Dalam dunia serba-serbinya di hujung jari, kini semua orang bebas berkongsi aktiviti masing-masing di akaun media sosial yang mereka miliki. Kebebasan berkongsi foto-foto koleksi peribadi membuka peluang kepada teman-teman menikmati momen-momen indah anda bersama insan tersayang. Walau bagaimanapun ia bukan bermakna semua momen-momen mesra itu boleh dikongsi semuanya untuk dijadikan tatapan ramai.
Namun apa yang dikesalkan ialah apabila ada sesetengah individu yang sudah hilang rasa malu mempamerkan kemesraan dengan pasangan masing-masing. Sama ada pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga mahupun yang masih bercinta, tanpa segan silu memperlihatkan kemesraan antara satu sama lain tanpa rasa malu dan rasa bersalah.
Namun apakah kita mengetahui hukum bermesra-mesraan di depan umum dalam Islam? Sebelum trend ini menjadi ikut-ikutan dalam mempamkerkan foto-foto yang mesra dengan pasangan, ada baiknya kita mengetahui terlebih dahulu hukum mempamerkan kemesraan di media sosial dalam Islam.
BAGI PASANGAN SUAMI ISTERI
Tidak hanya pada pasangan kekasih, kita juga sering kali melihat perkongsian foto milik pasangan suami isteri yang mempamerkan kemesraan mereka di media sosial.
Walaupun telah ada dalam ikatan perkahwinan yang sah dan halal untuk bermesraan namun hukum mempamerkan kemesraan di media sosial dalam Islam bagi pasangan suami isteri adalah tetap dilarang. Hal ini kerana kemesraan antara suami isteri tidak selayaknya untuk dipertontonkan secara terbuka.
Selain itu mempamerkan foto kemesraan ini juga boleh mengundang syahwat orang lain yang melihatnya dan membuatkan mereka mendekati zina. Hal ini sama sahaja dengan kita yang mendorong orang lain untuk melakukan kemaksiatan. Secara tidak langsung kita juga akan mendapat dosa yang sama dengan mereka. Hal ini juga telah dijelaskan dalam sabda Rasulullah seperti berikut:
“barang siapa yang mengajak kepada kesesatan maka ia mendapatkan dosa seperti dosa setiap orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikitpun.” (HR. Ahmad).
Mempamerkan kemesraan antara suami isteri juga boleh menjatuhkan kewibawaan dan juga martabat kita. Rasulullah juga telah mengajak kita untuk memiliki rasa malu untuk tidak memperlihatkan hal-hal yang seharusnya tidak perlu dilihat oleh orang lain seperti mencium isteri secara terbuka, berpelukan dan sebagainya. Ketahuilah bahawa rasa malu juga meurpakan sebahagian daripada iman.
Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Iman itu ada tujuh puluh sekian cabang. Dan malu salah satu cabang dari iman.” (HR. Ahmad).
BAGI PASANGAN YANG BELUM BERKAHWIN
Melihat kemesraan yang di abadikan oleh pasangan yang belum ada apa-apa ikatan juga sudah menjadi perkara yang biasa kita lihat di media sosial.
Sedangkan mempamerkan kemesraan di kalangan pasangan suami isteri di media sosial tidak boleh di dalam Islam apatahlagi untuk pasangan yang belum berkahwin. Hukumnya tentulah haram dalam Islam. Lagi pun bersentuhan antara lelaki dan perempuan yang tiada sebarang ikatan akan menjerumuskan kedua-duanya untuk mendekati zina.
Apalagi jika mempamerkan foto-foto mesra yang jelas perbuatan itu belum boleh dilakukan pasangan yang belum berkahwin.
Allah SWT telah berfirman:
“dan janganlah kamu mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. dan suatu jalan yang buruk.” (QS. Al-Isra’ : 32)
Semoga dengan penjelasan ini kita tahu cara menghindari ghibah.
