Tiba hari melaksanakan ibadah korban, mungkin ramai antara kita yang mendapat banyak daging korban. Dalam situasi ini timbul persoalan berapa lama daging korban ini boleh disimpan.
Ini kerana ada yang mengatakan bahawa daging korban ini tak boleh disimpan lebih dari 3 hari. Persoalan ini dijawab oleh Ustaz Syed Shahridzan dalam satu hantaran Facebook beliau.
Diharuskan simpan daging korban
Menurut mazhab Syafi’ie diharuskan menyimpan daging korban walaupun melebihi tiga hari asalkan daging itu tidak rosak atau busuk sehingga menyebabkan pembaziran.
Penyimpanan daging korban lebih dari 3 hari pernah dilarang oleh Rasulullah SAW namun larangan itu sudah dimansuhkan atau disebabkan situasi sudah berubah sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi di dalam kitab ‘Raudah al-Tolibin’:
يجوز أن يدخر من لحم الأضحية، وكان ادخارها فوق ثلاثة أيام قد نهى عنه رسول الله صلى الله عليه وسلم، ثم أذن فيه. قال الجمهور: كان نهي تحريم. وقال أبو علي الطبري: يحتمل التنزيه.
“Boleh/harus seseorang menyimpan sebahagian dari daging korban. Rasulullah SAW pernah melarang menyimpan (daging korban) lebih dari tiga hari kemudian Baginda mengizinkannya. Menurut majoriti ulama larangan ini bermakna haram, manakala menurut Abu Ali al-Tobari, kemungkinan larangan ini bermaksud makruh.”
Imam Nawawi menyebut kemungkinan sebab larangan tersebut di dalam rujukan yang sama:
في أن النهي كان عاما، ثم نسخ، أم كان مخصوصا بحالة الضيق الواقع في تلك السنة، فلما زالت انتهى التحريم
“Larangan tersebut berjalan selama setahun kemudian dimansuhkan, atau larangan ini dikhususkan dengan sebab keadaan yang sempit pada tahun itu, tatkala luput keadaan itu maka tiada lagi pengharaman.”
Beliau menjelaskan lagi jika keadaan yang sempit atau susah berlaku pada zaman kini, adakah diharamkan kembali menyimpan daging korban lebih dari 3 hari? Beliau ada menjelaskan juga dalam ‘Raudah al-Tolibin’:
في أنه لو حدث مثل ذلك في زماننا وبلادنا، هل يحكم به؟ والصواب المعروف: أنه لا يحرم اليوم بحال. وإذا أراد الادخار، فالمستحب أن يكون من نصيب الأكل، لا من نصيب الصدقة والهدية.
“Jika berlaku situasi sebegitu pada zaman kita atau negeri kita, adakah dihukumkan dengannya(haram)? Pendapat yang tepat lagi diketahui, ia tidak diharamkan pada hari ini walau apa situasi sekali pun. Jika seseorang ingin menyimpan maka digalakkan menyimpan daging korban dari bahagian yang dimakan (sendiri dan keluarga), bukan bahagian sedekah dan hadiah.”
Kesimpulannya, Rasulullah SAW pernah melarang daging korban disimpan lebih dari tiga hari, namun setelah itu Baginda mengizinkan kembali kerana hukum itu sudah dimansuhkan atau situasi dan keadaan sudah berubah.
Dengan ini tiada masalah jika daging korban yang akan dimakan oleh sendiri dan keluarga boleh disimpan selama mana pun. Namun tidak digalakkan daging korban yang ingin disedekahkan atau dihadiahkan disimpan dalam tempoh yang lama kerana ia sunat diagihkan secepat mungkin.
Sumber: Facebook Ustaz Syed Shahridzan
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI