Mungkin ada yang berhajat nak buat puasa ganti atau puasa sunat pada hari Jumaat. Memandangkan esok hari diet atau tak ke mana-mana, jadi apa salahnya puasa kan.
Tapi sebaiknya tahan dulu hasrat untuk ganti puasa atau puasa sunat di hari Jumaat. Ini kerana hukumnya adalah makruh.
Habib Hassan Al Kaff menyebutkan dalam kitabnya Taqrirat Sadidah bahawa berpuasa pada hari Jumaat semata adalah MAKRUH.
Ini kerana hari Jumaat adalah penghulu segala hari bagi umat Islam. Manakala Sabtu hari bagi kaum Yahudi dan Ahad hari perayaan bagi kaum Nasrani.
Daripada Juwairiyah binti al-Harith R.Anha, katanya:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ عَلَيْهَا يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَهِيَ صَائِمَةٌ فَقَالَ أَصُمْتِ أَمْسِ قَالَتْ لا قَالَ تُرِيدِينَ أَنْ تَصُومِي غَدًا قَالَتْ لا قَالَ فَأَفْطِرِي
Maksudnya: “Nabi SAW masuk menemuinya pada hari Jumaat dan beliau dalam keadaan berpuasa. Nabi SAW bertanya: “Adakah engkau berpuasa semalam?” Juwairiyah menjawab: “Tidak.” Baginda bertanya lagi: “Adakah engkau mahu berpuasa esok?” Beliau menjawab: “Tidak.” Baginda bersabda: “Berbukalah.” (HR Bukhari, hadis sahih)
Menurut Imam Ramli dalam kitabnya Nihayatul Muhtaj, tidak makruh mengerjakan puasa semata-mata Jumaat, Sabtu atau Ahad sekiranya hari-hari tersebut dianjurkan oleh syarak untuk berpuasa seperti Hari Asyura atau Hari Arafah yang jatuh bertepatan pada hari-hari berkenaan atau tidak makruh bagi mereka yang mengerjakan puasa sunat Nabi Daud (puasa sehari berbuka sehari) atau tidak makruh juga mereka yang mengerjakan puasa Qadha’ atau puasa nazar.
Syarat kalau nak puasa hari Jumaat
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda:
لا يَصُومَنَّ أَحَدُكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ إِلا يَوْمًا قَبْلَهُ أَوْ بَعْدَهُ
Maksudnya: “Janganlah seseorang daripada kamu berpuasa sunat semata-mata pada hari Jumaat melainkan berpuasa sebelumnya atau sehari selepasnya” (HR Bukhari, hadis sahih)
Hadis ini menerangkan sekiranya ingin berpuasa pada hari Jumaat, maka sewajarnya berpuasa pada hari Khamis atau hari Jumaat. Ini kerana ingin membezakan antara kaum Yahudi dan Nasrani.
Nabi SAW bersabda:
إِنَّهُمَا يَوْمَا عِيدِ الْمُشْرِكِينَ ، فَأَنَا أُحِبُّ أَنْ أُخَالِفَهُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya kedua-dua ( hari Sabtu dan hari Ahad ) adalah dua Hari Raya bagi orang-orang musyrik dan aku mahu perbuatanku berbeza dengan mereka”. (HR Ahmad). Wallahu A’lam
Kesimpulan
1. Tidak digalakkan sekiranya ingin puasa sunat ataupun puasa ganti pada hari Jumaat, sebaiknya puasa sekali pada hari Khamis atau Sabtu. Begitu juga pada hari Sabtu, terbaiknya kita puasa sekali pada hari Jumaat.
2. Makruh untuk kita puasa pada hari Jumaat atau Sabtu atau Ahad sahaja.
3. Dibenarkan puasa pada hari Jumaat sekiranya pada hari tersebut jatuhnya hari yang disunatkan berpuasa seperti hari Asyura, puasa hari Arafah, puasa Nabi Daud, puasa Nazar dan sebagainya.
4. Sebab tidak digalakkan berpuasa pada hari Jumaat kerana ia adalah penghulu segala hari bagi umat Islam, manakala hari Sabtu adalah hari perayaan kaum Yahudi dan hari Ahad adalah hari perayaan kaum Nasrani.
Ada dakwaan mengatakan perempuan tua sudah tak wajib bertudung atau menutup aurat rambutnya. Dalam Islam jika sesuatu yang baik itu sepatutnya diteruskan walaupun ada hukum memberi kelonggaran terhadap pelaksanaannya.
Aurat adalah angggota badan yang tidak boleh dinampakkan dan diperlihatkan oleh lelaki atau perempuan kepada orang lain.