VIDEO KASHOORGA:
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Sebenarnya Boleh Ke Kita Bertemu Dengan Kucing Peliharaan Di Syurga? Ini Penjelasan Mufti
Kucing adalah haiwan peliharaan yang menjadi pilihan ramai pencinta haiwan. Memelihara haiwan berbulu halus ini dipercayai memberikan banyak manfaat salah satunya dapat menghilangkan stres. Melihat gelagat si comel ini membuatkan hati terhibur dan tenang.
Bagi pencinta kucing, detik menghadapi ‘kehilangan’ si comel ini pasti menjadi momen yang menyakitkan apatahlagi jika si comel itu sudah dipelihara lama. Sakitnya seperti menghadapi kehilangan ahli keluarga.
Ada yang berpendapat bahawa si pencinta kucing boleh menemui kucing-kucing kesayangan mereka di syurga. Benarkan pendapat ini?
Berikut penjelasan daripada Mufti Wilayah
SOALAN:
Bolehkah saya bertemu semula dengan kucing peliharaan kesayangan saya yang telah meninggal dunia di akhirat nanti ?
JAWAPAN:
Sebagai umat Islam kita dituntut untuk melakukan kebaikan kepada kesemua makhluk. Ia merangkumi berbuat baik kepada manusia sama ada orang Islam atau bukan Islam, demikian juga kita dituntut untuk berbuat baik kepada haiwan. Ini seperti yang diriwayatkan oleh Syaddad bin Aus R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan kepada setiap sesuatu.
Riwayat Muslim (1955)
Hadis ini jelas dalam menyatakan kewajiban berlaku ihsan kepada setiap makhluk. Kata Syeikh Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’di : ‘’Maka termasuklah antaranya berbuat ihsan kepada kesemua kategori manusia, dan juga kepada haiwan-haiwan. Sehinggakan pada saat ingin menyembelih haiwan juga dituntut (untuk berlaku ihsan)’’. Rujuk Bahjah Qulub Al-Abrar, Al-Sa’di (1/127).
Dari sudut hukum fekah, perkataan كَتَبَ menunjukkan kepada hukum wajib. Ini seperti yang dikatakan oleh Imam Ibn Rajab al-Hanbali: ‘’Lafaz Al-Kitabah membawa hukum wajib di sisi para fuqaha dan usuliyyun, (dan pendapat ini) diperselisihkan oleh sebahagian mereka. Sesungguhnya diketahui pengunaan lafaz al-Kitabah ini di dalam al-Quran terhadap perkara yang wajib dan mesti dibuat”. Rujuk Tafsir Ibn Rajab (1/617).
Justeru apabila kita menyatakan bahawa hukum berbuat ihsan dengan haiwan adalah wajib, maka menyakiti dan berbuat kezaliman kepada haiwan-haiwan tanpa sebarang yang dibenarkan oleh syarak adalah haram hukumnya. Bahkan pengabaian dalam hal ini boleh menyebabkan seseorang itu ditempatkan ke dalam neraka. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah bin ‘Umar R.A. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
عُذِّبَتِ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ حَبَسَتْهَا، حَتَّى مَاتَتْ جُوعًا، فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ
Maksudnya: Seorang perempuan diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung sehingga ia mati kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya.
Beberapa perbuatan zalim yang dilakukan oleh perempuan ini kepada kucing tersebut disebutkan di dalam sambungan hadis di atas iaitu dikatakan kepadanya:
لاَ أَنْتِ أَطْعَمْتِهَا وَلاَ سَقَيْتِهَا حِينَ حَبَسْتِيهَا، وَلاَ أَنْتِ أَرْسَلْتِيهَا فَأَكَلَتْ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ
Maksudnya: Kamu tidak memberi makan dan minum kepadanya ketika kamu mengurungnya. Begitu juga kamu tidak melepaskannya sehingga dia boleh makan serangga yang berada di tanah.
Riwayat Al-Bukhari (2365)
Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, berkenaan bolehkah seseorang itu bertemu dengan haiwan peliharaannya yang disayangi di akhirat kelak, berikut kami kongsikan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa beliau berkata:
إن الله يحشر الخلق كلهم، كل دابة وطائر وإنسان، يقول للبهائم والطيركونوا ترابًا
Maksudnya: Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan makhluk kesemuanya (pada hari akhirat kelak). (Iaitu) setiap haiwan, burung-burung, dan juga manusia. Lalu Allah berkata kepada haiwan-haiwan dan juga burung: ‘’Jadilah kamu tanah’’.
