumpai di surau seperti jam dan wang tunai. Jika barang-barang itu tidak dituntut selepas diwar-warkan, bolehkah saya menebus sebab saya suka satu jam yang disimpan itu. Bagaimana caranya Ustaz. Terima kasih.
Jawapan: 1) Ada sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Zaid bin Khalid al-Juhani Radiyallahu 'anhu, bahawa seorang lelaki datang kepada Rasululullah ﷺ tentang barang yang dijumpai, lalu baginda bersabda:
اعرف وكاءها وعفاصها، ثم عرِّفها سنة، فإن لم تعرف فاستنفقها، ولتكن وديعة عندك، فإن جاء طالبها يوماً من الدهر فأدِّها إليه.
Maksudnya: “Kenali lah ikatannya dan bungkusannya, kemudian umumkan pada orang ramai selama setahun, jika kamu tidak mengetahui (pemiliknya) maka kamu boleh memilikinya dan ia menjadi simpanan kamu. Jika suatu hari pemiliknya datang hendaklah kamu serahkan ia padanya”. (HR Imam Bukhari dan Muslim)
2) Berdasarkan hadis di atas, jika seseorang itu menemui barang yang berharga (seperti emas, perak, pakaian, jam) maka dia boleh mengambilnya jika berniat untuk mencari si pemilik barang itu. Seterusnya dia perlu mengenali tanda-tanda barangan itu supaya dapat membezakan antara barang-barang yang lain, agar nanti mudah mengesan pemilik barang itu melalui tanda-tanda barang tersebut.
3) Permasalahan ini dibincangkan di dalam kitab² fiqh dalam bab "Luqatah". Menurut ahli² fiqh, penemu barang itu mesti lah mengumumkan barang yang ditemui itu selama setahun, melalui wacana yang ada pada ketika itu. Wacana yang tercatat di dalam kitab-kitab fiqh klasik seperti memaklumkan di pintu masuk masjid dan pasar mengikut adat atau 'uruf setempat ketika itu. Namun dalam konteks zaman sekarang ia boleh diumumkan di media sosial, suratkhabar atau wacana komunikasi yang lain seperti aplikasi Whatsapp 'Group' dan Telegram.
4) Disunatkan disebut hanya sebahagian sifat² barang yang ditemui ketika ia dihebahkan. Namun tidak wajib menyebut keseluruhan sifat-sifat barang yang ditemui itu, bahkan ditegah menerangkan kesemua sifat barang itu kerana dikuatiri akan diambil kesempatan oleh individu² yang cuba menipu.
5) Setelah berlalu dalam tempoh setahun maka barang itu boleh dimiliki si penemu barang itu dan dia berhak untuk menggunakkannya malah boleh menjual barang itu. Namun hak milik barang yang dijumpai itu bukan menjadi hak mutlak si penemu, jika pemilik barang itu datang menuntut barangnya maka penemu wajib memulangkan kepada tuannya. Jika barang itu sudah tiada lagi samaada setelah tempoh setahun atau tidak, maka si penemu wajib menggantikan barang itu semula samaada dengan bayaran atau ganti barang yang sama sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi.
6) Jika barang luqatah yang sedikit yang mana ia biasanya lenyap dari dari hati tuannya, iaitu jika hilang dan ia tidak diambil berat atau dicari oleh tuannya seperti dinyatakan dalam kitab² fiqh, sebiji tamar, sebiji buah dan seumpamanya, maka si penemu tidak wajib mengiklankannya malah si penemu boleh memilikinya. Permasalahan ini boleh dibandingkan seperti wang syiling 1 sen atau sepuluh sen, namun lebih baik disedekahkan di tabung masjid atau kebajikan menurut sebahagian guru-guru kami.
7) Jika barang luqatah termasuk dalam kategori yang mudah dan cepat rosak seperti nasi lemak, roti dan seumpamanya maka diharuskan melakukan dengan salah satu dari dua cara. Pertama: Barang itu dijual dengan izin hakim (konsep ini tiada lagi pada zaman kini) dan dimiliki hasil jualan itu. Kedua: Makan makanan itu kerana risaukan pembaziran.
8)) Berbalik soalan di atas, jika pihak surau menemui barang yang berharga maka pihak surau mesti mengumumkan barang yang ditemui itu selama setahun pada orang ramai.
Setelah tempoh setahun dan pemilik barang itu tidak juga ditemui maka barang itu semua menjadi hak milik surau dan surau boleh menjual pada sesiapa yang dikehendaki.
9) Namun jika datang pemilik barang dan menuntut barang itu maka pihak surau wajib memulangkan kembali, jika barang itu sudah tiada maka wajib digantikan dengan wang yang mana tidak wajib digantikan dalam bentuk barang asal. Wallahu A’lam Sumber : Ustaz Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Rezeki baik harta benda dan wang adalah dambaan manusia pada masa kini. Namun adakah rezeki yang banyak ini adalah yang terbaik buat kita? Ini kerana ada satu hadis yang menyatakan rezeki yang terbaik sebenar adalah rezeki yang cukup.
Persoalan ini diajukan oleh netizen dalam soal jawab yang dirungkai jawapannya dalam Maktabah Al Bakri.
Benarkah rezeki yang cukup adalah rezeki yang terbaik?
Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.” (Surah al-Zariyat: 56-58)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan ya, berdasarkan sebuah hadith di mana:
Diriwayatkan daripada Abu Wa’il bahawa seorang hamba mukatab (yang boleh menebus dirinya jika dia membayar sejumlah wang kepada tuannya) bertemu dengan Ali R.A. Hamba ini berkata kepada Ali: “Sesungguhnya aku tidak mampu untuk membayar tebusan kepada tuan aku.”
Saidina Ali R.A lalu berkata: “Mahukah aku ajarkan kepada kamu beberapa perkataan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepadaku, jika engkau sebutkannya, jika engkau mempunyai hutang sebesar bukit Sobir maka Allah SWT akan menunaikan hutang tersebut bagi kamu. Katakanlah:
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah aku dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah aku dengan kurniaan-Mu, tanpa aku mengharapkan kepada selain-Mu.” Riwayat al-Tirmizi (3563), Ahmad (1319)
Imam al-Munawi menyebut: Sesiapa yang menyebutnya dengan niat yang benar, akan mendapat kesan pengabulan dengan segera. (Lihat al-Taisir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir, 1/809)
Sifat tamak dalam rezeki yang banyak
Kadang-kadang rezeki yang banyak tetapi masih tidak mencukupi. Tambahan pula, adanya sifat tamak yang menguasai diri manusia apatah lagi wujudnya sifat boros dalam berbelanja yang mengakibatkan kepincangan kehidupan dek kerana tidak pandai mengurus kewangan. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Ia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata.” (Surah al-Syura: 27)
Seperkara lagi, dalam doa di atas, disebut cukupkan kepadaku dengan yang halal sahaja kerana kita tidak mahu yang haram berdarah daging dalam tubuh kita.
Keduanya, kita memohon kurniaan Tuhan untuk mengkayakan kita bukan orang lain sebagaimana di hujung doa tersebut:
وَأَغْنِنِى بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Yang membawa maksud, “Kayakanlah aku dengan kurniaan-Mu, tanpa aku mengharapkan kepada selain-Mu.”
Mengiktiraf rezeki dan kurniaan itu daripada Allah SWT merupakan sifat para nabi. Lihatlah ucapan Nabi Sulaiman sebagaimana firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dia berkata, “Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya.” (Surah al-Naml: 47)
Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”
Mungkin ramai yang berasa seronok menggunakan bila mana laman web pilihan Shopee menawarkan perkhidmatan Shopee Pay Later. Namun sebelum terus menerima tawaran transaksi ini, ada beberapa perkara kena tahu khususnya dalam bab riba yang merupakan dosa besar.
Dikongsi dari page Mufti Wilayah Persekutuan, pembaca ada bertanya hukum menggunakan Shopee Pay Later ini.
Jawapan Ringkas:-
Terdapat beberapa isu syariah yang timbul melibatkan caj pemprosesan dan caj lewat bayar dalam sistem SpayLater sebagaimana berikut:
1) Bagi kaedah pembayaran secara one-off dalam tempoh sebulan, tiada isu syariah padanya sekiranya pembayaran diselesaikan dalam tempoh sebulan sepertimana yang ditetapkan. Sebaliknya, sekiranya pelanggan lewat menyelesaikan bayaran dan dikenakan caj lewat bayar, maka berlakulah riba yang diharamkan Syarak.
