Wanita sememangnya cukup sinonim dengan kecantikan. Maka sebab itulah solekan tidak dapat dipisahkan dengan wanita. Salah satu produk solekan yang setiap wanita mesti ada ialah lipstik. Namun timbul persoalan apakah hukumnya wanita memakai lipstik.
SOALAN:
Saya dari Terengganu ingin menanyakan satu persoalan yang iaitu berkaitan pemakaian lipstik oleh wanita. Saya difahamkan setakat saya belajar dan ustaz-ustaz yang saya jumpa, setakat ini saya masih berpendapat lipstik itu haram.
Sebabnya ia telah mengubah warna asal bibir seperti mengubah hakikat kejadian asal manusia. Ia juga dikira bertabarruj. Akan tetapi apabila saya melihat para ustazah memakainya, hati saya tertanya-tanya, apakah hukum pemakaian lipstik itu? Saya berharap tuan dapat memberi penjelasan yang penuh berkaitan masalah ini.
JAWAPAN:
1. Memakai lipstik hukumnya harus, jika tidak najis dan tidak dengan niat mempertontonkan kecantikan diri kepada orang lain selain suami.
2. Perbuatan tersebut bukan sampai ke tahap mengubah hakikat kejadian asal manusia. Ia cuma warna dan boleh dihilangkan bila-bila masa, ia juga tidak kekal.
Sumber: Jabatan Mufti Negeri Selangor
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Bapa Mentua Tiri Dengan Menantu Perempuan Tiri, Adakah Mahram?
Bapa mentua sama taraf dengan bapa sendiri. Yang menjadi persoalannya ialah bagaimana pula hubungan bapa mentua tiri dengan menantu perempuan tiri. Pastinya hubungan tidak sama antara seorang bapa mentua dengan menantu perempuannya. Berikut penjelasannya.
SOALAN: Apakah hukum aurat antara bapa mentua tiri (ayah tiri suami) dengan menantu perempuan tiri?
JAWAPAN: Kedudukan bapa mentua tiri adalah tidak sama dengan bapa mentua. Hubungan bapa mentua dengan menantu perempuannya adalah hubungan mahram manakala hubungan di antara bapa mentua tiri dengan menantu tiri adalah sebaliknya. Pengharaman kepada bapa mertua berkahwin dengan menantunya adalah bersifat selama-lamanya (muabbad), manakala bapa mertua tiri dengan menantu tirinya adalah bersifat sementara (muaqqat). As-Syarbini di dalam kitab no41 menyatakan sekiranya suami kepada perempuan tersebut meninggal dunia, tidak menjadi kesalahan kepada bapa tiri bagi suaminya untuk berkahwin dengannya kerana kedudukan isteri bagi anak tiri (menantu tiri) tidak sama dengan isteri bagi anak kandung (menantu). Wajib bagi perempuan tersebut menjaga batasan auratnya seperti ditetapkan oleh syara’ sebagaimana ketika dia berhadapan dengan lelaki ajnabi yang lain. Dalam situasi sebegini juga tidak dibenarkan mereka berdua-duaan.
Sedikit penjelasan tentang hubungan antara bapa mentua dengan menantu perempuan:
Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa’ ayat ke-23, yang bermaksud,
“Diharamkan atas kamu (mengahwini) ibu-ibumu; anak-anakmu yang perempuan; saudara-saudaramu yang perempuan, saudara-saudara bapamu yang perempuan; saudara-saudara ibumu yang perempuan; anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang lelaki; anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang perempuan; ibu-ibumu yang menyusui kamu; saudara perempuan sepersusuan; ibu-ibu isterimu (mentua); anak-anak isterimu yang dalam pemeliharaanmu dari isteri yang telah kamu campuri tetapi jika kamu belum campur dengan isterimu itu (dan sudah kamu ceraikan), maka tidak berdosa kamu mengawininya; (dan diharamkan bagimu (isteri-isteri anak kandungmu (menantu); dan menghimpunkan (dalam perkahwinan) dua perempuan yang bersaudara, kecuali yang telah terjadi pada masa lampau, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah an-Nisaa’ 04: 23)
Berdasarkan ayat ini :
1. Anak menantu bersalaman dengan ibu bapa mertua tidak membatalkan air sembahyang. Ini kerana ibu bapa mertua telah menjadi mahram muabbad (mahram selama-lamanya iaitu tidak batal wuduk dan haram berkahwin antara anak dan ibu tiri tersebut selama-lamanya) atas sebab perkahwinan anaknya. Oleh itu, sekiranya berlaku perceraian sekalipun, bekas menantu perempuan tersebut TIDAK BOLEH bernikah dengan bapa mentuanya, bahkan ia boleh bersalaman dengan bekas bapa mertua tersebut. Anak menantu diharamkan berkahwin dengan bekas ibu mentua atau bapa mentua kerana status mereka adalah seperti ibu dan bapa sendiri.
2. Bapa mentua sama taraf dengan bapa sendiri.
Oleh itu, aurat menantu perempuan dengan bapa mentua adalah sama seperti auratnya dengan mahramnya iaitu bapanya sendiri atau adik-beradik lelaki yang lain, terbatas daripada pusat hingga ke lutut. Ini bererti menantu perempuan boleh (harus) membuka rambutnya di hadapan bapa mentuanya.
3. Bagaimanapun, saudara lelaki suami atau adik ipar merupakan bukan mahram bagi si isteri. Oleh itu, auratnya di hadapan mereka adalah sama dengan auratnya terhadap lelaki ajnabi lain iaitu seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan.
Sumber: Mufti Selangor/JAKIM
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Lafaz Akad Nikah, Mestikah Satu Nafas, Juru Nikah Mudahkan Pengantin
Ramai yang tertanya-tanya, mestikah lafaz akad nikah itu dijawab dengan satu nafas. Ikuti pencerahannya daripada mufti Wilayah Persekutuan.
SOALAN:
Ada setengah jurunikah mahukan pengantin lelaki jawab dengan satu nafas. Pengantin tak boleh jawab dengan satu nafas, lalu disuruh ulang-ulang hingga banyak kali. Apa pandangan ustaz tentang hal ini?
JAWAPAN:
Tidak disyaratkan satu nafas dalam menjawab lafaz nikah. Syaratnya ialah mesti berturutan. Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut:
Antara syarat lafaz nikah adalah dengan ijab oleh wali dan qabul oleh pengantin lelaki secara berturutan.
Jika wali berkata: “Aku kahwinkan kamu dengan anak perempuanku,” dan selepas tempoh yang lama, pengantin lelaki menjawab: “Aku terima nikahnya,” maka aqad nikah itu tidak sah. Hal ini adalah kerana pemisahan yang lama antara ijab dan qabul tersebut. Dalam tempoh yang lama ini, ada kemungkinan wali menarik lafaz ijabnya semula.
Diam yang sekejap antara ijab dan qabul, seperti bernafas atau bersin, tidaklah merosakkan aqad nikah tersebut. Lihat al-Fiqh al-Manhaji (1/551-552)
Jadi kami mengesyorkan kepada para imam atau jurunikah agar memudahkan proses lafaz nikah ini dan tidak memberatkannya apabila telah cukup syarat. Ini mengambil kira keadaan pangantin pada ketika itu mungkin dalam keadaan gugup, berdarah gemuruh dan sebagainya.
Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita dalam mengamalkan syariat-Nya serta memudahkan kita dalam setiap urusan. Amin.
Mengikut Mazhab Hanafi dan Hanbali: Tidak mengapa berlaku pemisahan yang lama antara ijab dan qabul jika sekiranya masih dalam majlis dan tidak disibukkan dengan perkara yang lain.
Sumber kredit: muftiwp.gov.my
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Hukum Mengambil Wuduk Dalam Keadaan Tak Berpakaian, Sah Atau Tidak?
SOALAN:
Apakah hukum kita mengambil wuduk dalam keadaan tidak berpakaian?