Lihat Tafsir Al-Thabari (24/181)
TIDAK SAMA DENGAN MANUSIA
Ini menunjukkan, keadaan haiwan di akhirat kelak tidaklah sama dengan keadaan umat manusia. Dari sudut amalan mereka tidak akan dihitung pada kebaikan dan keburukannya, begitu juga mereka tidak dimasukkan ke dalam syurga-syurga Allah seperti golongan manusia yang bertakwa. Sebaliknya, kesemua haiwan akan menjadi debu tanah pada hari akhirat kelak.
Meskipun begitu, seperti yang kita ketahui bahawa para penghuni syurga dijanjikan begitu banyak kebaikan dan kenikmatan yang tidak terhitung jumlahnya. Ini disebutkan di dalam begitu banyak nas, antaranya firman Allah S.W.T:
لَهُم مَّا يَشَاءُونَ فِيهَا وَلَدَيْنَا مَزِيدٌ
Maksudnya: Buat mereka (para penghuni syurga) apa sahaja yang mereka mahukan dan di sisi kami ada penambahan (nikmat).
Surah Qaf (35)
Imam Ibn Jarir al-Thabari dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini berkata: ‘’Bagi golongan mereka ini yang bertakwa apa sahaja yang mereka mahukan di dalam syurga. Yang mana telah disediakan kepada mereka apa sahaja yang jiwa mereka mahukan serta keindahan-keindahan buat pemandangan mereka’’. Rujuk Al-Jami’ al-Bayan, Ibn Jarir al-Thabari (22/367).
Demikian juga firman Allah S.W.T:
لَهُمْ فِيهَا فَاكِهَةٌ وَلَهُم مَّا يَدَّعُونَ
Maksudnya: Buat mereka (para penghuni syurga) buah-buahan di dalam syurga dan buat mereka apa sahaja yang mereka minta.
Surah Yasin (57)
Kata Imam al-Baghawi: ‘’Bagi mereka (para penghuni syurga) itu apa sahaja yang mereka cita-citakan dan juga apa sahaja yang mereka mahukan’’. Rujuk Tafsir al-Baghawi (7/22).
KESIMPULAN
Setiap manusia itu lebih utama untuk berusaha dalam memastikan dirinya ditempatkan oleh Allah S.W.T ke dalam syurga melalui amalan soleh di dunia. Seperti yang diketahui, menjaga kebajikan haiwan-haiwan peliharaan adalah termasuk dalam amalan soleh yang boleh membawa seseorang menuju ke syurga.
Justeru, saat seseorang itu berada di syurga kelak sudah pastilah segala kehendak dan kemahuannya akan dituruti sebagai ganjaran dari Allah S.W.T buat dirinya. Inilah yang Allah S.W.T firmankan dengan kata-Nya:
وَفِيهَا مَا تَشْتَهِيهِ الْأَنفُسُ وَتَلَذُّ الْأَعْيُنُ
Maksudnya: Di dalamnya (syurga) terdapat perkara-perkara yang menjadi syahwat (kehendak) kepada jiwa dan juga perkara-perkara yang melazatkan pemandangan mata.
Surah Al-Zukhruf (71)
Imam Al-Thabari apabila mensyarahkan ayat ini meletakkan sebuah riwayat bahawa seorang arab badwi bertanya kepada Rasulullah S.A.W:
يا رسول الله إني أحبّ الإبلَ فهل في الجنة إبل فقال يا أعرابيّ إنْ يُدْخِلْكَ اللهُ الجَنَّةَ إنْ شاءَ اللهُ فَفِيها ما اشْتَهَتْ نَفْسُكَ وَلَذَّتْ عَيْنَاك
Maksudnya: ‘’Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mencintai unta. Adakah di syurga nanti ada unta ?’’ Lalu baginda berkata: ‘’Wahai arab badwi, sekiranya Allah memasukkan kamu ke dalam syurga Insha Allah, maka di dalamnya terdapat apa sahaja yang kamu kehendaki dan melazatkan pemandangan matamu”.
Rujuk Tafsir al-Thabari, Ibn Jarir (2/641)
Sumber kredit: Mufti Wilayah
VIDEO KASHOORGA:
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Tak Sampai 48 Jam Suami Dijemput Ilahi, Sudah Ada Yang Mengambil Kesempatan
Tidak sampai pun 48 jam kehilangan suami yang pergi dijemput penciptanya, wanita ini sudah diuji. Ibarat menangguk di air keruh, si polan tanpa rasa bersalah cuba mengambil kesempatan. Betapa manusia hari ini semakin kejam dan terdesak demi untuk memenuhi kepentingan sendiri.
Ikuti perkongsian wanita ini seperti yang diluahkan di Facebooknya.
Dalam keadaan kita masih bersedih, masih ada yang ingin mencari kesempatan
Bukan nak buat cerita tapi aku menceritakan akan yang benar. Semoga jadi pengajaran kepada yang lain.
2 september 2018,
Belumpun sempat 48 jam arwah pergi, dan dalam keadaanku yang masih dalam kesedihan. Terdapat satu whatsapp yang masuk dalam hp. Whatsapp dari nombor yang tak dikenali.
Pada awalnya si empunya nombor memberikan kata-kata semangat dan ucapan takziah. Ya, aku berterima kasih kepada semua yang tak pernah jemu memberi sokongan dan kata semangat.
Seperti kebiasaannya, aku akan meminta maaf bagi pihak suami aku pada sesiapa yang mengenali beliau. Tapi kali ini, belumpun sempat aku nak mintak maaf bagi pihak sang suami, si empunya nombor memperkenalkan diri dia sebagai Tuan ** dan terus bertanyakan sama ada suami ku seorang jurugambar atau tidak?
Dan ya, semestinya suami aku seorang jurugambar dan aku meng’iya’kan pertanyaannya.
Seterusnya Tuan ** menyatakan bahawa ada perkara yang beliau ingin sampaikan padaku untuk pengetahuan aku dan ahli keluarga yang lain dan Tuan ** meminta aku untuk kembali whatsapp beliau jika mempunyai masa terluang. Dalam keadaan aku masih dalam kesedihan, aku bertanyakan tentang perkara berkenaan. Apa yang penting yang aku perlu tahu berkenaan sang suami tercinta?
Tuan ** menyatakan bahawa beliau ada memberikan booking payment untuk job photographer pada 24.9.2018. Dan telah membayar certain amount which is tak lah banyak tapi aku seperti curious.
Aku lihat calendar, tarikh yang diberikan 24.9.18 tu jatuh pada hari isnin dan ianya bukanlah musim cuti. Jadi aku ajukan soalan padanya berkenaan tarikh yang diberikan. Tuan ** menyatakan bahawa ianya untuk majlis hari jadi anaknya.
Dia juga menyatakan bahawa dia telah membayar secara tunai pada arwah suamiku sebanyak RM150 di bukit jelutong. Tapi setahu aku, suami aku tidak akan pernah pergi berjumpa mana-mana client berseorangan. Suami aku pasti bawa aku sebab segala detail aku yang akan catit. Dan itu kelebihan suamiku. Tidak membelakangkan isteri walau dalam apa jua perkara.
Seterusnya bila aku meminta resit bagi deposit yang telah dibayar, Tuan terbabit tidak membalas whatsapp ku sehingga hari ini.
——————————————————————————————
Kepada Tuan yang berkenaan, kemungkinan anda mengikuti kisah pemergian suami saya dari dalam fb. Terima kasih kerana mendoakan suami sy. Jika benar, suami saya berhutang deposit kepada tuan, tuan boleh tunjukkan bukti kepada saya dan saya akan proceed dengan job yang diberi mengikut persetujuan.
