SOALAN:
Apakah hukum kita mengambil wuduk dalam keadaan tidak berpakaian?
JAWAPAN:
Suruhan untuk menutup aurat ketika mengambil wuduk tidak ada dinyatakan sebagai satu perkara wajib atau sunat untuk dilakukan.
Akan tetapi, di dalam bab mandi ada dinyatakan bahawa menutup aurat adalah satu daripada perkara sunat.
Namun begitu, ia berlainan pada keadaan mengambil wuduk atau mandi tanpa berpakaian di tempat awam, maka hukumnya jelas wajib untuk menutup aurat. Ini berdasarkan kepada Hadis Nabi SAW:
لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ وَلَا تَنْظُرُ الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ
Maksudnya: Lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki dan begitu juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita.
Hadis riwayat Muslim (no. 388)
قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ عَوْرَاتُنَا مَا نَأْتِي مِنْهَا وَمَا نَذَرُ قَالَ احْفَظْ عَوْرَتَكَ إِلَّا مِنْ زَوْجَتِكَ أَوْ مَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ فَقَالَ الرَّجُلُ يَكُونُ مَعَ الرَّجُلِ قَالَ إِنْ اسْتَطَعْتَ أَنْ لَا يَرَاهَا أَحَدٌ فَافْعَلْ قُلْتُ وَالرَّجُلُ يَكُونُ خَالِيًا قَالَ فَاللَّهُ أَحَقُّ أَنْ يُسْتَحْيَا مِنْهُ
Maksudnya: Saya bertanya: “Wahai Nabi Allah, aurat kita manakah yang harus kita tutup dan manakah yang boleh kita nampakkan?” Nabi menjawab: “Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau hamba wanitamu.” Saya bertanya: “Jika lelaki bersama lelaki?” Nabi menjawab: “Jika engkau mampu agar auratmu tidak dilihat oleh sesiapa maka (usahakan) jangan sampai ada orang yang boleh melihatnya.” Saya bertanya: “Wahai Nabi Allah, jika berada dalam keadaan sendirian?” Nabi menjawab: “Allah lebih berhak baginya untuk malu terhadapNya daripada (malu) terhadap manusia”.
Hadis riwayat al-Tirmidzi (no. 2769)
Menurut mazhab Syafie, wajib kepada seseorang muslim yang berada di dalam keadaan bersendirian dan ditempat yang tertutup untuk menutup aurat. Pandangan ini juga disokong oleh ulamak dari kalangan Hanafi dan Hanbali.
Adapun begitu, dari kalangan Ulamak mazhab Maliki mereka menyatakan sunat untuk menutup aurat ketika berada dalam keadaan bersendirian dan ditempat yang tertutup (rujuk kitab Mausuah Fiqhiyah Quwaitiyah, 24/176)
Namun begitu, dibenarkan seseorang itu untuk tidak menutup aurat ketika bersendirian dengan syarat ia perlu disertakan dengan hajat seperti mandi atau untuk menyejukkan badan (rujuk kitab Mughni Muhtaj, m/s 185).
Justeru dalam keadaan tidak memakai pakaian ketika wuduk adalah sah tetapi tidaklah dilakukan di tempat terbuka atau dilihat oleh orang lain.
Begitu juga sepatutnya seseorang Muslim hendaklah menjaga maruahnya dan tidak mendedahkan aib diri sendiri di hadapan orang lain. Walaupun sah wuduknya tetapi dia berdosa kerana mendedahkan aurat kepada orang yang haram melihatnya.
Bahkan Rasulullah SAW bersabda:
الحَيَاءُ مِن الإِيمَان
Maksudnya: “Malu itu sebahagian daripada Iman.”
