Pakai kemeja lengan panjang atau seluar yang dilipat tapi bila solat jangan lupa untuk meluruskan lipatan.
Ramai yang terlupa dan terus bersolat dengan baju atau seluar masih berlipat sedangkan ada hadis yang memerintahkan agar kita tidak ‘menahan pakaian’ ketika sujud.
Daripada Ibn Abbas R.anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:
أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةٍ، لاَ أَكُفُّ شَعَرًا وَلاَ ثَوْبًا
Maksud: “Aku diperintahkan untuk melaksanakan sujud dengan tujuh anggota, serta janganlah menahan rambut dan tidak juga pakaian (tahan daripada sujud).”
Hadis ini disepakati akan kesahihannya oleh dua orang imam (iaitu al-Bukhari dan Muslim) dan status hadith seperti ini merupakan darjat yang tertinggi di dalam darjat-darjat hadith sahih.
Imam al-Nawawi (676 H) berkata:
اتَّفَقَ الْعُلَمَاءُ عَلَى النَّهْيِ عَنِ الصَّلَاةِ وَثَوْبُهُ مُشَمَّرٌ أَوْ كُمُّهُ أَوْ نَحْوُهُ أَوْ رَأْسُهُ مَعْقُوصٌ أَوْ مَرْدُودٌ شَعْرُهُ تَحْتَ
عِمَامَتِهِ أَوْ نَحْوُ ذَلِكَ فَكُلُّ هَذَا مَنْهِيٌّ عَنْهُ بِاتِّفَاقِ الْعُلَمَاءِ وَهُوَ كَرَاهَةُ تَنْزِيهٍ فَلَوْ صَلَّى كَذَلِكَ فَقَدْ أَسَاءَ وَصَحَّتْ صَلَاتُهُ
Maknanya: “Ulama bersepakat berkaitan larangan ketika solat dalam keadaan lengan pakaiannya bergulung atau berlipat atau yang sepertinya. Juga rambut kepalanya terikat atau diruapkan rambutnya yang di bawah serbannya atau sepertinya.
Kesemua perkara ini adalah dilarang dengan kesepakatan para ulama dan ia adalah adalah termasuk di dalam makruh tanzih (tidaklah begitu berat). Sekiranya seseorang itu solat dalam keadaan yang sedemikian, maka dia telah mencacatkan solatnya (fadhilat solat) tetapi solatnya sah.
Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani (852 H) berkata:
الْجُمْهُورُ فَإِنَّهُمْ كَرِهُوا ذَلِكَ لِلْمُصَلِّي سَوَاءٌ فَعَلَهُ فِي الصَّلَاةِ أَوْ قَبْلَ أَنْ يَدْخُلَ فِيهَا وَاتَّفَقُوا عَلَى أَنَّهُ لَا يُفْسِدُ الصَّلَاةَ
Maknanya: “Jumhur mengatakan makruh (melipat lengan) bagi seseorang yang ingin solat sama ada perbuatannya itu di dalam solat atau sebelum masuk ke dalam solat. Mereka juga bersepakat bahawa perbuatan tersebut tidak merosakkan (membatalkan) solat .”
Imam Zakaria al-Ansari (926 H) berkata:
(وَيُكْرَهُ لِلْمُصَلِّي ضَمُّ شَعْرِهِ وَثِيَابِهِ) فِي سُجُودِهِ، أَوْ غَيْرِهِ (لِغَيْرِ حَاجَةٍ)
Maknanya: “Dan makruh bagi orang yang solat dalam keadaan menahan rambutnya dan pakaiannya di dalam sujud atau selain daripadanya tanpa hajat.”
Justeru disimpulkan bahawa melipat pakaian ketika solat sama ada pada seluar atau lengan baju adalah makruh berdasarkan kepada hadith sahih di atas.
Hal ini juga disebut di dalam kitab al-Mu’tamad bahawa hukum menggulung hujung pakaian atau lengan pakaian sama ada sengaja dilakukan untuk solat atau sebelumnya (sebelum daripada solat) dengan tujuan yang lain serta seseorang itu solat dalam keadaan begitu tanpa darurat hukumnya adalah makruh mengikut kesepakatan para ulama dan ia termasuk di dalam makruh yang tanzih.
Barangsiapa yang solat dengan keadaan begitu, maka dia telah melakukan perkara yang makruh dan solatnya adalah sah.
Selain itu juga, di antara hikmah larangan ini adalah bagi memastikan seluruh perkara tersebut turut sujud bersamanya sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Zakaria al-Ansari di dalam kitabnya Asna al-Mathalib.
Di samping itu juga, terdapat hikmah yang lain sebagaimana dinukilkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani iaitu:
وَالْحِكْمَةُ فِي ذَلِكَ أَنَّهُ إِذَا رَفَعَ ثَوْبَهُ وَشَعْرَهُ عَنْ مُبَاشَرَةِ الْأَرْضِ أَشْبَهَ الْمُتَكَبِّرَ
Maksudnya: “Hikmah pada perkara tersebut adalah apabila seseorang itu mengangkat pakaiannya atau rambutnya daripada tersentuh lantai (tempat sujud) makai a seumpama orang yang takabbur (sombong)