Deposit yang diberi bukan dibatalkan oleh pihak saya dan pihak saya masih mempunyai shooter untuk teruskan kerja pada tarikh majlis yang berkenaan jika benar apa yang tuan katakan.
Untuk pengetahuan, suami saya mempunyai jadual yang penuh sehingga bulan 12 dan ada deposit yang telah di ambil tapi pihak saya masih tetap akan meneruskan kerja yang telah di tempah kerana saya sendiri tahu setiap apa yang suami saya lakukan kerana kami adalah partner bukan sahaja partner dari segi hidup dan mati semata, tapi kami juga adalah partner business. Jadi setiap jadual arwah suami saya, sy yang aturkan.
Kepada semua client, anda tak perlu risau kerana segala kerja yang ditinggalkan akan di ambil alih oleh saya sendiri. Anda boleh direct contact saya atau nombor suami saya kerna saya tidak akan lari kemana-mana. Kerja dan tanggungjawab arwah telah menjadi tanggungjawab saya.
Cuma saya minta sedikit masa untuk saya ambil alih segalanya due to my circumtances.
Coretan sang isteri
*partner dalam segala-galanya*
Moralnya dalam keadaan bersedih dalam menghadapi sebuah kehilangan masih ada pihak yang tergamak mengambil kesempatan. Maka berhati-hatilah kerana kita tidak tahu dan pasti pihak mana yang jujur dan pihak mana yang tidak.
Sumber kredit: FB: Noor Zamzuriani Zakaria
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Kisah Tiga Hari Sebelum Ajal: Kakak Kongsi Kerinduan Terhadap Arwah Adiknya
Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Ia datang tanpa ada sebarang tanda. Kehadirannya tanpa mengira waktu, usia dan persediaan yang telah dilakukan. Ia datang tidak cepat dan lambat walau sesaat.
Firman Allah:
“Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”– Al Munaafiquun: 11
Suka atau tidak, bersedia atau belum. kematian pasti akan datang menjengah. Insan-insan yang ditinggalkan harus bersedia meneruskan kehidupan yang ada. Suka dan duka ketika bersama menjadi kenangan yang sukar dilupakan.
Kehilangan sememangnya amat menyakitkan. Begitulah perasaan dilalui oleh seorang wanita bernama Nursyafiqah yang begitu merindui adik lelakinya yang telah dijemput penciptanya.
Ikuti luahan rasa Nursyafiqah seperti yang dicoretkannya di Twitter.
Assalamualaikum, aku ingin berkongsi cerita 3hari terakhir arwah adikku (Hafique Aiman Bin Hermansah) bersama kami sekeluarga sebelum dia pergi meninggalkan kami buat selama lamanya .
— rindu itu sakit chokk ! (@nsyafh97) August 11, 2018
HARI PERTAMA: SABTU (29 JULAI)
Hari itu aku buat majlis ulang tahun anak sulungku, Arryan yang ke setahun. Adikku, Aiman banyak membantu tanpa satu keluhan keluar dari mulutnya.
Dia yang menyediakan segala peralatan, dia yang meniup belon untuk hiasan majlis.
Dia juga yang memasak untuk hidangan jamuan, dia banyak menggunakan tenaganya untuk majlis ulang tahun anak buahnya.
Aku mula terfikir, dia tak pernah macam ini, tapi kenapa dia yang bersungguh-sungguh untuk menyediakan segala keperluan majlis, tapi aku bersyukur kerana dia telah banyak membantu.
Malam apabila majlis sudah pun habis, dia yang mengemas kembali segala barangan yang telah diguna, dia juga yang mengemas kotoran sampah sarap yang ada di ruang tamu mahupun dapur, dan dia juga yang menyusun kesemua hadiah Arryan ke dalam bilikku.
Apabila selesai mengemas dia pun keluar bersama kawan-kawan rapatnya, sekian lama tidak berjumpa.
Malam itu dia ada call aku, dia tanya, “Ada nak makan apa-apa tak?”
Dia nak belikan. Lalu aku pun jawab, “Tak payahlah aku dah kenyang.”
Soalan itu 3 kali dia tanya, dia siap cakap, “Aku belikan kau makananlah nanti kau lapar.”
