Ubah suai meter elektrik untuk kurangkan bil, apa hukumnya? Bil elektrik yang semakin tinggi memang terasa membebankan. Disebabkan itu ramai yang mengambil menjimatkan penggunaan tenaga sebagai langkah penjimatan tapi tak kurang juga ada yang melakukan perkara berbeza.
Sebagai contoh membuat pengubahsuaian meter termasuklah meletakkan magnet dan sebagainya demi mengurangkan bil elektrik. Dalam hal ini apakah hukumnya?
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam Irsyad Hukum Siri Ke-876, Hukum Mengubah Suai Meter Elektrik, perbuatan sebegini dilihat sebagai salah satu helah untuk menipu dan hukumnya adalah haram.
Dalam penjelasannya, mengubah suai meter elektrik adalah perbuatan yang bertentangan dengan syariat Islam. Hal ini kerana ia bertujuan memperoleh sesebuah harta dengan cara yang salah iaitu tanpa keizinan daripada pemilik harta berkenaan malah mencabuli undang-undang setempat.
Secara umumnya, terdapat larangan dalam al-Quran ke atas orang beriman daripada memakan atau mengambil harta orang lain secara batil. Allah SWT berfirman:
وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah :188)
Di samping itu, terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Mas’ud bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَن غشَّنا فليس منَّا والمكرُ والخداعُ في النَّارِ
Maksudnya: ‘Sesiapa yang melakukan penipuan maka dia bukanlah termasuk dalam kalangan kami. Balasan yang menimpa ke atas golongan yang melakukan tipu daya dan muslihat adalah ditempatkan dalam neraka.” (Riwayat Ibn Hibban)
Secara kesimpulannya sama ada memasang magnet atau mengubah suai meter elektrik bagi menjimatkan bil elektrik hukumnya adalah haram.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Artikel berkait: Harga Barang Naik & Rakyat Susah, Ini Yang Dilakukan Pemimpin Islam Terdahulu