SOALAN:
Saya berumur 32 tahun mempunyai masalah uban yang agak kritikal. Bolehkah saya mewarnakan rambut menggunakan inai/pewarna hitam. Ada sesetengah ustaz menasihati saya mewarna rambut saya warna merah (inai) tapi saya agak malu jika warna rambut saya berwarna merah.
JAWAPAN:
Perbuatan menghitamkan uban mengandungi unsur-unsur pemalsuan dan mengubah keadaan yang sebenar. Dengan celupan warna hitam, seseorang dewasa kelihatan seperti remaja, orang tua kelihatan muda kepada pandangan orang ramai. Hal ini menyebabkan sangkaan mereka berlainan daripada keadaan yang sebenar. Adapun warna yang lain tidaklah sampai ke tahap pengubahan, penipuan dan pemalsuan.
Inilah pendapat mazhab al-Syafie. Adapun di sisi mazhab Maliki, Hanafi dan Hanabilah, hukum mewarnakan rambut dengan warna hitam adalah makruh dan diharuskan semasa perang. Imam Abu Yusuf daripada Hanafiyyah mengharuskan secara mutlak. Rujuk al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (2/281).
Berkata Imam al-Syaukani:
“Sebahagian Jemaah (ulama salaf) mewarnakan rambut mereka dengan warna hitam. Diriwayatkan hal ini daripada (para sahabat seperti) Uthman (bin `Affan), al-Hasan dan al-Hussein anak-anak (Saidina) Ali, `Uqbah bin `Amir dan Ibn Sirin, Abi Burdah dan lain-lain.”
Rujuk Nail al-Autar (2/281)Prof. Dr Yusuf al-Qadhawi dalam karyanya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam (hal. 117) menyebut:
“Manakala orang yang tidak setua Abu Quhafah tidak mengapa jiialau dia mewarnakan rambutnya dengan warna hitam. Dalam hal ini al-Zuhri (seorang Tabien) mengatakan: “Kami menginai rambut dengan warna hitam jiikalau wajah masih kelihatan muda. Apabila wajah sudah berkedut dan gigi sudah bergoyang kami meninggalkannya.”
Sekiranya seseorang ingin mewarnakan rambut, hendaklah dia mewarnakan rambut atau uban dengan warna apa pun selain warna hitam, atau warna dan gaya yang menyerupai syiar agama lain. Ini bagi meraikan mazhab al-Syafie yang merupakan mazhab yang diamalkan di Malaysia. Namun begitu, kami tidak mengingkari pendapat-pendapat lain yang memakruhkan bahkan mengharuskan pewarna hitam, khususnya jika tidak melibatkan penipuan.
Sumber: Laman Web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan