Sudah jadi kebiasaan kalangan kita untuk berkongsi gambar rutin seharian dengan rakan-rakan rapat baik melalui pelbagai aplikasi antaranya What’s App, Instagram dan sebagainya.
Ada masa gambar yang dikongsi tidak menutup aurat dengan sempurna tapi ramai menganggap ia tidak jadi masalah kerana hanya dilihat oleh sama jantina dan rakan rapat saja.
Tapi benarkah begini? Persoalan ini juga ditanyakan oleh netizen dalam soal jawab kepada Mufti Wilayah Persekutuan.
Soalan
Assalamualaikum, ustaz. Bolehkah kalau post gambar tak tutup aurat dengan sempurna macam tak pakai tudung dalam kalangan ‘close friend’ perempuan kat Instagram? Saya lihat ada kenalan yang buat macam tu. Mohon pandangan dan terima kasih.
Jawapan
Ads
Bagi menjawab persoalan di atas, hukum menghantar atau memuat naik gambar gambar dengan keadaan tidak menutup aurat adalah perkara yang dilarang dalam syarak sama ada perbuatan ini dilakukan oleh lelaki mahupun wanita.
Setiap muslim perlu ada sifat malu dan berusaha menjaga auratnya sebaik mungkin dan tidak boleh mengambil mudah akan perihal aurat sehingga menjadi tontonan golongan ajnabi. Allah SWT berfirman:
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. Surah al-Nur (30-31)
Ads
Justeru itu, membuka aurat tanpa sebarang tujuan darurat adalah haram sama ada aurat diri sendiri atau aurat orang lain.
Kemungkinan tersebar
Walaupun gambar atau video yang dimuat naik telah dihadkan tontonannya kepada hanya yang mahram atau dalam kalangan sejantina, namun masih terdapat kemungkinan gambar itu tersebar sehingga menjadi tontonan ajnabi.
Justeru itu, sebagai langkah berjaga-jaga dan menghindarkan diri daripada fitnah, setiap orang perlu menapis setiap gambar dan perbuatan yang akan dipertontonkan kepada orang ramai.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda:
لَا تُبَاشِرُ المَرْأَةُ المَرْأَةَ، فَتَنْعَتَهَا لِزَوْجِهَا كَأَنَّهُ يَنْظُرُ إِلَيْهَا
Maksudnya: Janganlah seorang wanita bergaul dengan wanita lain, lalu wanita lain itu menceritakan kepada suaminya sehingga seakan-akan suaminya melihat wanita yang diceritakannya.[1]Riwayat al-Bukhari
Ads
Berdasarkan hadis tersebut, seorang isteri dilarang menceritakan keadaan bentuk badan wanita lain kepada suaminya kerana dikhuatiri suaminya berasa tertarik dengan sifat yang disebutkan sehingga menceraikan isterinya dan mengidamkan wanita yang diceritakan sifatnya itu.
Hadis ini merupakan hujah Imam Malik dalam menentukan piawaian sadd al-zariah iaitu menghalang perbuatan harus yang boleh membawa kepada sesuatu yang haram. (Rujuk Fath al-Bari, Imam Ibn Hajar al-Asqalani, 9/338)[2]
Oleh yang demikian, memuat naik gambar atau video yang tidak menutup aurat dengan sempurna sewajarnya dielakkan. Walaupun tontonan di media sosial boleh dihadkan dan ditetapkan kepada golongan tertentu, namun terdapat kemungkinan gambar atau video itu boleh tersebar kepada orang lain atau dikhuatiri keadaannya itu diceritakan oleh orang yang melihat kepada ajnabi.
Ibu atau bapa meninggal dunia dan kita tahu mereka ada meninggalkan puasa Ramadan kerana keuzurannya. Dalam hal ini wajibkah seorang anak qada puasa tersebut.
Bagi persoalan di atas, sekiranya keuzuran seseorang itu berterusan sehingga dia meninggal dunia seperti sakit tua, penyakit dan sebagainya maka ia tidak dikira berdosa. Tidak wajib ke atasnya, begitu juga bagi pihak walinya (saudara terdekat) kerana kewajipan berpuasa tidak dapat dilaksanakan sehinggalah dia meninggal dunia, maka telah gugur hukum berpuasa buatnya.
