Kerohanian

Hukum Kutip Derma Tapi Ambil Komisen Dan Hidup Mewah

Share

Ketika ini banyak sekali badan bukan kerajaan atau NGO mengutip derma atau dana atas nama untuk membantu pembangunan sekolah pondok, madrasah, masjid, orang sakit, bantuan bencana dan sebagainya.

Tapi pada masa yang sama daripada kutipan derma yang diperoleh, NGO ini mengambil beberapa peratus sebagai komisen atau untuk tujuan pengurusan dan ada juga dilihat hidup mewah. Dalam hal ini apakah hukumnya?

Menurut pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus, haram hukumnya mengutip derma untuk sekolah pondok kemudian mengambil komisen dan hidup mewah.

Perkara ini dijelaskan oleh beliau apabila ditanya tentang hal tersebut dalam satu siri ceramahnya.

“Hukumnya haram! Memang ramai yang nak membantu sekolah pondok tapi sebenarnya dengan niat lain untuk dapatkan wang.

“Dr Wahbah al-Zuhaili dalam buku Al fiq Al Islami mengatakan upah pengurusan itu sebenarnya kecil antara 2-3 peratus saja, atau 4 peratus dibenarkan syarak.

“Ini tidak, dapat kutipan RM100k untuk sekolah pondok tapi NGO ambil RM30k atau 30 peratus untuk pengurusan. Itu bukan pengurusan.

“Dalam perbuatan kita biarlah ada keikhlasan. Guna duit kita sekali selain duit sumbangan orang ramai untuk beri bantuan supaya kita tidak rasa ‘sedap’ hingga kita lupa tujuan asal perbuatan kita.

“Ada yang buat NGO dan sebagainya kerana ‘sedap’ dapat sumbangan besar. Contoh dapat RM4 juta sebulan tapi ambil RM1 juta untuk pengurusan bagi urusan gaji dan sebagainya. Lama lama jadi kaya dengan cara itu,” jelas beliau.

 

Published by
Team Kashoorga