Wanita Muslimah diwajibkan untuk menutup aurat mereka sepertimana yang telah disepakati oleh para ulama’ berdasarkan dalil-dalil daripada al-Qur’an dan as-Sunnah, di antaranya ialah:
“Dan hendaklah mereka menutupkan kain yang dipakai untuk menutup kepala (tudung) ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau anak-anak lelaki mereka, atau anak-anak lelaki suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak suruhan yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita” Surah an-Nur: 31
Istilah jenis pakaian wanita dari segi bahasa dan syara’ :
Al-Khimar (الخِمَار) Imam Ibnu Kathir Rahimahullah mengatakan bahawa al-khimar bermaksud apa-apa yang dipakai untuk menutup kepala atau kain yang dipakai oleh wanita untuk menutupi kepalanya. Dalam masyarakat kita, al-Khimar dikenali sebagai tudung.
Al-Jilbab (الجِلْبَاب) Al-Jilbab dari segi bahasa bermaksud baju dan pakaian lebar yang dipakai oleh wanita yang terdapat di bawahnya kain atau apa-apa yang dipakai untuk menutupi pakaiannya dari atas.
Asas kepada perbincangan dalam masalah ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:
وَالْقَوَاعِدُ مِنَ النِّسَاءِ اللَّاتِي لَا يَرْجُونَ نِكَاحًا فَلَيْسَ عَلَيْهِنَّ جُنَاحٌ أَنْ يَضَعْنَ ثِيَابَهُنَّ غَيْرَ مُتَبَرِّجَاتٍ بِزِينَةٍ ۖ وَأَنْ يَسْتَعْفِفْنَ خَيْرٌ لَهُنَّ ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ Maksudnya: “Dan mana-manawanita tua yang duduk (terhenti dari datangnya haid dan tidak lagi mengandung), yang tidak mempunyai keinginan untuk berkahwin (lagi), maka tidak ada dosa bagi mereka untuk menanggalkan pakaian mereka, dengan tidak bertujuan untuk mendedahkan perhiasan mereka; dan perbuatan mereka dengan menjaga kehormatan (dengan tidak menanggalkan pakaian luar mereka) adalah lebih baik bagi mereka; dan Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. Surah an-Nur: 60
Makna al-Qawa’id (الْقَوَاعِد) al-Qawa’id (الْقَوَاعِد) berasal daripada perkataanal-qa’id (القاعد) yang membawa maksud orang yang duduk. Ibn QutaibahRahimahullah telah berkata: “Dinamakan wanita yang sudah tua sebagai orang yang duduk adalah kerana mereka banyak duduk di rumah pada usia tersebut”.
Para ulama berbeza pendapat mengenai makna sebenar al-Qawa’id (الْقَوَاعِد) dalam ayat ke-60 surah an-Nur kepada tiga pendapat:
Wanita tua yang sudah tidak mampu melakukan banyak perkara kerana umurnya yang telah lanjut serta sudah terhenti haid dan tidak mampu untuk mengandung lagi. Ini adalah pendapat sebahagian besar ahli ilmu termasuklah Sa’id bin Jubair, Qatadah dan ad-Dhahhak
Wanita tua yang tidak menyebabkan orang berminat kepadanya jika melihatnya disebabkan umurnya yang telah berusia. Jika wanita tersebut masih mempunyai kecantikan yang boleh menaikkan syahwat bagi sesiapa yan melihatnya, maka dia tidak termasuk dalam makna ayat ini.
Wanita tua yang sudah tidak mampu untuk mengandung lagi.
Imam al-Qurtubi Rahimahullah telah melemahkan pendapat yang ketiga kerana wanita yang sudah tidak mampu mengandung masih lagi berkemungkinan bagi lelaki untuk bersenang-senang dengannya.
Oleh itu, wanita tua yang dimaksudkan dalam ayat di atas adalah merujuk kepada perempuan tua yang sudah tidak mampu melakukan banyak perkara kerana umurnya yang telah lanjut, sudah terhenti haid dan tidak mampu untuk mengandung lagi, serta tiada lagi keinginan terhadapnya jika melihatnya.
Makna Thiyab (ثِيَاب) Ulama’ berbeza pendapat mengenai makna sebenar perkataan thiyab (ثِيَاب) dalam ayat ke-60 surah an-Nur:
فَلَيْسَعَلَيْهِنَّجُنَاحٌأَنْيَضَعْنَثِيَابَهُنَّ Maksudnya: “Maka tidak ada dosa bagi mereka untuk menanggalkan pakaian mereka”
Pendapat Pertama: Perkataan thiyab dalam ayat ini membawa maksud al-jilbab (pakaian luar yang dipakai oleh wanita di atas tudung dan pakaian lain). Maka tidak berdosa bagi wanita tua untuk menanggalkan jilbab yang dipakainya. Ini adalah pendapat majoriti ahli tafsir di kalangan para Sahabat dan generasi awal di kalangan ahli tafsir.
Pendapat kedua: Perkataan thiyab dalam ayat ini membawa maksud al-khimar atau tudung dan al-jilbab. Maka tidak berdosa bagi wanita tua untuk menanggalkan jilbab dan khimar (tudung) yang dipakainya. Ini adalah pendapat ibn Umar RA, ‘Ikrimah, Sulaiman bin Yasar dan Abdurrahman bin Zaid bin Aslam Rahimahumullah.
Kesimpulan
Kami berpandangan bahawa pendapat yang kuat dan tepat dalam masalah perempuan tua perlu bertudung atau tidak adalah wajib ke atasnya untuk memakai tudung yang menutupi rambut dan kepalanya seperti wanita-wanita lain berdasarkan dali-dalil daripada al-Qur’an dan hadis Nabi SAW.
Imam an-Nawawi Rahimahullah telah berkata:
“Adapun aurat perempuan tua, Imam al-Ghazali menyamakan hukumnya dengan perempuan muda. Ini kerana nafsu syahwat adalah suatu perkara yang tidak dapat ditentukan dan perempuan tua masih lagi boleh dijadikan tempat untuk bersenang-senang dengannya.
Mengenai ayat ke-60 dalam surah an-Nur, tafsiran yang tepat mengikut pendapat majoriti ulama’ adalah ia ditujukan kepada wanita tua yang sudah tidak mampu melakukan banyak perkara kerana umurnya yang telah lanjut, sudah terhenti haid dan tidak mampu untuk mengandung lagi, serta tiada lagi keinginan terhadapnya jika melihatnya.
Sungguh benar bagai dikata, keadaan zaman ini, perempuan berumur masih mampu mengekalkan kecantikan dan nampak seperti lebih muda daripada usianya yang sebena. Kecanggihan teknologi dan barangan kosmetik yang digunakan, serta cara pemakaian mereka adalah faktor mereka masih mampu menarik perhatian lelaki.
Marilah kita mencontohi akhlak para muslimah yang hidup di zaman salaf. Mereka sangat menjaga kehormatan diri dan memilih untuk menjaga kesucian mereka dengan cara yang terbaik walaupun dibolehkan membuka tudung.
Ini sebagaimana kisah Hafsah binti Sirin Rahimahallah yang direkodkan oleh Imam al-Baihaqi Rahimahullah di dalam kitabnya, al-Sunan al-Kubra:
‘Asim al-Ahwal telah berkata, “Kami pernah masuk ke rumah Hafsah binti Sirin (yang telah berusia pada ketika itu), lalu dia segera menutupi dirinya dengan jilbab. Kami pun berkata kepadanya, “Semoga Allah merahmatimu, bukankah Allah SWT telah berfirman (surah an-Nur: 60) “Dan mana-mana wanita tua yang duduk (terhenti dari datangnya haid dan tidak lagi mengandung), yang tidak mempunyai keinginan untuk berkahwin (lagi), maka tidak ada dosa bagi mereka untuk menanggalkan pakaian (jilbab) mereka, dengan tidak bertujuan untuk mendedahkan perhiasan mereka.”
Maka Hafsah pun berkata kepada kami, “Apakah sambungan daripada ayat tersebut?” Lalu kami membaca, “Dan menjaga kesucian diri mereka (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu adalah) lebih baik bagi mereka.” Hafsah pun berkata: ‘Ia bermakna tetaplah dengan pemakaian jilbab (kerana itu lebih baik).’ al-Sunan al-Kubra (13534)
Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Ramai yang bekerja sebagai pemandu E hailing pada hari ini. Tuntutan tugas yang sentiasa berada di atas jalan ada masanya menyebabkan mereka ‘terlepas solat’ atau solat di waktu.
Dalam hal ini bolehkah seorang pemandu E Hailing mengqasarkan solat mereka setiap hari memandangkan jumlah jarak yang ditempuhi biasanya melebihi dua marhalah.
Persoalan ini dijawab oleh Mufti Wilayah Persekutuan melalu portalnya.
Hukum pemandu E Hailing qasar solat setiap hari
Pemandu kereta yang sering melakukan pemusafiran harus mengqasarkan solat jika memenuhi syarat-syarat qasar seperti melebihi jarak 81km dari tempat kediamannya dan keluar dari kawasan perumahan atau kampungnya.
Namun sebaiknya bagi mereka yang sering melakukan pemusafiran melebihi jarak 81km untuk melakukan solat dengan sempurna.
Keringanan memendekkan solat
Allah SWT memberikan keringanan kepada hambanya dalam melaksanakan ibadah solat dengan diberi keinginan untuk mengqasarkan solat. Keringanan ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam firmannya:
Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang.”
Keringanan untuk memendekkan solat ini diberikan untuk mereka yang memenuhi syarat-syaratnya. Antara syarat-syarat untuk melakukan qasar dalam mazhab syafi’i ialah perjalanan mestilah melebihi jarak qasar iaitu 81km dan keluar dari kawasan kampung atau perumahannya.
Jika perjalanan tersebut kurang dari 81km atau tidak keluar dari kawasan tempat tinggalnya maka dia tidak boleh mengqasarkan solatnya. Walau bagaimanapun jika dia seorang yang sentiasa melakukan perjalanan yang jauh pada hampir setiap hari sebaiknya dia melakukan solat dengan sempurna dan tidak mengqasarkan solat. Perkara ini dinyatakan dalam kitab I’anah al-Talibin:
ومن يديم السفر مطلقا كالساعي فإن الإتمام أفضل له، خروجا من خلاف من أوجبه، كالإمام أحمد رضي الله عنه.
Maksudnya: “Siapa yang sentiasa melakukan pemusafiran seperti pemandu maka yang afdal baginya ialah melakukan solat dengan sempurna untuk keluar dari khilaf sebahagian ulama yang mewajibkannya seperti Imam Ahmad RA[1].”
Kesimpulannya pemandu kereta yang sering melakukan pemusafiran harus mengqasarkan solat jika memenuhi syarat-syarat qasar seperti melebihi jarak 81km dari tempat kediamannya dan keluar dari kawasan perumahan atau kampungnya. Namun sebaiknya bagi mereka yang sering melakukan pemusafiran melebihi jarak 81km untuk melakukan solat dengan sempurna.
‘Isteri wajib taat perintah suami.’ Tapi janganlah sampai jatuh talak, bila isteri minta balik raya rumah mak dia. Bab cerai ini jangan buat main, jangan terlalu ikut emosi hingga hubungan yang terbina terputus.
Soal balik raya memang sensitif, apatah lagi bila seorang suami atau isteri tidak bersikap adil dalam penggiliran balik beraya.
Mungkin orang yang tak melaluinya rasa “remeh’ tapi bila setiap tahun beraya rumah mentua, pasti lama-lama kecil hati. Macam dia seorang ada mak, bapak.
Ikuti perkongsian Ustazah Nur Aqidah Mawardi ini dan hadam baik-baik ya wahai suami.
Hukum asal… Wajib seorang isteri taat kepada perintah suami selagi tidak bercanggah dengan syarak.
Tapi Janganlah Sampai Jatuh Talak
Cuma!
Janganlah sampai nak jatuh talak jika isteri membuat permohonan dan keizinan hendak balik umah mak dia.
Wahai segelintir suami, anda berkahwin dengan anak orang. Bukan anak buluh betung. Anda sepatutnya kene mainkan peranan bercakap dengan ibu kalian tanpa membabitkan isteri.
Seperti contoh, “Mak, abang raya pertama baru balik kampung yer, sebab tahun ini abang teringin nak beraya dengan mentua abang.”
Bila bercakap macam ini, mak anda akan lebih faham sebab sebagai ibu pastinya dia hendak anak dia bahagia.
Bila Isteri Minta Balik
Wahai para ibu yang sudah punya menantu. Ketahuilah anak kita sudah berkahwin dengan anak orang lain. Jadilah ibu yang support anak meraikan pasangannya.
Andai satu hari, anak perempuan kita diperlakukan sedemikian rupa, apa perasaan kita? Jika kita perlakukan menantu ”buruk”, ingat! Kita ada anak perempuan atau adik perempuan atau saudara perempuan. Allah Maha Adil.
Begitu juga suami, jangan tanya kenapa andai satu hari anak perempuan mu menjadi hamba abdi suaminya kita kamu perlakukan isteri mu lebih teruk dari hamba abdi.
Raya Rumah Mak Dia
Jangan mudah-mudah labelkan anak kita anak derhaka, parah hidup anak itu nanti.
Bertoleransilah, berlapang dadalah dan kita bersama-sama tanamkan azam. Bila jadi menantu atau mertua atau apa sahaja peranan, kita usaha untuk jadi yang baik semampunya tapi jangan sampai makan diri.
Minta agar kita semua dipelihara oleh Allahu Ya Hafiz.
Menular secara senyap dalam masyarakat, isu penyelewengan akidah melalui ajaran sesat sentiasa perlu dibendung.Dalam hal ini orang ramai juga perlu didedahkan dengan ciri-ciri ajaran...