Hukum Baca Bacaan Dalam Solat Laju-Laju, Solat Sah Atau Tidak

Share

Ada keadaan kita solat dalam keadaan laju, nak cepat atau pun kita melihat rakan solat dalam kadar yang laju. Kita baru rakaat kedua, dia dah selesai.

Timbul kemusykilan adakah sah solat laju sebegini. Berikut adalah penjelasan Ustaz Azhar Idrus dalam satu ceramah beliau. Ujar beliau solat laju atau lambat tidak menjadi masalah asalkan cukup syarat dan rukun solat.

“Solat laju dan perlahan tiada masalah asalkan cukup syarat dan rukun. Diantara rukun solat adalah membaca al fatihah dengan sempurna. Kalau laju dan tak habis atau tak sempurna bacaan al-Fatihah maka tak sah.

“Kedua adalah syarat, antara sebab solat laju jadi tak sah adalah kerana tinggal to’makninah atau tidak berhenti seketika untuk setiap rukun solat.”

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Nasa’i, Rasulullah s.a.w melarang solat yang dikerjakan seperti burung yang mematuk makanan, iaitu pantas berdiri dan sujud dalam waktu yang singkat.

Dalam hadis yang lain pula Baginda bersabda bermaksud: “Allah s.w.t. tidak melihat solat seseorang yang dikerjakan tanpa sempat meluruskan tulang belakangnya antara rukuk dan sujud”. (Riwayat Thabrani)

Solat yang dikerjakan secara cepat atau lambat pada dasarnya sah. Namun perlu diingatkan agar segala rukun dan syarat sah solat cukup serta tidak tertinggal.

Published by
Team Kashoorga