Hukum Tidak Pisahkan Tempat Tidur Anak Lelaki & Perempuan Sebab Tak Cukup Bilik

Share

Seperti masa diketahui apabila anak-anak sampai umur baligh ibu bapa harus memisahkan tempat tidur anak lelaki dan perempuan.

Namun ada juga ibu bapa dalam dilema kerana tidak dapat menyediakan bilik yang berasingan untuk anak lelaki dan perempuan lantaran tidak berkemampuan menyediakan rumah dengan bilik yang cukup.

Ada yang hanya mampu menyewa rumah dengan satu atau dua bilik saja, malah ada juga yang hanya mampu menyewa bilik untuk tinggal bersama dengan anak-anak. Dalam keadaan ini apa yang harus dilakukan?

Buat ibu bapa yang dalam masalah ini, penjelasan daripada Mufti Wilayah boleh dijadikan panduan.

Memisahkan tempat tidur antara anak-anak adalah satu didikan ibu bapa kepada anak dalam menjaga batas auratnya walaupun sesama ahli keluarga.

Hal ini juga bertujuan sebagai langkah berjaga-jaga daripada fitnah atau terbangkitnya nafsu syahwat walaupun sesama adik-beradik.

Rasulullah S.A.W. bersabda:
مُرُوا أَوْلَادَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا، وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ

 “Perintahkan anak-anak kamu untuk menunaikan solat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukullah mereka ketika mereka berusia sepuluh tahun, dan pisahkan tempat tidur di antara mereka.” Riwayat Ahmad (6689) Abu Daud (495) dan al-Albani menilainya Sahih

Majoriti fuqaha berpendapat bahawa wajib kepada bapa atau wali memisahkan tempat tidur anak-anak ketika berumur 10 tahun sama ada anak-anak tersebut sama jantina atau lelaki dan perempuan mahupun antara anak dan ibu atau bapanya.

Berkata Imam al-Subki bahawa memisahkan tempat tidur dilakukan dengan dua cara sama ada untuk setiap anak satu tilam atau kedua-duanya setilam tetapi berpisah dan tidak bersentuhan.

Hal ini menunjukkan bahawa pemisahan tempat tidur berlaku apabila berpisah dan tidak bersentuhan. Oleh itu, mengasingkan terus bilik tidur adalah lebih baik dan dapat mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

Perkara ini bukan sahaja perlu dititikberatkan oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka yang belum baligh, malah lebih wajar diwajibkan sekiranya anak telah baligh dan berupaya menguruskan dirinya.

Didikan adab ini sebaiknya dilakukan ketika anak-anak masih kecil supaya mereka tidak mengalami kesan-kesan negatif dari sudut emosi anak-anak apabila dilaksanakan tanpa latihan yang berperingkat.

Gambar sekadar hiasan

Sekiranya anak berkongsi bilik dengan adik-beradiknya yang sama jantina, maka perlu diperingatkan untuk sentiasa meminta izin sebelum masuk ke bilik tidur dan menjaga batas aurat di antara mereka.

Majoriti fuqaha berpendapat bahawa disunatkan bagi kanak-kanak meminta izin sebelum masuk ke ruang peribadi atau bilik tidur pada tiga waktu aurat iaitu sebelum subuh, ketika waktu tengahari dan selepas solat isyak.

Sebab dinamakan waktu aurat kerana pada tiga waktu tersebut merupakan waktu berseorangan untuk tidur dan rehat dan kebiasaannya dalam keadaan tidak menutup aurat, maka ditakuti akan terlihat aurat seseorang sekiranya tidak meminta keizinan sebelum masuk ke ruang tersebut.

Manakala bagi seseorang yang baligh, wajib meminta keizinan sebelum masuk pada setiap keadaan sama ada pada tiga waktu tersebut atau waktu-waktu yang lain.

Kesimpulan

Memisahkan tempat tidur antara anak-anak atau antara anak dan ibu bapanya merupakan satu didikan yang wajib ketika anak mencapai umur sepuluh tahun.

Maka ia lebih aula’ (utama) dalam kewajipan memisahkan tempat tidur sekiranya anak-anak sudah baligh terutamanya antara adik-beradik lelaki dan perempuan.

Oleh itu, berdasarkan soalan, kami menasihatkan agar memisahkan tempat tidur anak-anak ketika berumur sepuluh tahun dilakukan dengan cara berikut:

  • Mengasingkan bilik anak-anak lelaki dan bilik anak-anak perempuan.
  • Sekiranya hanya terdapat dua bilik dan salah satunya bilik ibu bapa, maka perlu diutamakan untuk menyediakan bilik anak perempuan. Manakala anak lelaki diasingkan di ruang lain seperti ruang tamu. Hal ini bertujuan sebagai langkah berjaga-jaga (saddul zari’ah) daripada timbulnya sebarang mafsadah pada masa akan datang.

Tidak dinafikan penyediaan rumah yang selesa bergantung kepada kemampuan individu masing-masing.

Namun begitu, kami menasihatkan supaya ibu bapa sentiasa berusaha mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak dalam urusan keluarga.
Firman Allah SWT:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu”
(Surah al-Taghaabun: 16)

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam dalam urusan kehidupan kita.
Wallahua’lam.

Sumber:muftiwp.

Published by
Team Kashoorga