JAWAPAN:
Suruhan untuk menutup aurat ketika mengambil wuduk tidak ada dinyatakan sebagai satu perkara wajib atau sunat untuk dilakukan.
Akan tetapi, di dalam bab mandi ada dinyatakan bahawa menutup aurat adalah satu daripada perkara sunat.
Namun begitu, ia berlainan pada keadaan mengambil wuduk atau mandi tanpa berpakaian di tempat awam, maka hukumnya jelas wajib untuk menutup aurat. Ini berdasarkan kepada Hadis Nabi SAW:
لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ وَلَا تَنْظُرُ الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ
Maksudnya: Lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki dan begitu juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita.
Hadis riwayat Muslim (no. 388)
قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ عَوْرَاتُنَا مَا نَأْتِي مِنْهَا وَمَا نَذَرُ قَالَ احْفَظْ عَوْرَتَكَ إِلَّا مِنْ زَوْجَتِكَ أَوْ مَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ فَقَالَ الرَّجُلُ يَكُونُ مَعَ الرَّجُلِ قَالَ إِنْ اسْتَطَعْتَ أَنْ لَا يَرَاهَا أَحَدٌ فَافْعَلْ قُلْتُ وَالرَّجُلُ يَكُونُ خَالِيًا قَالَ فَاللَّهُ أَحَقُّ أَنْ يُسْتَحْيَا مِنْهُ
Maksudnya: Saya bertanya: “Wahai Nabi Allah, aurat kita manakah yang harus kita tutup dan manakah yang boleh kita nampakkan?” Nabi menjawab: “Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau hamba wanitamu.” Saya bertanya: “Jika lelaki bersama lelaki?” Nabi menjawab: “Jika engkau mampu agar auratmu tidak dilihat oleh sesiapa maka (usahakan) jangan sampai ada orang yang boleh melihatnya.” Saya bertanya: “Wahai Nabi Allah, jika berada dalam keadaan sendirian?” Nabi menjawab: “Allah lebih berhak baginya untuk malu terhadapNya daripada (malu) terhadap manusia”.
Hadis riwayat al-Tirmidzi (no. 2769)
Menurut mazhab Syafie, wajib kepada seseorang muslim yang berada di dalam keadaan bersendirian dan ditempat yang tertutup untuk menutup aurat. Pandangan ini juga disokong oleh ulamak dari kalangan Hanafi dan Hanbali.
Adapun begitu, dari kalangan Ulamak mazhab Maliki mereka menyatakan sunat untuk menutup aurat ketika berada dalam keadaan bersendirian dan ditempat yang tertutup (rujuk kitab Mausuah Fiqhiyah Quwaitiyah, 24/176)
Namun begitu, dibenarkan seseorang itu untuk tidak menutup aurat ketika bersendirian dengan syarat ia perlu disertakan dengan hajat seperti mandi atau untuk menyejukkan badan (rujuk kitab Mughni Muhtaj, m/s 185).
Justeru dalam keadaan tidak memakai pakaian ketika wuduk adalah sah tetapi tidaklah dilakukan di tempat terbuka atau dilihat oleh orang lain.
Begitu juga sepatutnya seseorang Muslim hendaklah menjaga maruahnya dan tidak mendedahkan aib diri sendiri di hadapan orang lain. Walaupun sah wuduknya tetapi dia berdosa kerana mendedahkan aurat kepada orang yang haram melihatnya.
Bahkan Rasulullah SAW bersabda:
الحَيَاءُ مِن الإِيمَان
Maksudnya: “Malu itu sebahagian daripada Iman.”
Hadis Riwayat Bukhari (no. 24)
فَاللَّهُ أَحَقُّ أَنْ يُسْتَحْيَا مِنْهُ
Maksudnya: “Allah lebih berhak baginya untuk malu terhadapNya daripada (malu) terhadap manusia”
Hadis riwayat al-Tirmidzi (no. 2769)
Walaupun tidak dinyatakan sebagai perkara sunat atau wajib menutup aurat ketika mengambil wuduk tetapi adalah lebih baik dan utama untuk menutup aurat sepertimana yang disunatkan ketika mandi.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI