Hukum Memakai Wangian, Ini Yang Muslimah Wajib Tahu!

Share

Daripada Abu Musa Al-Asy`ari RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Perempuan yang mengenakan wangian dan berjalan melewati satu kaum dan didapati bau daripadanya perempuan itu penzina.” (Riwayat Abu Daud (4173) & Al-Nasa’ie (5126). Hadis ini dinilai sebagai hasan)

Al-Imam Al-Munawi RHM menyebut dimaksudkan dengan hadis di atas adalah perempuan yang memakai minyak wangi yang terzahir dan kuat baunya kemudian keluar dari rumah lalu melewati satu kaum (lelaki ajnabi) dan memang itu tujuannya, perempuan itu penzina dari sudut mendapatkan dosanya. (Lihat: Faydh Al-Qadir. Maktabah Al-Tijariyyah Al-Kubra, 3/147)

Seterusnya Imam Al-Munawi RHM menyebutkan: “Dan perempuan jika mengenakan wangian lalu melewati satu majlis (yang padanya terdapat lelaki) ia mampu menaikkan syahwat lelaki dan mendorong untuk memandang ke arahnya, setiap yang memandang ke arahnya, matanya telah melakukan zina. Perempuan itu mendapat dosa kerana memancing pandangan dan menjadikan hati lelaki tidak tenang. Ia sebab berlakunya zina mata dan ia termasuk penzina.” (Lihat: Faydh Al-Qadir. Maktabah Al-Tijariyyah Al-Kubra, 5/27)

Dalam hadis lain, daripada Abu Hurairah RA satu ketika dia bertemu seorang perempuan yang ingin pergi ke masjid dengan mengenakan wangian. Lalu Abu Hurairah RA berkata: “Kamu ke masjid dalam keadaan berwangi-wangian?

Sesungguhnya aku telah mendengar Nabi SAW bersabda: “Wanita yang mengenakan wangian kemudian menuju ke masjid, tidak diterima solatnya sehinggalah dia mandi (bagi menghilangkan bau wangi tersebut).” (Riwayat Ibn Majah (4002). Syeikh Syu’aib mengatakan bahawa sanadnya lemah kerana terdapat padanya `Asim bin Ubaidullah)

Apabila melihat athar sahabat yang mana mereka menitikberatkan isu ini sepertimana diriwayatkan ketika zaman pemerintahan Umar Al-Khattab RA, telah keluar seorang wanita dalam keadaan mengenakan bau-bauan sehingga dicium baunya lalu Umar memukulnya dengan tongkat miliknya lalu berkata:

“Kalian, keluar rumah dengan memakai wangian sehingga lelaki mencium bau harum kalian?! Sesungguhnya hati lelaki itu ditentukan oleh bau yang dicium oleh hidungnya. Keluarlah kalian dari rumah dengan tidak memakai wangi-wangian.” (Riwayat Abdul Razak di dalam Musannafnya (8107)).

TIDAK BOLEH LANGSUNGKAH MEMAKAI WANGIAN?

Jelas menunjukkan bahawa haram seorang wanita mengenakan wangian apabila keluar rumah. Adapun jenis wangian yang disebutkan di sini adalah daripada jenis yang zahir, kuat baunya sehingga mengalihkan pandangan ajnabi tertumpu kepadanya.

Ini boleh menggerakkan syahwat lelaki yang mana hati mereka telah pun sakit dan boleh membawa kepada berlakunya perkara yang lebih buruk. Jika begini keadaannya, maka perbuatan tersebut haram dan Imam Ibn Hajar Al-Haithami RHM menyebutkan bahawa ia termasuk dalam dosa besar meskipun si suami mengizinkan berpenampilan sedemikian. (Lihat: Al- Zawajir. Dar al-Fikr, 2/71)

Adapun mengenakan sedikit wangian bagi tujuan menghilangkan bau badan seperti memakai deodoran, bedak talkum, sabun dan sebagainya, ini tidaklah termasuk dalam kategori yang disebutkan dalam hadis Nabi SAW sebelum ini.

Elakkan daripada menggunakan wangian yang kuat baunya sehingga boleh menarik perhatian lelaki ajnabi yang boleh menyebabkan fitnah dan juga boleh mengheret kepada lembah maksiat yang lain. Ini seperti mana yang terdapat di dalam hadis yang menyamakan perempuan sebegini sebagai penzina.

Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya wangian yang baik bagi lelaki adalah yang terzahir baunya dan tidak jelas warnanya dan wangian yang baik bagi wanita adalah yang terzahir warnanya dan tidak begitu kuat baunya.” (Riwayat Al-Tirmizi (2788).

(Dinilai sahih oleh Al-Albani) Al-Hasan mengatakan kemungkinan dimaksudkan dengan wangian wanita itu adalah wangian ketika keluarnya mereka dari rumah iaitu wangian yang jelas warnanya seperti za`faran dan baunya tidak pula kuat dan jelas. Adapun apabila bersama suaminya (tidak di khalayak) maka berwangi-wangianlah dengan apa yang disukai olehnya. Wanita boleh mengenakan sedikit wangi-wangian yang tidak terzahir baunya. Ini juga bagi menjaga penampilan wanita tersebut apabila berada di khalayak. Begitu juga dibolehkan bagi pemakaian bedak, deodoran, sabun dan sebagainya.

 

Published by
wan erni