Boleh tapi tidak diwajibkan
Sekiranya seseorang itu mampu untuk mengqadha’kan puasa yang ditinggalkan sama ada sebab uzur ataupun tidak, namun tidak diqadha’kan sehingga dia mati, mazhab al-Qadim (dan ia adalah yang rajih dan disahihkan oleh golongan muhaqqiq), dalam keadaan begini dibolehkan bagi wali untuk berpuasa bagi pihak si mati namun tidaklah dilazimi (wajib) akan perbuatan tersebut.
Ini berdasarkan hadis `Aisyah R.Anha yang mana Nabi SAW telah bersabda:
مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ
Maksudnya: Siapa yang mati dan padanya terdapat puasa yang belum digantikan, maka berpuasa bagi pihak (si mati) walinya. Riwayat al-Bukhari (1952) & Muslim (1147)
Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Minhaj menyebutkan bahawa bagi mereka yang berbuka puasa kerana uzur dan berpanjangan uzur atau sakitnya itu sehinggalah mati, maka tidak ada puasa ke atasnya, dan tidak perlu membayar fidyah baginya dan tidak pula orang lain berpuasa baginya.
Dalam sebuah hadis yang lain, daripada Ibn `Abbas R.Anhuma, telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya ibuku telah mati dan masih ada padanya baki puasa sebulan (yang belum diqadha’kan). Adakah aku perlu menggantikannya?.
Jawab Nabi SAW:
فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى
Maksudnya: Adapun hutang Allah itu lebih berhak untuk dilunaskan. Riwayat Abu Daud (3310)
Puasa tersebut boleh digantikan oleh wali si mati dari kalangan ahli keluarga yang terdekat dan boleh juga untuk mengupah orang lain berpuasa bagi si mati. Sekiranya terdapat orang luar (bukan dari kalangan wali si mati) yang berpuasa bagi si mati tanpa izin atau tiada wasiat dari si mati maka tidak sah puasa tersebut.
Sekiranya wali tidak berpuasa bagi si mati, dan tidak juga orang yang lain, maka dikeluarkan fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkan dengan satu mud (cupak). Sekiranya si mati tiada harta maka dibolehkan untuk orang lain mengeluarkan hartanya bagi menyelesaikan hutang puasa si mati dalam bentuk fidyah.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Hari ini ramai pasangan suami isteri berkerjasama mengusahakan perniagaan demi meningkatkan tahap ekonomi keluarga. Dalam hal keuntungan pula untuk memudahkan ia dibahagi dua.
Namun menjadi persoalan selepas membahagikan keuntungan perlukah nafkah kepada isteri dibayar lagi. Perkara ini ditanyakan oleh seorang netizen kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Berikut adalah jawapan yang diberikan, semoga menjadi panduan buat pasangan suami isteri yang mengusahakan perniagaan bersama.
Asslamualaikum wbt
Saya ingin bertanya berkaitan nafkah. Saya dan isteri sama-sama berniaga di rumah. Saling bantu membantu. Keuntungan berniaga untuk bayar rumah, bil, barang dapur dan lain-lain keperluan. Selebihnya kami bahagikan sama rata. Jadi perlukah lagi saya memberikan nafkah duit kepada isteri.? Pendapatan saya menjadi kecil sebab sudah dibahagikan untuk komitmen tadi. Kalau ikutkan makan, pakain, tempat tinggal sudah tersedia. Saya rasa terbeban, sebab nak buat simpanan sendiri lagi dan nak hulurkan kepada ibu bapa di kampung. Wajibkah lagi saya memberi nafkah wang kepada isteri.? Jika isteri tidak redha macam mana? Terima kasih.
RINGKASAN JAWAPAN
Kami simpulkan jawapan dari persoalan di atas melalui beberapa isi yang utama:
Nafkah ialah mengeluarkan belanja atau sara hidup kepada mereka yang wajib atas seseorang itu untuk membiayainya.
Para ulama bersepakat (Ijma’) suami wajib memberi nafkah kepada isterinya.
Suami wajib memberi nafkah kepada isteri walaupun isteri ada harta atau pendapatan.
Sekiranya isteri redha tidak diberi nafkah, suami terlepas dari kewajipannya. Namun sebaliknya jika suami enggan untuk memberi nafkah, nafkah tersebut akan menjadi hutang bagi pihak isteri.
Kadar nafkah ialah melihat kepada kemampuan keadaan suami.
Nafkah kepada keluarga tetap wajib meskipun ketua keluarga jatuh miskin, manakala nafkah kepada ibu bapa hanya wajib jika anak itu mampu. Majoriti ulama berpendapat nafkah terhadapa isteri dan anak lebih utama daripada ibu bapa.
Maksudnya: “laki-laki (suami) itu pelindung bagi perempuan (isteri), kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahgian yang lain (perempuan), dan kerana mereka (laki-laki) telah memberikan nafkah dan hartanya.” Surah al-Nisa’ (34)
Sayyid Qutub dalam mantafsirkan ayat ini katanya:
Allah telah menciptakan manusia lelaki dan perempuan sebagai suami isteri mengikut peraturan semesta untuk membangunkan alam ini. Di antara tugas-tugas perempuan yang telah dijadikan Allah ialah mengandung, melahir, menyusu dan membela anak selaku hasil hubungan dengan lelaki.
Tugas-tugas ini adalah tugas yang besar dan penting bukannya tugas yang senang dan kecil yang boleh dilaksanakan begitu sahaja tanpa persediaan jasmani, persediaan kejiwaan dan persediaan amali yang mendalam dalam diri perempuan.
Oleh itu adalah adil bagi Allah meletakkan ke atas bahu lelaki tugas mengadakan keperluan-keperluan rumahtangga dan tugas memberi perlindungan kepada perempuan supaya ia dapat memberi tumpuan kepada tugas yang penting ini.
Tentulah tidak sewajarnya ia dipaksa mengandung, melahir, menyusu dan memelihara anak-anak sedangkan serentak dalam waktu yang sama ia terpaksa bekerja, berpenat dan berjaga untuk memelihara keselamatan dirinya dan keselamatan anaknya.
Begitu juga adil bagi Allah mengurniakan kepada lelaki dan perempuan ciri-ciri khusus masing-masing pada struktur anggota, saraf, akal dan jiwa mereka masing-masing, iaitu ciri-ciri yang dapat membantu mereka dalam kerja-kerja melaksanakan tugas mereka masing-masing. (Lihat: Fi Zilal al-Quran, Dar al-Syuruq 2009M al-Qahirah 2/650)
Manakala terdapat hadis Nabi SAW yang menyuruh kepada perkara tersebut berdasarkan hadis dari Mu’awiyah al Qusyairi R.anhu telah bertanya kepada Nabi SAW:
يا رسولَ اللَّهِ ، ما حقُّ زَوجةِ أحدِنا علَيهِ ؟ ، قالَ : أن تُطْعِمَها إذا طَعِمتَ ، وتَكْسوها إذا اكتسَيتَ ، أوِ اكتسَبتَ ، ولا تضربِ الوَجهَ ، ولا تُقَبِّح ، ولا تَهْجُرْ إلَّا في البَيتِ
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajipan suaminya?” Baginda menjawab,”Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah”. (Lihat: Sunan Abi Daud, al-Maktabah al-Asriyyah Birut, 2/244)
Soal nafkah boleh buat suami isteri bercakaran
Sehubungan dengan itu, majoriti ulama mengatakan nafkah yang wajib diberi kepada isteri itu ialah tujuh perkara:
Makanan
Barang-barang dapur
Pakain
Tempat tinggal
Alat-alat untuk membersihkan diri
Barangan rumah
Pembantu kepada isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu (bagi suami yang mampu sahaja).
(Lihat: Mughni al-Muhtaj, Dar al-Fikri Birut, 3/426, al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, Dar al-Fikri Damsyiq, 10/7349)
Para ulama bersepakat (Ijma’) suami wajib memberi nafkah kepada isterinya. Ini bersandarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 233 yang tertulis diatas. Malahan ia termasuk juga sekiranya isteri mempunyai pendapatan, harta atau pekerjaan. Kewajipan nafkah tetap dipangku oleh suami.
Bahkan meninggalkan pemberian nafkah kepada isteri dan anak-anak dianggap sebagai satu dosa berdalilkan sabda Nabi SAW yang berikut. Abdullah bin ‘Amr bin al-Ash berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Cukuplah seorang lelaki itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan tanggungjawabnya ke atas sesiapa yang berada di bawah penjagaannya. (Lihat: Sunan Abi Daud, al-Maktabah al-Asriyyah Birut, 2/132)
Di dalam perbahasan nafkah suami terhadap isteri, para ulama feqah membahagikan kepada tiga golongan suami, yang senang, sederhana dan susah. Sekiranya suami merupakan orang susah, maka cukup sekadar mengeluarkan nafkah yang asas. Seperti mengeluarkan secupak beras berserta dengan lauk asas yang mengikut tradisi setempat.
Kemudian, menyediakan pakaian asas untuk dipakai isteri mengikut pakaian yang dipakai masyarakat setempat sama ada ketika di rumah dan ketika keluar dari rumah, cukup sekadar menutup aurat serta mengikut budaya pakaian orang Islam setempat.
Kemudian, menyediakan rumah mengikut kemampuan, tanpa disyaratkan untuk memiliki rumah tersebut, sudah memadai sekiranya menyewa. Sekiranya suami yang tidak berkemampuan ini menunaikan tanggungjawab dengan memberi nafkah asas ini, maka isteri tidak berhak untuk memohon fasakh. (Lihat: Hasyiyah al-Bajuri ala Ibn Qasim, Halabi Fatoni, 2/190-191)
Terdapat pelbagai nas al-Quran dan Sunnah berkenaan kemampuan nafkah suami di antaranya, Firman Allah SWT:
Maksudnya: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan. Surah al-Talaq (7)
KESIMPULAN
Dalam kondisi saudara, kami menasihatkan supaya saudara berbincang dengan isteri tentang nafkah yang berkaitan selain daripada nafkah yang asas seperti alat-alat untuk membersihkan diri dan seumpamanya. Namun perlu diingatkan bahawa pemberian nafkah ini hendaklah mengikut kemampuan suami.
Selain itu, sekiranya si isteri redha dengan suami tidak memberi nafkah zahir, adalah dibenarkan. Tetapi apabila muncul masalah di kemudian hari, mungkin isteri akan mengungkit dan akan mendatangkan masalah yang lebih besar.
Justeru, suami perlu bertekad untuk menguruskan nafkah keluarga dengan baik. Perlu sentiasa berunding dengan hikmah dan baik dengan isteri. Dicadangkan juga suami dan isteri menyediakan plan tindakan bersama bagi mengurus kewangan keluarga.
Nampak pokok bunga cantik tepi jalan atau lebuh raya kita pun berhenti dan cantas sedikit batangnya untuk buat benih tanam di rumah.
Mungkin dah biasa kita lakukan tapi harus diingat ada hukum dan adab yang termaktub tentang perkara ini dalam Islam. Persoalan ini dibangkitkan oleh netizen kepada Mufti Pulau Pinang dan berikut adalah penjelasan yang diberikan. Moga dijadikan panduan buat kita.
Soalan
Apakah hukum mengerat sedikit ranting dan tunas atau mengambil anak yang tumbuh dari pokok bunga yang hidup di tepi jalan raya atau di taman. Tujuannya adalah untuk mendapat benih/baka bagi tumbuhan tersebut. Cara mengerat dibuat dengan baik dan tidak merosakkan tumbuhan tersebut.
Jawapan
Hukum asal adalah haram mengambil atau mengerat walaupun sedikit ranting atau tunas pada pokok di tepi jalan atau taman kerana ia adalah milik orang lain kecuali dengan izinnya.
Perkara ini termasuk dalam kategori mengambil atau memakan harta orang lain secara batil (salah) yang telah diharamkan oleh Allah SWT seperti dalam firmannya:
Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan salah.”
(Surah al-Baqarah: 188)
Namun syarak mengiktiraf adat dan budaya baik setempat. Jika adat dan budaya sesuatu tempat masyarakat yang hidup berjiran saling membenar dan menghalalkan sesama mereka, maka ia adalah dibenarkan mengambil dan memakannya dengan tidak berlebih-lebihan sekadar untuk keperluan dirinya sahaja.
Akan tetapi berasaskan kepada sifat wara’, adalah baik tidak mengambil dan memakannya kecuali telah diketahui secara pasti bahawa jiran atau tuan tanah tersebut sememangnya seorang yang baik hati atau terus sahaja meminta izin daripadanya atau orang yang menguruskannya.
Hal ini juga termasuk tanah milik kerajaan atau kawasan rizab yang telah ditentukan, maka sebaiknya hendaklah mendapat keizinan terlebih dahulu. Demikianlah adab-adab yang dititik beratkan dalam Islam. Moga kita dapat mempraktikkannya, insya Allah.
Keluar pejabat pada waktu bekerja untuk melakukan urusan peribadi ibarat satu kebiasaan. Ada yang memberitahu majikan tapi ramai juga yang keluar senyap-senyap hingga berjam-jam...