Hadis Riwayat Bukhari (no. 24)
فَاللَّهُ أَحَقُّ أَنْ يُسْتَحْيَا مِنْهُ
Maksudnya: “Allah lebih berhak baginya untuk malu terhadapNya daripada (malu) terhadap manusia”
Hadis riwayat al-Tirmidzi (no. 2769)
Walaupun tidak dinyatakan sebagai perkara sunat atau wajib menutup aurat ketika mengambil wuduk tetapi adalah lebih baik dan utama untuk menutup aurat sepertimana yang disunatkan ketika mandi.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Dalam keadaan tidak sedar sewaktu solat, saya sering menekan jari-jari tangan sehingga berbunyi. Kemudian ada rakan yang menegur dan mengatakan bahawa perbuatan itu adalah makruh. Adakah benar seperti yang diperkatakan?
Pertanyaan di atas mungkin boleh dibahaskan melalui sebuah hadis Nabi SAW ketika mana Baginda melihat seorang lelaki melakukan perbuatan tersebut.
Lalu Baginda menarik jari lelaki itu lalu bersabda:
“Janganlah engkau menekan jari-jemari tangan ketika menunaikan solat.”
Hadis ini dicatatkan oleh al-Zaila’ei di dalam kitab Nasbu al-Rayah: 2/87. Turut diriwayatkan oleh Ibnu Majah dengan sanad yang dhaif. Namun secara umumnya diamalkan oleh para ulama.
Selain itu, Syeikh Abu Bakar al-Jazairi di dalam kitabnya Minhajul Muslim, menyatakan beberapa perkara yang makruh dilakukan ketika solat. Antara lain ialah :
1) Memalingkan kepala atau menjeling. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Ia adalah suatu bentuk kecurian yang dilakukan oleh syaitan terhadap solat seseorang hamba. (Hadis Riwayat al-Bukhari : 1/191, 4/152)
2) Memandang ke arah langit. Baginda bersabda :
“Apakah urusan kaum-kaum yang memandang ke langit ketika solat? Kemudian Baginda menyambung lagi. Sama ada mereka berhenti daripada berbuat demikian atau disambar pandangan-pandangan mereka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari : 1/191)
3) Mencekak pinggang. Abu Hurairah r.a berkata:
“Nabi s.a.w melarang seseorang bersolat mencekak pinggang.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi : 383 dan al-Nasa’ie : 2/127)
4) Mengurai-uraikan rambut, menyingsing lengan baju atau pakaian. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Aku diperintahkan untuk bersujud dengan tujuh anggota badan dan aku tidak menyingsing pakaian dan mengurai-urai rambut (yang terurai).” (Hadis Riwayat Muslim : 128, 231, Kitab Solat.
5) Menyapu batu kerikil atau pasir pada tempat sujud lebih daripada sekali. Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila salah seorang daripada kamu mengerjakan solat, maka janganlah dia menyapu kerikil (pasir). Hal ini kerana rahmat diarahkan kepadanya.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah : 1027 dan al-Darimi : 1/322) Namun Rasulullah s.a.w bersabda : “Jika kamu melakukan juga maka cukuplah sekali sahaja.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
6) Bermain-main dalam solat dan melakukan perbuatan yang melalaikan dan menghilangkan khusyuk seperti memegang atau menggentel janggut, pakaian atau melihat corak hiasan tikar, dinding atau sebagainya. Rasulullah s.a.w bersabda : “Tetaplah (bertenang) kamu dalam mengerjakan solat.” (Hadis Riwayat Muslim : 119, Kitab Solat)
7) Membaca al-Quran dalam rukuk atau sujud. Baginda s.a.w bersabda : “Aku dilarang membaca al-Quran dalam rukuk atau sujud.” (Dalam musnad Syafi’e : 41)
8) Solat ketika makanan telah dihidangkan. Rasulullah s.a.w bersabda : “Tidak boleh melakukan solat ketika makanan telah dihidangkan dan dalam keadaan menahan dua kotoran (buang air besar dan kecil).” (Hadis Riwayat Muslim : 67, Kitab Solat)
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Masuk sahaja ke surau atau bilik solat wanita pada hari ini, akan terlihatlah pelbagai jenis kain dan rekaan telekung yang digayakan oleh jemaah wanita. Ada yang berenda, kain jenis lycra, berwarna-warni dan bermacam lagi. Namun persoalan yang sering ditimbulkan ialah hukum solat orang yang memakai telekung yang kita anggap ‘berfesyen’ ini. Untuk itu, kita perlu melihat beberapa perkara.
Perkara pertama tentang pakaian solat adalah ia perlu menutup aurat secara sempurna. Antara ciri-ciri pakaian yang menutup aurat ketika solat adalah pakaian yang tidak memperlihatkan atau menggambarkan apa di sebalik kain yang menutupi tubuh. Bahkan seharusnya tidak memperlihatkan rupa bentuk atas sebab ketatnya pakaian itu atau jarang serta nipisnya pakaian tersebut sehingga boleh menampakkan warna kulit.
Maka pakaian yang menutup aurat seseorang itu haruslah menutupi keseluruhan tubuh (kecuali muka dan kedua tangan) dan tidak menampakkan anggota tubuh atau warna kulit atas sebab longgar mahupun nipisnya kain. Tidaklah longgar itu dimaksudkan dengan selonggar-longgarnya namun apa yang penting adalah tidak menjelaskan rupa bentuk tubuh terutama pada bahagian tertentu seperti dada dan lain-lain. Di samping, tidak dibolehkan juga memakai pakaian compang-camping (tidak sempurna) yang boleh menampakkan aurat.
Imam Nawawi turut menyatakan bahawa wajib untuk menutupi tubuh daripada penglihatan yang boleh melihat pada warna kulit. Tidak mencukupi hanya dengan kain yang menutup tubuh tetapi dapat pula dilihat warna kulit sama ada putih (cerah) atau hitam (gelap).
Begitu juga dengan pandangan dari Ibnu Qudamah, yang mengatakan wajib untuk menutup aurat dan jika disebabkan kain yang nipis itu menampakkan warna kulit di sebaliknya sama ada putih atau merah maka tidak harus untuk bersolat dengannya. Ini kerana ia tidak mencapai maksud asal tujuan menutup aurat itu.
Selain itu, Imam Saffarini al-Hanbali juga menyatakan di dalam Syarah Manzumah al-Adab bahawa makruh bagi lelaki dan wanita yang memakai pakaian yang menjelaskan warna kulit dan juga yang menampakkan saiz atau bentuk tubuh . Manakala, Imam Dusuqi al-Maliki di dalam hashiyahnya berpendapat bahawa pakaian seperti itu jelas makruh melainkan terdapat pakaian luar maka ia menjadi tidak makruh.
Maka melihatkan perkara-perkara ini, adalah sah solat orang yang memakai telekung berfesyen, selagi ia menutup aurat seseorang itu dengan sempurna.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Seringkali terjadi kemusykilan tentang waktu imsak sama ada boleh makan lagi atau tidak. Ini penjelasannya.
Soalan: Jika saya masih makan ketika waktu imsak telah tiba, adakah puasa saya batal?
Jawapan:
Waktu mula berpuasa ialah apabila terbitnya fajar sodiq (yakni masuknya waktu solat subuh). Di dalam al-Quran, Allah membenarkan kita untuk makan hinggalah terbitnya fajar (sodiq). Setelah itu barulah disuruh memulakan puasa.
Firman Allah (bermaksud); “dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam iaitu fajar (sodiq). Kemudian sempurnakanlah puasa hingga (datang) malam (iaitu terbenam matahari)…” (surah al-Baqarah, ayat 187).
Adapun waktu imsak yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama (biasanya 10 minit sebelum masuk waktu subuh) hanyalah tanbih (peringatan) sahaja, iaitu untuk memperingatkan orang yang hendak berpuasa bahawa waktu untuk mula berpuasa sudah amat hampir. Maka orang yang masih menikmati makanan ketika waktu imsak itu tidaklah terbatal puasanya asalkan ia berhenti makan sebelum masuk waktu solat subuh.
Sumber: Ustaz Ahmad Adnan Fadzil
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI