Memuatnaik gambar tidak menutup aurat sempena #10yearschallenge seakan menjadi ikutan ramai. Isu yang penting untuk diperhatikan adalah sama ada gambar dahulu tersebut adalah ketika mumayyiz ataupun belum mumayyiz. Sekiranya belum mumayyiz, kami cenderung untuk menyatakan hukumnya adalah harus selagimana tidak membawa fitnah.
Bagi yang sudah mumayyiz, hukumnya adalah haram. Ini kerana memuatnaik gambar yang tidak menutup aurat sempena fenomena cabaran #10yearschallenge yang tular kini, bukanlah satu keperluan yang penting dan hanya sekadar suka-suka sahaja.
Sikap berhati-hati hendaklah diutamakan. Potensi untuk gambar dahulu yang tidak menutup aurat (walaupun sekarang menutup aurat) untuk menjadi fitnah adalah amat tinggi. Maka di sinilah asas pengharamannya berdasarkan kaedah sadd al-zari’ah iaitu mencegah perkara-perkara harus yang boleh membawa kepada yang haram.
Ini juga juga berdasarkan kaedah fiqh lain yang berbunyi:
ما أدى إلى الحرام فهو حرام
Maksudnya: Apa sahaja yang membawa kepada yang haram, maka ia haram.
Ini juga berdasarkan satu kaedah:
اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ
Maksudnya: Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.
Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar r.a:
مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ
Maksudnya: Barangsiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, akan ditohmah.
Apa jua perkara yang berisiko menimbulkan fitnah, hendaklah sedaya upaya dielakkan kerana ia akan memberi kesan yang buruk baik untuk jangka masa pendek mahupun panjang.
Pun begitu, sebarang bentuk gambar yang boleh dimanipulasi untuk tujuan yang tidak baik, hendaklah dipertimbangkan sebaik-baiknya sebelum dimuatnaik. Apatah lagi dalam suasana zaman sekarang yang terdedah kepada bahaya, termasuk isu-isu melibatkan child predator dan pedofil.
Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri