Hukum Menyembunyikan Pertunangan

Share

SOALAN:

Apakah hukumnya seseorang itu menyembunyikan pertunangannya daripada diketahui oleh masyarakat di sekelilingnya?

JAWAPAN:

Pertunangan adalah janji bagi kedua belah pihak iaitu bakal suami dan isteri dalam mengikat tali perkahwinan dan selalunya ia melibatkan waktu-waktu yang telah ditetapkan dan dipersetujui oleh kedua belah pihak.

Sebahagian ulamak melihat bahawa menyembunyikan pertunangan adalah suatu yang digalakkan. Ini kerana terdapat sebuah hadis daripada Ummu Salamah R.Anha yang mana Rasulullah SAW telah bersabda:

Maksudnya: Zahirkan (umumkan) pernikahan dan sembunyikan pertunangan.

Riwayat al-Imam al-Dailami di dalam Musnad al-Firdaus (1/1/27)

Disebabkan itu, sebahagian al-Malikiyyah berpendapat bahawa menyembunyikan pertunangan adalah digalakkan. Ini sepertimana yang terdapat di dalam kitab Syarh Mukhtasar al-Khalil yang mana al-Kharasyi

Rahimahullah (wafat 1101H) menyebutkan:

Maksudnya: Adapun al-Khitbah (pertunangan), maka digalakkan untuk menyembunyikannya seperti al-Khitan. Digalakkan untuk menyembunyikannya kerana takut akan hasad yang mana boleh membantu merosakkan diantara orang yang bertunang dan ahli yang ditunangnya.

Adapun sebahagian pendapat yang lain menyatakan bahawa tiada masalah iaitu dibolehkan untuk menghebahkan perihal pertunangan seseorang itu kerana tiada nas yang sahih di dalam larangan berbuat demikian.

Kesimpulannya bahawa perlunya agar pertunangan itu dihebahkan. Ini bagi mengelakkan berlakunya pinangan atas pinangan yang mana ianya jelas dilarang di dalam Islam. Dengan menghebahkan pertunangan, sedikit sebanyak boleh mengelakkan daripada berlakunya perkara tersebut.

Dalam sebuah hadis daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW telah bersabda:

Maksudnya: Janganlah seseorang itu membeli atas pembelian saudaranya dan janganlah meminang atas pinangan saudaranya yang lain kecuali jika diizinkan.

Riwayat Muslim (1412)

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah (wafat 676H) mengatakan bahawa hadis di atas secara zahirnya menunjukkan haramnya meminang atas pinangan orang lain sekiranya pinangan itu telah diterima dan tidak mendapat keizinan dari orang yang meminang tersebut. Jika berlaku perkahwinan, maka sah perkahwinan tersebut namun perbuatan meminang atas pinangan orang lain itu adalah berdosa.

Tiada masalah untuk seseorang itu menghebahkan pertunangannya. Namun janganlah berlebih-lebihan dalam menghebahkannya serta menyambutnya seolah-olah seperti berlangsungnya majlis perkahwinan kerana pertunangan itu adalah perjanjian menuju perkahwinan dan boleh sahaja sesuatu pertunangan itu dibatalkan.

Oleh yang demikian itu, bersederhanalah dalam pertunangan itu adalah lebih dituntut dan boleh juga sekiranya seseorang itu untuk merahsiakan pertunangannya untuk aman dari berlakunya hasad dengki dan sebagainya selagi mana tidak timbulnya fitnah.

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan, S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Published by
wan erni