Hukum Sebarkan Gambar Mangsa Kemalangan Yang Telah Meninggal Dunia

Share

Perkembangan teknologi digital hari ini membolehkan sesiapa sahaja bertindak seperti wartawan di lokasi bagi sebarkan gambar orang meninggal dunia dan dan ‘berita’. Apa sahaja yang difikirkan akan menarik perhatian pengguna sosial media, maka ‘berita’ tersebut akan dimuat naik dengan harapan boleh menjadi viral dan sensasi.

Salah satu ‘berita’ yang kerap kita lihat ialah keberanian mereka memuat naik gambar mayat atau jenazah dalam keadaan yang mengerikan atau yang mengaibkan. Di sini orang ramai perlu maklum apa yang boleh dan tidak dilakukan.

Kita ikuti penjelasan SS Mufti Wilayah Persekutuan akan hal ini.

Artikel berkaitan:Kematian Indah, Ulama Meninggal Dunia Setelah Ucap “Lailahaillallah” Semasa Berceramah

Artikel berkaitan:Elak Kalut, Panduan Persediaan Awal Urus Ahli Keluarga Meninggal Dunia

Soalan:

Assalamualaikum W.B.T. Sesetengah masyarakat kita yang gemar mengambil dan menyebarkan gambar mangsa kemalangan atau kes tertentu di media sosial, apakah hukum perbuatan ini dari perspektif agama?

Jawapan:

Sabda Nabi Muhammad S.A.W:

لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه
Maksudnya: “Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri”.

(Riwayat al-Bukhari: 13 dan Muslim:45)

Berdasarkan hadis di atas, jelaslah bahawa seorang muslim hendaklah menyukai segala kebaikan yang diperoleh oleh saudara muslim yang lain sebagaimana dia menyukai kebaikan itu untuk dirinya, dan membenci segala keburukan yang menimpa saudara muslim yang lain sebagaimana dia membenci keburukan itu menimpa dirinya.

Oleh itu hendaklah seseorang muslim berlaku ihsan dan berbuat baik kepada saudara semuslim-nya yang lain, menutup segala keaibannya serta menjaga hak-hak ke atas mereka (sesama muslim).

Justeru, pada asasnya perbuatan menyebarkan gambar mayat si mati adalah haram dan bercanggah dengan moral dan akhlak Islam kerana hal tersebut boleh membuka aib si mati dan menyakiti hati keluarga waris.

Islam sangat menitikberatkan kewajipan seseorang Islam terhadap saudaranya yang lain iaitu antaranya menjaga nyawa, harta dan kehormatan diri sebagaimana sabda Nabi S.A.W:

كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ، دَمُهُ، وَمَالُهُ، وَعِرْضُهُ
Maksudnya: “Hak setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya”. (Riwayat Muslim: 2564)

Berdasarkan hadis di atas, ia menunjukkan kewajipan seseorang muslim terhadap saudaranya yang lain maka haram ke atasnya untuk menumpahkan darah saudara muslim yang lain, mencerobohi hartanya seperti mencuri atau merompak atau menipu dalam urusan jualbeli, dan hendaklah menjaga kehormatan dirinya iaitu tidak boleh menghina sifatnya atau rupa paras atau keturunannya kerana hal itu boleh menjatuhkan kehormatannya dan hendaklah memelihara kemuliaan dirinya. (Rujuk: Al-Adab al-Nabawi, 1/137).

Firman Allah S.W.T:

….ولقد كرمنا بني آدم
Maksudnya: “Dan sesungguhnya kami telah memuliakan anak Adam…..”.
( Surah al-Isra’ : 70)

Ayat di atas menunjukkan Allah S.W.T. memuliakan manusia samada semasa hidup atau matinya. Dan tidak syak lagi apa yang diharamkan oleh seseorang muslim ke atas saudaranya ketika hidup sama seperti pengharamannya setelah meninggal dunia.

Oleh itu, berdasarkan dalil-dalil di atas wajib ke atas kita untuk beradab dan memuliakan saudara muslim yang lain samada ketika hidup ataupun setelah meninggal dunia.
Segala perkara yang boleh membawa kepada pencerobohan nyawa, harta dan kehormatan diri seseorang muslim adalah haram dan dilarang di sisi agama kita yang mulia.

Selain itu, perbuatan menyebarkan gambar mayat yang kurang elok atau tidak menutup aurat adalah suatu bentuk pendedahan aib dan ia merupakan suatu perkara yang ditegah dalam agama.
Malah tiada khilaf dalam kalangan para ulama’ bahawa wajib menutup aurat jenazah. (Rujuk: Hasyiyah al-Dasuqi, 1/408).

Sehinggakan para ulama menitikberatkan hendaklah dijaga aurat dan aib si mati sekalipun ketika urusan memandikan jenazah.

Berkata Imam al-Nawawi: “Dan disunatkan agar ditutup mayat (ketika memandikan jenazah) daripada orang lain, kerana berkemungkinan terdapat pada badannya itu suatu aib yang beliau menutupinya dahulu (ketika dia hidup), dan boleh jadi terdapat badannya itu suatu tompokan darah, lalu disangka oleh orang yang melihatnya itu sebagai suatu hukuman baginya (mayat itu).” (Rujuk: Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/154).

Riwayat Abu Daud (3140), Ibnu Majah (1460)

Apatah lagi sekiranya keadaan mayat tersebut mengaibkan seperti tertanggal anggota dari badan, terburai jasad dan sebagainya maka itu boleh membuka aib si mayat tersebut.
Jelaslah bahawa perbuatan seperti ini adalah sangat tidak bertanggungjawab dan dilarang tegas oleh agama.

Oleh itu, berdasarkan dalil-dalil di atas jelaslah bahawa wajib ke atas kita menutup aurat dan aib seseorang sekalipun orang tersebut telah meninggal dunia.

Malah wajib hukumnya bagi seorang muslim menutup apa juga yang tidak disukai oleh seseorang ketika hidupnya.

Barangsiapa yang melakukan sebarang perbuatan yang mendedahkan aurat dan aib si mati maka dia telah tergolong dalam golongan yang mencerobohi maruah saudara muslimnya yang lain dan ianya termasuk dalam perkara yang dibenci oleh Allah dan RasulNya.

Kesimpulan:

Perbuatan menyebarkan mayat orang yang meninggal dunia adalah haram kerana ia boleh mendedahkan aib si mati dan menyakiti hati keluarga waris.

Tambahan pula, sekiranya keadaan mayat yang agak tidak sempurna seperti terdedah aurat, tertanggal anggota tubuh dari badan maka haram menyebarkan gambar tersebut kerana Islam melarang umatnya mendedahkan aurat dan hal tersebut boleh menjatuhkan kehormatan si mati.

Selain itu ia boleh mendatangkan trauma kepada keluarga si mati dan boleh mengundang pelbagai perkara yang tidak diingini. Justeru, perbuatan menyebarkan gambar mayat perlu dihentikan kerana ia bercanggah dengan etika, moral dan akhlak Islam.

Di samping itu, individu yang melakukan perbuatan ini juga harus diambil tindakan tegas agar fenomena ini tidak berleluasa dalam masyarakat.

Wallahu a’lam.

Published by
Emma Masri