Kerohanian

Hukum Orang Islam Sambut Atau Berpakaian Halloween

Share

Halloween merupakan perayaan yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun di kebanyakan negara bukan Islam bagi memperingati orang yang telah mati.

Halloween biasanya dikaitkan dengan syaitan, ahli sihir, hantu, Goblin dan makhluk-makhluk mitos dan menyeramkan lain dari kebudayaan Barat. Halloween disambut dengan menghiasi rumah dan pusat membeli-belah dengan simbol-simbol Halloween tersebut.

Malah di Malaysia juga ada turut menyambut Halloween termasuk yang beragama Islam sendiri. Kononnya sekadar untuk suka-suka atau mengikut rakan bukan Islam.

Hukum sambut Halloween

Namun perlu diketahui bahawa  menyambut perayaan Halloween adalah haram di sisi Islam. Fatwa Kebangsaan juga telah mengharamkan sambutan Halloween bagi umat Islam kerana jelas bertentangan dengan nilai-nilai syariah.

Ini kerana berdasarkan kajian sejarah, didapati bahawa perayaan ini merupakan syiar bagi sebahagian penganut agama Kristian dan mereka menyambutnya demi memperingati roh-roh yang telah meninggal dunia.

Rasulullah SAW telah melarang kita dari menyerupai orang kafir. Sabda Baginda SAW dari hadis Ibn Umar R.Anhuma:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم  : مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: Telah berkata Rasulullah SAW: Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka mereka tergolong dalam golongan itu”..Riwayat Abu Daud (4031)

Berdasarkan hadis di atas maka seorang Muslim itu dilarang untuk meniru gaya atau kelakuan atau pakaian yang khusus dikenali dengan unsur jahat atau adat perayaan yang boleh menimbulkan salah sangka orang ramai terhadap orang yang menyerupai perkara-perkara tersebut.

Al-Imam al-San’ani Rahimahullah berkata bahawa hadis di atas menunjukkan barang siapa yang menyerupai orang-orang fasiq ataupun kafir ataupun orang yang melakukan bid’ah dalam apa jua perkara yang dikhaskan padanya dari segi pemakaian, tunggangan ataupun gerak-geri tingkah laku maka dirinya tergolong dalam kalangan mereka. [Subul al-Salam. Dar al-Hadis, 2/647]

Kesimpulannya, kami tegaskan sekali lagi bahawa hukum menyambut Halloween bagi umat Islam adalah haram kerana terdapat unsur-unsur tasyabbuh yang tidak dibenarkan di dalam Islam. Mudah-mudahan, dengan pencerahan ini dapat memberikan faedah dan manfaat dalam beragama dan diharapkan anak-anak muda kita dapat menghindarkan diri dari terjebak ke dalam kancah maksiat ini.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

 

Published by
Team Kashoorga