Aku pun balas, “Tak payahlah sebab aku dah kenyang.”
Lalu dia pun balik ke rumah.
Bukan niat untuk melawan takdir Allah tapi aku kini lemah . Kuatkah aku untuk jalani kehidupan tanpa seorang adik yang sentiasa ada bersama. Kakak sayang kau dunia dan akhirat dan kakak sentiasa rindukan kau ❤️
HAFIQUE AIMAN BIN HERMANSAH
26.09.2000
01.08.2018
Al-Fatihah pic.twitter.com/6UwJGy8EtI— rindu itu sakit chokk ! (@nsyafh97) August 5, 2018
SEHARI SEBELUM: AHAD (30 JULAI)
Kami pun bersiap nak ke aiport sebab nak balik Sabah (kampung). Selesai bersiap dia pun mengemas biliknya, padahal sebelum ini dia biar je bilik dia bersepah tapi kali ini, dia kemaskan biliknya sebelum dia pergi.
Setelah selesai kami pun bergerak ke airport, kami pun check-in dan bergerak masuk ke gate. First time kami naik MAS kapal delay, sementara menunggu aku dan Aiman pergi mencari makanan. Dia ada beli banyak coklat dan dia nak belikan mama perfume masa itu.
Tapi duit dia tak cukup, aku pun tambahkan sebab dia kata dia suka perfume itu dan dia nak mama pakai perfume itu setiap hari.
Apabila kami sampai di Tawau, Sabah, dia bawa mama pergi majlis akikah anak kawan mama walaupun dah lewat tapi dia kata dia nak pergi sebab nak makan soto, lalu kami pun pergi. Setelah selesai kami pun balik ke rumah.
Tengah malam dia mula lapar, dia ajak aku makan tapi aku dah kenyang tapi dia kata teman dia makan aku pun teman, dia nak makan pedas aku banyak pecahkan cili padi tapi dia kata dia takde rasa apa pun kat makanan itu walaupun dah banyak dia makan.
Selesai makan, kami pun mula mengantuk. Semua orang dah tidur kecuali aku dan Aiman, malam itu kami tidur rumah atok sebab nak duduk ramai-ramai. So, biasalah kalau dah ramai ada yang bantal tak cukuplah selimut takdelah kan, tapi malam itu Aiman carikan aku selimut sebab dia tahu aku sejuk, aku sempat bergurau dengan dia sebelum tidur sebab setiap hari ada je gelagat kami untuk bergelak ketawa bersama.
Kenangan yang tidak dapat aku lupakan bila kita membesar daripada kecik, selalu bersama, baik buruk masing2 kita dah tahu, kakak rindu kau dik 😔 tapi kini kau pergi dulu tinggalkan kami , rasa terlalu awal tapi “ajal maut tidak kira umur”
AL FATIHAH
— rindu itu sakit chokk ! (@nsyafh97) August 13, 2018
HARI KEJADIAN: ISNIN (31 JULAI)
31 haribulan sepatutnya birthday Arryan tapi hari itu sambut awal. Aiman pun bangun awal dia bangun pukul 6.30 pagi untuk hantar adik-adik ke sekolah, lepas itu dia balik dia bersiap ke carwash, sebab carwash itu business mama bagi dia jaga.
Pagi dia kejut aku dia cakap dia tunggu aku kat carwash, aku pun bangun bersiap ke carwash. Dia ajak aku sarapan dan dia kata dia nak ambil Arryan kat rumah sebab dia nak bawa Arryan jalan sekali.
Harit iu dia banyak habiskan masa dengan aku dan Arryan, dia bawa pergi makanlah, dia bawa pergi minumlah, dia bawa jalan-jalanlah Sudah pukul 3 macam itu aku pun balik sebab Arryan dah meragam nak tidur.
Petang dia hantar dan ambil adik-adik mengaji, sebelum Maghrib dia ambil aku dia kata nak makan kat carwash ramai-ramai. Malam itu aku ingat lagi dia kata dia nak makan telur rangup lalu dia suruh abang buatkan tapi masa itu telur dah habis dia cakap takpe tunggu kejap dia pergi beli.
