Kerohanian

Hukum Puasa Sunat Atau Ganti Hari Jumaat, Betul Ke Kena Puasa Sekali Hari Khamis & Sabtu

Share

Mungkin ada yang berhajat nak buat puasa ganti atau puasa sunat pada hari Jumaat. Memandangkan esok hari diet atau tak ke mana-mana, jadi apa salahnya puasa kan.

Tapi sebaiknya tahan dulu hasrat untuk ganti puasa atau puasa sunat di hari Jumaat. Ini kerana hukumnya adalah makruh.

Habib Hassan Al Kaff menyebutkan dalam kitabnya Taqrirat Sadidah bahawa berpuasa pada hari Jumaat semata adalah MAKRUH.

Ini kerana hari Jumaat adalah penghulu segala hari bagi umat Islam. Manakala Sabtu hari bagi kaum Yahudi dan Ahad hari perayaan bagi kaum Nasrani.

Daripada Juwairiyah binti al-Harith R.Anha, katanya:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ عَلَيْهَا يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَهِيَ صَائِمَةٌ فَقَالَ أَصُمْتِ أَمْسِ قَالَتْ لا قَالَ تُرِيدِينَ أَنْ تَصُومِي غَدًا قَالَتْ لا قَالَ فَأَفْطِرِي
Maksudnya: “Nabi SAW masuk menemuinya pada hari Jumaat dan beliau dalam keadaan berpuasa. Nabi SAW bertanya: “Adakah engkau berpuasa semalam?” Juwairiyah menjawab: “Tidak.” Baginda bertanya lagi: “Adakah engkau mahu berpuasa esok?” Beliau menjawab: “Tidak.” Baginda bersabda: “Berbukalah.” (HR Bukhari, hadis sahih)

Menurut Imam Ramli dalam kitabnya Nihayatul Muhtaj, tidak makruh mengerjakan puasa semata-mata Jumaat, Sabtu atau Ahad sekiranya hari-hari tersebut dianjurkan oleh syarak untuk berpuasa seperti Hari Asyura atau Hari Arafah yang jatuh bertepatan pada hari-hari berkenaan atau tidak makruh bagi mereka yang mengerjakan puasa sunat Nabi Daud (puasa sehari berbuka sehari) atau tidak makruh juga mereka yang mengerjakan puasa Qadha’ atau puasa nazar.

Syarat kalau nak puasa hari Jumaat

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda:
لا يَصُومَنَّ أَحَدُكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ إِلا يَوْمًا قَبْلَهُ أَوْ بَعْدَهُ
Maksudnya: “Janganlah seseorang daripada kamu berpuasa sunat semata-mata pada hari Jumaat melainkan berpuasa sebelumnya atau sehari selepasnya” (HR Bukhari, hadis sahih)

Hadis ini menerangkan sekiranya ingin berpuasa pada hari Jumaat, maka sewajarnya berpuasa pada hari Khamis atau hari Jumaat. Ini kerana ingin membezakan antara kaum Yahudi dan Nasrani.

Nabi SAW bersabda:
إِنَّهُمَا يَوْمَا عِيدِ الْمُشْرِكِينَ ، فَأَنَا أُحِبُّ أَنْ أُخَالِفَهُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya kedua-dua ( hari Sabtu dan hari Ahad ) adalah dua Hari Raya bagi orang-orang musyrik dan aku mahu perbuatanku berbeza dengan mereka”. (HR Ahmad). Wallahu A’lam

Kesimpulan

1. Tidak digalakkan sekiranya ingin puasa sunat ataupun puasa ganti pada hari Jumaat, sebaiknya puasa sekali pada hari Khamis atau Sabtu. Begitu juga pada hari Sabtu, terbaiknya kita puasa sekali pada hari Jumaat.

2. Makruh untuk kita puasa pada hari Jumaat atau Sabtu atau Ahad sahaja.

3. Dibenarkan puasa pada hari Jumaat sekiranya pada hari tersebut jatuhnya hari yang disunatkan berpuasa seperti hari Asyura, puasa hari Arafah, puasa Nabi Daud, puasa Nazar dan sebagainya.

4. Sebab tidak digalakkan berpuasa pada hari Jumaat kerana ia adalah penghulu segala hari bagi umat Islam, manakala hari Sabtu adalah hari perayaan kaum Yahudi dan hari Ahad adalah hari perayaan kaum Nasrani.

Sumber: Ustazah Asma’ Harun

Published by
Team Kashoorga