2) Bagi kaedah pembayaran secara ansuran pula, terdapat dua isu Syariah padanya melibatkan caj pemprosesan dan caj lewat bayar. Hal ini kerana setiap caj pemprosesan dan caj lewat bayar yang dikenakan melebihi kos operasi dan kerugian sebenar adalah sebahagian daripada riba. Oleh itu, umat Islam dilarang untuk terlibat dengan sebarang transaksi yang mempunyai unsur riba kerana riba adalah haram dan berdosa besar.
Huraian Jawapan:-
SPayLater adalah sistem pembayaran beli sekarang bayar kemudian (buy now pay later) yang disediakan oleh Shopee. Pengguna boleh membuat belian dengan segera dan membayarnya pada bulan hadapan sekaligus atau melalui pelan bayaran ansuran ansuran (instalment plan) selama beberapa bulan sama ada 2 bulan, 3 bulan atau 6 bulan. Pihak Shopee telah melantik SeaMoney Capital Malaysia Sdn Bhd untuk menguruskan operasi pembayaran ansuran Shopee ini.[1]
Sistem SPayLater adalah melibatkan hutang. Ini adalah kerana, pihak SeaMoney yang dilantik Shopee akan bayar kepada penjual Shopee terlebih dahulu bagi pihak pembeli, kemudian pelanggan perlu membayar kepada SeaMoney secara ansuran atau one-off dalam tempoh sebulan. Justeru itu, pelanggan dianggap berhutang dengan pihak SeaMoney ketika menggunakan perkhidmatan SPayLater ini. Oleh kerana persoalan yang diajukan adalah berkaitan hutang, perbincangan artikel ini akan memfokuskan isu-isu riba yang berlaku dalam sistem bayaran ansuran ini yang melibatkan bayaran tertanguh (hutang) dan pengenaan caj lebihan.
Dalam Islam, riba adalah diharamkan dan pihak yang terlibat dengannya akan mendapat dosa besar. Hal ini dapat dilihat melalui firman Allah SWT berikut:
وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا Maksudnya:Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Surah al-Baqarah (275)
Para ulama ketika menerangkan pengharaman riba menyatakan bahawa, riba bermaksud tambahan. Dalam konteks hutang, riba adalah caj tambahan yang dikenakan ke atas jumlah hutang atau caj tambahan kerana seseorang lewat membayar hutang. Manakala pertambahan atau margin untung yang berlaku dalam jual beli biasa tidak dianggap sebagai riba. (Rujuk Tafsir al-Tabari 13/6[2]; Tafsir al-Mawardi 347/1[3]; Tafsir al-Baghawi 342/1[4])
Ulama membahagikan riba kepada dua kategori utama iaitu Riba al-Qard (berlaku dalam transaksi hutang) dan Riba al-Buyu’ (berlaku dalam jual beli barang-barang ribawi seperti emas dan perak). (Rujuk al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh 3739/5[5])
Oleh itu, perbahasan yang menjadi fokus dalam menjawab persoalan ini akan bertumpukan hukum hakam berkaitan riba dalam hutang (riba al-Qard).
Selain itu, terdapat hadis yang diriwayatkan oleh al-Haris di mana Rasulullah SAW menyatakan bahawa setiap hutang yang disertakan manfaat atau keuntungan sebagai balasan dianggap sebagai riba. Rasulullah SAW bersabda:-
كل قرض جر منفعة فهو ربا
Maksudnya:Setiap hutang yang mendatangkan manfaat keuntungan (kepada pemiutang) maka ia adalah riba. Riwayat al-Haris dalam Musnad al-Haris (437)
Untuk memudahkan kefahaman berkenaan Riba al-Qard ini, dinyatakan di sini dua situasi berikut:
Ali memberi pinjam RM100 kepada Ahmad dan memintanya membayar RM110, RM10 lebihan itu adalah riba.
Ali meminjamkan RM100 kepada Ahmad dan Ahmad perlu membayar dalam tempoh sebulan. Namun begitu Ahmad terlewat bayar hutangnya itu. Ali mengenakan caj RM10 kerana Ahmad lambat bayar. RM10 caj tersebut adalah riba.
Isu-Isu Syariah dalam SPayLater
Setelah meneliti berkaitan sistem yang ditawarkan ini, kami rumuskan bahawa terdapat beberapa isu syariah bagi kaedah bayaran yang ditawarkan. Isu-isu syariah yang dikenal pasti adalah sebagaimana berikut:
Processing Fee (Caj Pemprosesan)
Processing Fee adalah caj tambahan yang dikenakan bagi pelanggan yang memilih pelan ansuran yang ditawarkan pihak Shopee. Pelanggan yang memilih bayaran menggunakan installment plan akan dikenakan caj pemprosesan sebanyak 1.25% setiap bulan daripada jumlah belian.[6] Tiada caj tambahan akan dikenakan sekiranya pelanggan bayar secara one-off dalam tempoh sebulan.[7]
Processing Fee yang dikenakan di atas dilihat mempunyai unsur riba kerana mengambil manfaat keuntungan daripada pinjaman yang diberikan. Namun begitu, para ulama kontemporari telah membincangkan berkenaan caj servis perkhidmatan dan seumpama dengannya. Caj servis perkhidmatan dibenarkan dengan mematuhi syarat-syarat ketat yang berikut:
Caj yang dikenakan hendaklah bertepatan dengan kos sebenar (actual cost).
Caj yang dikenakan hendaklah berdasarkan kos langsung (direct cost) bukannya kos tidak langsung (indirect cost) seperti pembayaran gaji pekerja dan sewa pejabat.
Caj yang dikenakan tidak boleh dikenakan secara peratusan daripada jumlah pinjaman. Sebaliknya, ia hendaklah mengikut kadar sebenar kos pengurusan yang terlibat tanpa sebarang penambahan.
Boleh dikenakan caj dalam bentuk anggaran sekiranya sukar untuk meletakkan satu amaun yang pasti melainkan selepas akaun tutup pada penghujung tahun. Jadi, sekiranya amaun sebenar sudah diketahui, setiap lebihan perlulah dipulangkan semula kepada penghutang mengikut medium yang dipersetujui bersama.
(Rujuk AAOIFI Shariah Standards, No.19 Loan (Qard)[8], hlm 518-519; Fatwa Dar al-Ifta’ Jordan No.3073[9])
Late Payment Fee (Caj Lewat Bayar)
Late payment Fee atau Caj lewat bayar akan dikenakan kepada pelanggan yang gagal membuat bayaran dalam tempoh masa yang ditentukan bagi kedua-dua kaedah pembayaran. Pelanggan akan dikenakan caj tambahan sebanyak 1.5% daripada jumlah yang tertunggak secara bulanan.[10][11]
Caj Lewat Bayar di atas dilihat mempunyai unsur riba yang jelas. Hal ini kerana setiap hutang yang disertakan bayaran tambahan akibat berlaku kelewatan dalam pembayaran adalah termasuk dalam kategori Riba al-Qard sepertimana yang telah dijelaskan.
Namun begitu, sekiranya caj tersebut dikenakan bagi menampung kos kerugian maka ia dibenarkan dengan syarat kos tersebut berdasarkan actual cost (kerugian sebenar) sebagai pampasan (ta’widh) bukanlah dianggap sebagai denda (gharamah) mahupun pendapatan tambahan bagi syarikat penyedia kewangan. (Rujuk: Resolusi Syariah Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia Berkaitan Ta’widh dan Gharamah, hlm. 129-130[12])
Kesimpulan
Setelah penelitian dilakukan terhadap sistem pembayaran ansuran yang ditawarkan Shopee iaitu SPayLater, kami mendapati bahawa terdapat beberapa isu-isu syariah yang timbul. Isu-isu syariah tersebut adalah pada caj pemprosesan dan Caj lewat bayar yang mempunyai unsur riba. Manakala bagi kaedah pembayaran secara one-off dalam tempoh sebulan, maka tiada isu syariah padanya kerana tidak ada unsur riba dan ia boleh digunakan. Namun, sekiranya pelanggan lewat bayar dan dikenakan caj tambahan, maka berlakukah ribaal-Qard. Adalah ditegaskan bahawa umat Islam dilarang untuk terlibat dengan sebarang transaksi yang mempunyai unsur riba kerana riba adalah haram dan berdosa besar.
Anak yang selalu beri duit dimanja dan disayangi, tapi anak yang jarang hulur duit kerana hidup susah dilayan kasar dan dimarah-marah. Bukan hanya dalam...