Bila dia dah beli abang pun buatkan telur rangup yang dia nak, kami duduk satu meja makan. Dalam ramai-ramai Aiman duduk depan aku dan dia ada bagi aku sisa sotong yang dia makan tapi tak habis, aku pun habiskan. Malam itu dia nampak aku makan dia cakap dia nak bawa Arryan balik. Sebab Arryan dah meragam.
Lepas itu aku ingat lagi mama cium adik bongsu kami lepas itu Aiman cakap, “Mama cium Nurul je? Aiman?”
Mama pun cium Aiman dan dia cium pipi mama lama-lama masa itu lepas itu dia lambaikan tangan dia banyak banyak kali sampai bayangnya hilang dari pandangan.
Selesai makan aku pun pulang, bila sampai kat rumah aku tengok motor takde, aku call dia banyak-banyak kali tanya dia kat mana dia balik rumah atau duduk rumah atok, sampai 7 kali aku call dia tanya benda yang sama sampai aku pun pelik dengan diri sendiri.
Last aku call dia, dia cakap dia tengah lepak dengan kawan dia lepas itu nak pergi berurut lepas itu dia akan balik rumah, aku pun cakap, “Okay.” Sambil tunggu Aiman balik aku pun tidurkan Arryan, masa itu pukul 10 malam tak lama lepas itu ada girlfriend Aiman call aku tapi aku tak angkat.
Sebab girlfriend dia call aku melalui WhatsApp aku jenis tak suka call melalui WhatsApp sebab line slow. Lepas itu aku dapat message, “Kak Ika, Aiman accident.” Tak sempat nak reply ada orang call aku cakap, “Kak, Aiman accident kat Jalan Kuhara.” Soalan pertama keluar daripada mulut aku, “Adik aku okay?”
Kawan adik aku cakap, “Tak okay sebab dia separuh sedar.” Jantung aku terus berdegup laju sangat-sangat, lalu aku pun turun beritahu mama yang Aiman accident, masa turun tangga itu aku rasa macam tak pijak bumi aku takut sangat jadi apa-apa kat Aiman masa itu.
Aku rasa tak sampai 5 minit aku bersiap punyalah laju nak pergi tengok adik aku, masa itu mama jatuh depan aku sebab dia terkejut. Aku rasa bersalah sangat sebab aku terus beritahu mama berita buruk macam itu.
Lepas itu mama bawa kereta aku tak habis-habis call kawan Aiman yang ada kat tempat kejadian suruh mereka ajak Aiman bercakap jangan bagi dia tidur atau pengsan. Masa dalam perjalanan itu aku dan mama tak sempat nak pergi tempat kejadian sebab ambulance dah bawa Aiman ke hospital.
Masa itu pukul 10.42 malam, aku dan mama terus ke hospital. Aku drop mama kat bahagian kecemasan lepas itu aku pergi parking. Dah dapat parking aku pergi ke bahagian kecemasan aku tengok mama dah duduk depan pintu menangis. Aku dah mula lemah dalam keadaan itu, aku pujuk mama untuk bersabar.
Aku curi-curi masuk untuk tengok keadaan Aiman masa itu tapi doktor halau aku keluar daripada bilik itu tapi aku tak putus harapan aku masuk pula melalui pintu belakang tapi masa itu aku tengok 4 doktor yang membantu menyelamatkan Aiman masa itu.
Doa buat Aiman tidak pernah putus agar dia selamat dan dipermudahkan segala urusan, sampai satu masa doktor panggil kami dan dia cakap, “Pernafasan mula lemah tapi kami cuba mmbantu sedaya upaya agar Aiman kembali sembuh. Tapi saya nak beritahu awal-awal jantung dia dah dua kali berhenti. Harap keluarga bersiap sedia sebab jantung dia kini lemah.”
Aku dah mula menangis tanpa henti. Aku risau akan keadaan Aiman masa itu. Aku merayu kat doktor itu aku cakap, “Bagi saya peluang untuk berjumpa adik saya. Tak lama pun takpe seminit pun jadi.”
Doktor pun mengizinkan aku berjumpa dengan Aiman. Masa itu aku tak fikir apa aku terus pergi dekat Aiman, aku peluk dia, aku pegang muka dia, tangan dia, dan aku cakap, “Kuatkan semangat Aiman, mama, abang semua ada kat luar tunggu Aiman. Kami tunggu Aiman kat luar, ye.”
Dengan perasaan yang sangat sedih aku memeluk Aiman sampai doktor tarik aku keluar. Ya Allah masa itu kali terakhir aku melihat Aiman menitiskan air matanya.
Kali kedua doktor panggil mengatakan benda yang sama, “Jantung dia semakin lemah.” Ya Allah aku mula gelisah dan sedih yang teramat . Kali ketiga doktor memanggil kami, lalu dia mengatakan, “Kami dah cuba sedaya-upaya, tapi maafkan kami, Aiman dah tak dapat diselamatkan.”
Jantung aku rasa macam jatuh, diri rasa terus tidak bermaya, aku terus pergi dekat mama, aku peluk dia beri dia semangat walaupun masa itu aku lemah aku sedih yang sedih tak pernah aku rasa selama aku hidup.
Bila doktor dah izinkan kami berjumpa dengan Aiman aku terus pergi pada Aiman aku peluk dia aku cium wajahnya yang kaku, pucat, lagi sejuk. Macam-macam dalam fikiran aku sampaikan aku sukar untuk menerima takdir. Ya Allah!
Aku sentiasa berada di samping Aiman sementara menunggu proses untuk jenazah dibawa ke rumah. Mama memangku jenazah Aiman sampai ke rumah.
Apabila jenazah dibaringkan di ruang tamu rumah atok, aku duduk disamping Aiman, aku pegang tangan dia aku cium dia setiap kali aku tak lepas untuk memegang mukanya. Sampaikan aku bercakap pada mama, “Maa, kalau boleh Ika tak nak masa bergerak, biarlah keadaan terus macam ini, Ika tak nak Aiman ada kat sini, biarlah Aiman tak sedar biarlah dia tidur kat sini Ika tak sanggup kehilangan Aiman.”
Ya Allah aku hambamu yang sangat berdosa sampaikan aku sukar untuk menerima takdirmu Ya Allah.
Sampai satu masa ustaz ini dah suruh siapkan jenazah untuk dikebumikan. Sukarnya Ya Allah untuk aku lepaskan adikku, sekian 17 tahun 10 bulan aku hidup bersama dia dari kecil sampailah ke akhir nafasnya.
Aku ikut untuk mandikan jenazah aku ikut untuk kafankan jenazah aku ikut untuk kebumikan jenazah, selesainya pengkebumian jenazah aku pun duduk di samping kubur Aiman. Aku masih rasa yang aku ini bermimpi.
Hari demi hari aku cuba terima ketiadaanmu wahai adikku, doaku tidak pernah putus untukmu, hariku kini sunyi tanpa mu. Aku ikhlaskan kau pergi semoga kau tenang disana dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.
Terima kasih yaAllah kerana Kau telah pinjamkan aku seorang adik yang sangat penyayang dan penyabar aku bersyukur kepadaMu yaAllah ❤️
AL FATIHAH ✨ pic.twitter.com/2lE6VdCvHj— rindu itu sakit chokk ! (@nsyafh97) August 11, 2018
Pergilah dengan tenang wahai adikku, kami ikhlas akan kepergianmu, kami terima takdir dan ketentuan Tuhan.
Hafique Aiman Bin Hermansah
26.09.2000
01.08.2018
Al Fatihah 🌹 pic.twitter.com/vDRjV1XWKe— rindu itu sakit chokk ! (@nsyafh97) August 12, 2018
Nursyafiqah berkongsi rasa sebagai tanda kerinduan terhadap arwah adiknya. Begutulah tulus dan sucinya kasih seorang kakak terhadap adiknya. Didoakan moga arwah adik Nursyafiqah di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.
Sumber: Nursyafiqah
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI