Dalam fiqh Islam terdapat satu bab yang dinamakan ( نَظَرُ الرَّجُل إِلَى الْمَرْأَةِ عَنْ طَرِيقِ الْمَاءِ وَالْمِرْآةِ ) iaitu hukum seseorang lelaki melihat wanita melalui pantulan dalam atau cermin.
Dalam bab ini Imam Ar-Ramli ketika mensyarahkan pendapat Imam Nawawi dalam Al-Minhaj menyebut: diharamkan seorang lelaki yang baligh daripada melihat aurat wanita ajnabi yang merdeka tapi tidak haram jika aurat itu sekadar imej, gambar atau pantulan (mithal).
Maka tidak diharamkan melihat aurat melalui cermin sebagaimana yang difatwakan oleh sekumpulan ulama’ kerana ia tidak dikira melihat aurat secara langsung / terus. Namun, keharusan ini terpakai selagimana ia tidak menimbulkan fitnah. (Nihayatul Muhtaj
, 6/187. Juga disebut oleh Syeikh Abu Bakr ad-Dimyathi dalam I’anatu at-Thalibin, 3/301. Rujuk juga Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyah, 40/353-354 )Dalam hal ini, gambar samada yang bercetak atau dalam bentuk digital boleh diqiyaskan hukumnya kepada gambaran suatu objek yang terpantul pada cermin atau air. Maka hukum melihat kepada gambar yang tidak menutup aurat adalah harus jika ada keperluan dan tidak mendatangkan fitnah seperti menimbulkan syahwat. Maka memuat naik gambar tidak menutup aurat di media sosial atau dalam bentuk cetakan adalah harus jika ada keperluan dan tidak mendatangkan fitnah.
Ini turut disokong oleh qa’idah fiqhiyyah iaitu:
إِذا ضَاقَ الْأَمر اتَّسَع
Maksudnya: Sesuatu perkara itu apabila ia menjadi sempit, maka ia diperluaskan.
الْحَاجة تنزل منزلَة الضَّرُورَة
Maksudnya: Sesuatu hajat atau keperluan itu diraikan setakat yang diperlukan.
Dalam hal ini, mengharamkan memuat naik gambar yang tidak menutup aurat serta melihatnya secara mutlak akan menyebabkan kesusahan dan kesempitan apabila ada keperluan seperti wartawan yang ingin melaporkan lawatan pemimpin wanita non-Muslim ke Malaysia, laporan program keilmuan yang melibatkan wanita tidak bertudung dan sebagainya.
Dalam hal-hal tertentu, terdapat keperluan yang tidak dapat dielakkan seperti yang disebutkan di atas, maka keperluan tersebut perlu diraikan sekadar yang diperlukan.
Hukum asal memuat naik gambar sendiri yang mendedahkan aurat untuk tatapan umum di media sosial adalah HARAM kerana ia akan menyebabkan auratnya turut dilihat oleh bukan mahramnya. Walau bagaimanapun hukum seseorang memuat naik gambar wanita Muslimah yang memang tidak menutup aurat secara sempurna dalam kehidupan seharian atau wanita non-Muslim adalah HARUS jika atas keperluan tertentu yang bukan bertujuan ingin mendedahkan auratnya. Termasuk dalam keharusan ini bagi para wartawan akhbar yang melaporkan berita namun termasuk di dalamnya gambar-gambar yang tidak menutup aurat.
Contoh keperluan yang perlu diraikan ialah memuat naik gambar-gambar rasmi melibatkan urusan kerajaan, syarikat perniagaan atau gambar kenang-kenangan sewaktu program keilmuan. Disyaratkan juga gambar itu masih lagi bersifat sopan dan menepati neraca ketatasusilaan, tidak terlalu mendedahkan dan menghairahkan. Malah adalah lebih baik jika bahagian- bahagian tersebut dikaburkan bagi mengelakkan ia dilihat.
Selain itu sikap warak dan berhati-hati hendaklah diutamakan. Apabila dibimbangi dengan kadar ghalabah az-zhangambar yang dimuatnaik tersebut mampu menimbulkan fitnah, maka ia diharamkan berdasarkan kaedah Sadd Zari’ah, iaitu mencegah perkara-perkara harus yang boleh membawa kepada yang haram.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan