Adakah perempuan yang memakai jeans dan sneakers dikira menyerupai lelaki?
Jawapan:
Bismillahirrahmanirrahim.
Allah S.W.T telah menciptakan manusia dari jenis lelaki dan perempuan dan masing-masing dilengkapkan dengan ciri fizikal dan tanggungjawab yang berbeza sebagaimana firman Allah dalam surah al-Qiyamah ayat 37 hingga 39:
“Bukankah dia (manusia) berasal dari air mani yang dipancarkan (ke dalam rahim)? Kemudian air mani itu menjadi sebuku darah beku, sesudah itu Tuhan menciptakannya, dan menyempurnakan kejadiannya (sebagai manusia)? Lalu Tuhan menjadikan daripadanya dua jenis lelaki dan perempuan.”
Menyerupai jantina yang berlainan merupakan satu perbuatan yang menyalahi fitrah insan dan ketetapan Allah. Rasulullah telah bersabda:
“Bukan dari golongan kami siapa saja wanita yang menyerupai lelaki dan siapa saja lelaki yang menyerupai wanita.” (Musnad Ahmad, no: 6875).
Bahkan ‘Abdullah ibn ‘Abbas r.a. menerangkan bahawa: “Rasulullah s.a.w. melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.” (Shahih al-Bukhari, no: 5546).
Berdasarkan hadith yang telah disebutkan diatas, Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan dalam kitabnya al-Fiqhul Islami wa Adilatuhu adalah haram bagi lelaki menyerupai kaum wanita sama ada dari aspek tingkah laku, percakapan, perhiasan, cara berpakaian dan sebagainya dalam perkara yang dikhususkan untuk wanita. Begitu juga sebaliknya, haram ke atas wanita menyerupai kaum lelaki [1].
Allah S.W.T telah menjadikan pakaian juga sebagai perhiasan bagi si pemakai. Maka perhiasan itu suatu yang tidak menyalahi hukum malah ianya merupakan fitrah seorang insan. Sebagai seorang Muslim, kita harus memastikan pakaian yang dikenakan pada tubuh badan hendak sesuai dan bertepatan dengan syariat Islam.
Berbalik kepada soalan, jeans merupakan seluar yang diperbuat dari kain yang lasak. Kebiasaanya, seluar adalah pakaian bagi lelaki tetapi telah mula dipakai oleh golongan wanita. Terdapat sebahagian ulama yang mengharamkan secara terus pemakaian segala jenis seluar oleh wanita. Namun begitu, ramai juga dikalangan ulama yang membenarkan pemakaian seluar kepada wanita berdasarkan jenis seluar yang dipakai.
Rasulullah SAW telah bersabda, “Sesiapa yang tidak ada sarung, hendaklah memakai seluar panjang.” (Sahih Bukhari, no: 5804). Hukum ini umum, bagi membolehkan perempuan dan lelaki memakai seluar. Asalkan seluar perempuan hendaklah berbeza dengan seluar lelaki kerana mereka tidak boleh sama dalam bentuk penampilan diri.
Syeikh Atiyyah Saqqar, Mantan Pengerusi Lajnah Fatwa Al-Azhar Al-Syarif di dalam kitabnya Mausucah al-Usrah turut mengharuskan pemakaian seluar bagi perempuan. Namun begitu, pemakaian seluar tersebut haruslah terhindar dari sebarang fitnah dan tidak menonjolkan dan memperlihatkan anggota badan dan punggungnya dengan rupa yang mengiurkan dan berwarna warni yang mengundang perhatian [2].
Menurut Profesor Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam bukunya Fatawa Muacsirah muka surat 191 ketika ditanya tentang hukum gadis atau perempuan memakai seluar panjang. Ia memjawab hukumnya haram kerana ia sempit (ketat) yang boleh menampakkan bentuk badan yang boleh menimbulkan fitnah. Begitu juga kerana ia menyerupai lelaki dan Allah Subhanahu Wa Ta’ala melaknat perempuan-perempuan yang menyerupai lelaki. Akan tetapi jika ia memakai pakaian-pakaian luar (baju atau jubah) dengan syarat pakaian luar itu longgar serta menutupi seluar serta labuh sehingga ke paras bawah lutut maka hukumnya harus.
Oleh itu, adalah harus bagi perempuan untuk memakai jeans selagi mana jeans yang dipakai berbeza dengan lelaki dan longgar (tidak menampakkan bentuk punggung dan kaki).
Bagi sneakers pula, di pasaran terdapat perbezaan antara sneakers lelaki dan perempuan. Bagi mengelakkan isu menyerupai lelaki, seorang perempuan haruslah memilih sneakers yang direka untuk perempuan sahaja.
Secara umumnya, seorang Muslimah seharusnya memilih pakaian yang sesuai dan menutup aurat. Pemilihan pakaian juga seharusnya bersesuaian dengan tujuan dan tempat si pemakai. Sebagai contoh, jika seorang muslimah ingin bersukan, pakaian yang sesuai semestinya berseluar, berbaju sukan dan berkasut sukan. Berbeza pula jika seorang muslimah ingin menghadiri majlis keramaian. Pakaian yang lebih sesuai hendaklah lebih sopan seperti berbaju kurung.
Kesimpulan, adalah disarankan agar para Muslimah sekalian lebih berhati-hati dalam memilih sebarang pakaian agar bertepatan dengan syara’ dan kelihatan lebih sopan bertepatan dengan Surah al-A’raaf ayat 26 yang bermaksud :
“Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (libaasa) pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk (wariisya) perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat”.
Wallahucalam.
RUJUKAN
[1] Az-Zuhaili, Wahbah bin Mustofa. Al-fiqhul Islami wa adillatuhu. Dar al-Fikr: Dimasyq. 4/2683.
[2] Atiyyah Saqqar. 2006. Mausucah al-Usrah Tahta Ricayah al-Islam.
SUMBER: MUIS