Suami lafaz talak namun dalam keadaan terpaksa, boleh jadi dipaksa oleh isteri sendiri mahu pun pihak yang lain. Dalam keadaan ini apa hukumnya?

Persoalan ini dijawab oleh mantan menteri agama Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dalam laman web Maktabah Al Bakri menerusi satu soalan yang ditanyakan oleh netizen;

Assalamualaikum. Adakah jatuh talak saya selepas saya dipaksa untuk menceraikannya. Untuk memuaskan hatinya, saya menyatakan untuk melepaskannya dan saya akan melepaskannya nanti dan memberitahu padanya supaya anggap saya dah lepaskannya sekiranya dia ingin ke mana-mana.

Jawapan 

Secara umumnya, talak itu hukumnya halal iaitu dibolehkan untuk melakukannya, namun perbuatan itu dianggap makruh. Ini bermakna syariat mengizinkan talak, namun barang siapa yang meninggalkan atau berusaha menjauhi perkara yang makruh akan mendapat pahala.

Sabda Nabi Muhammad SAW :
أَبْغَضُ الْحَلاَلِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى الطَّلاَقُ

Maksudnya: Perkara halal yang amat dibenci oleh Allah ialah talaq.” Riwayat Abu Daud (2178), Ibn Majah (2018), al-Hakim (2/197)

Kayu ukur seseorang itu dalam keadaan terpaksa

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan kayu ukur sekiranya seseorang itu betul-betul berada dalam paksaan :

Ads
  • Orang yang memaksa mempunyai kekuatan dan mampu menguasai orang yang dipaksa
  • Merasa terancam sekiranya permintaan tidak dipenuhi dan dalam masa yang sama tidak mampu untuk melawan atau melarikan diri.
  • Memudaratkan orang yang dipaksa dengan ancaman bunuh, penderaan, merampas harta dan sebagainya.

Kami dapat menyatakan bahawa tidak jatuh talak sekiranya seseorang itu dipaksa sebagaimana yang telah dinyatakan dalam firman Allah SWT :
إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْإِيمَانِ

Maksudnya: “Kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman.” (Surah al-Nahl: 106)

Al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan : “ayat ini menunjukkan bahawa perkataan yang diucapkan dengan terpaksa dalam talak tidak dikira dan tidak ada hukum syarak yang dikenakan kepada orang yang dipaksa. Jika seseorang tidak dihukum kerana perkataan kufur yang diucapkan dengan terpaksa, maka pada perkara yang lain juga tidak akan dikenakan hukuman”. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman,hlm.450).

Ini juga berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda :

Ads

إِنَّ اللَّهَ وَضَعَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ، وَالنِّسْيَانَ، وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah mengampuni kesalahan umatku: Kelupaan mereka dan perbuatan yang dilakukan kerana paksaan.” Riwayat Ibn Majah (2035)

Pandangan ini merupakan pandangan jumhur ulama daripada mazhab Maliki, Syafi’e, dan Hanbali.

Ads

Al-Khatib Al-Syarbini menyatakan : tidak jatuh talak kerana dipaksa. Talak jika diucapkan beserta dengan niat dan pilihannya sendiri maka jatuhlah talak ke atasnya dan jika seseorang melafazkannya kerana terpaksa maka ia tidak dikira dan talak tersebut terbatal.(Lihat Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifati Alfaz al-Minhaj, 4/470)

Perceraian terjadi dari setiap orang yang baligh, berakal dan kerana pilihan sendiri.Tidak terjadinya penceraian dari orang yang dipaksa, orang yang mabuk yang tidak menyadari apa yang dikatakannya, atau orang yang marah yang tidak tahu apa yang dikatakannya. Selain itu, Perceraian juga tidak terjadi dari orang yang salah, lalai, lupa, gila, dan sejenisnya.” (Lihat al-Mausua’h al-Fiqhiyyah, 3/111)

Kami katakan dipaksa dibahagi kepada dua; pertama, ikrah mulji’ (الْإِكْرَاهُ الْمُلْجِئ) dan ikrah ghairu mulji’ (الْإِكْرَاهُ غَيْر الْمُلْجِئ). Jika sekiranya ikrah hanya biasa-biasa, maka tidak boleh dia menceraikan isteri. Tetapi jika ikrah membawa kepada ancaman nyawa dan badan, dan berat, maka itu baru dikira.

Bergantung kepada keadaan suami ketika lafaz talak

Dalam kes ini ia bergantung kepada keadaan suami. Sekiranya suami melafazkan dalam keadaan terancam yang membahayakan nyawa atau anggotanya dan dalam keadaan terpaksa, maka hukum talak tersebut tidak terjatuh dan sekiranya tidak memenuhi syarat-syarat seorang itu dikira sebagai orang yang dipaksa maka ia berbalik kepada lafaz dan niat suami.

Dalam hal ini sebaiknya rujuk kepada Mahkamah Syariah dan membuat permohonan pengesahan lafaz talak. Ini adalah satu usaha untuk membuktikan adakah telah jatuh talak ataupun tidak.

Sumber: Maktabah Al Bakri

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI