Apabila seseorang itu meninggal dalam solat, ketika membaca al-Quran ia sering kali dikaitkan dengan husnul khatimah. Tapi bagaimana jika seseorang itu meninggal dalam keadaan berbeza, meninggal di atas katil hospital, kemalangan dan sebagainya? Adakah mereka ini tiada husnul khatimah?
Jadi apa maksud sebenar husnul khatimah? Pencerahan tentang husnul khatimah diberikan oleh Ustaz Dr. Kamilin Jamilin yang juga merupakan Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan dan Perlis.
Menurut beliau, maksud kematian husnul khatimah ia bukanlah semata kematian ketika memegang al-quran atau di atas sejadah. Oleh itu janganlah menghukum orang yang meninggal di atas tempat tidurnya atau kematian tertentu sebagai kematian biasa yang tiada husnul khatimah.
“Nabi Muhammad sendiri meninggal di atas pembaringannya. Abu Bakar RA, sebaik-baik sahabat, sebaik baik manusia selepas Nabi SAW juga meninggal di atas pembaringannya.
“Begitu juga Khalid Al Walid, yang dikenali sebagai ‘Saifullah’ yakni Pedang Allah yang memenangi 100 peperangan juga meninggal di pembaringan,”ujar beliau dalam satu perkongsian video di akaun Facebook miliknya sambil memberikan tafsiran lanjut tentang husnul khatimah.
“Husnul khotimah adalah kematian ketika seseorang tidak mensyirikkan Allah. Kita mati dalam keadaan bebas dari nifaq (kebohongan dan kedustaan).
Dalam keadaan kita beriman dan beramal dengan al Quran dan al sunnah, dalam keadaan menunaikan hak Allah dan makhluk-Nya, memelihara solat Jemaah lima Waktu, dalam keadaan terpelihara lisan dan tingkah kita yakni kita tidak menzalimi orang lain.
“Mati dalam keadaan akhlak yang murni dan hati yang bersih, bebas dari dengki atau penyakit-penyakit hati terhadap saudara-saudara seagama. Itulah husnul khatimah yang akan dinilai di sisi Allah di akhirat nanti,”terang beliau.
Dalam pada itu melalui laman web Mufti Wilayah Persekutuan ada menyenaraikan beberapa tanda husnul khatimah berdasarkan hadis sahih.
1. Mati pada hari atau malam Jumaat.
Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah Ibn ‘Amru, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِن مُسْلِمٍ يَمُوتُ يَوْمَ الجُمْعَةِ أَوْ لَيْلَةَ الجُمْعَةِ إِلَّا وَقَّاه اللهُ فِتْنَةَ القَبْرِ
Maksudnya: Tidak ada orang Islam yang meninggal dunia pada hari atau malam Jumaat kecuali Allah SWT akan melindunginya daripada fitnah kubur. Hadith riwayat al-Tirmidzi: (1074)
2. Mengucap dua kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafas yang terakhir.
Ini berdasarkan hadith yang telah disebutkan di atas bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَن كَانَ آخِرُ كَلَامِهِ لَا إِلَهَ إِلَّا الله دَخَلَ الجَنَّةَ
Maksudnya: Barangsiapa yang akhir perkataannya ‘Tiada tuhan melainkan Allah’, nescaya dia akan memasuki syurga. Hadith riwayat Abu Daud: (3116)
3. Meninggal dunia dalam keadaan berpeluh di dahinya.
Di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَوْتُ المُؤْمِنِ بِعَرْقِ الجَبِينِ
Maksudnya: Tanda kematian bagi seorang mukmin ialah dengan berpeluh dahinya.
Hadith riwayat al-Tirmidzi: (982)
4. Diberikan taufiq dan hidayah oleh Allah SWT beramal soleh sebelum dia meninggal dunia.
Di dalam satu hadith bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدٍ خَيْرًا اسْتَعْمَلَهُ قَالُوا وَكَيْفَ يَسْتَعْمِلُهُ قَالَ يُوَفِّقُهُ لِعَمَلٍ صَالِحٍ قَبْلَ مَوْتِهِ
Maksudnya: Jika sekiranya Allah SWT menginginkan kebaikan terhadap hambaNya, maka Allah SWT menjadikannya sentiasa melakukan amal. Para sahabat RAnhum bertanya, “Bagaimana dia menjadikannya sentiasa melakukan amal?”. Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT akan memberikan taufiq padanya untuk melaksanakan amal soleh sebelum daripada kematiannya. Hadith riwayat al-Tirmidzi: (2142)
5. Dia berasa gembira dan senang hati untuk bertemu dengan Allah SWT.
Di dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Anas Bin Malik, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَحَبَّ لِقَاءَ اللَّهِ أَحَبَّ اللَّهُ لِقَاءَهُ وَمَنْ كَرِهَ لِقَاءَ اللَّهِ كَرِهَ اللَّهُ لِقَاءَهُ
Maksudnya: Barangsiapa gembira bertemu dengan Allah, maka Allah gembira bertemu dengannya. Dan barangsiapa merasa berat bertemu dengan Allah, maka Allah juga merasa berat untuk bertemu dengannya. Hadith riwayat Muslim: (2685)
6. Meninggal dunia disebabkan oleh penyakit yang berkaitan dengan perut.
وَمَنْ مَاتَ فِي الْبَطْنِ فَهُوَ شَهِيْدٌ
Maksudnya: Barangsiapa yang mati akibat daripada penyakit berkaitan perut, maka dia mati dalam keadaan syahid. Hadith riwayat Muslim: (1915)
7. Meninggal dunia dalam keadaan mati lemas, jatuh bangunan dan syahid di jalan Allah SWT.
الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ الْمَطْعُونُ وَالْمَبْطُونُ وَالْغَرِقُ وَصَاحِبُ الْهَدْمِ وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
Maksudnya: Orang yang mati syahid itu ada lima iaitu orang yang meninggal karena penyakit tha’un, sakit perut, tenggelam, orang yang jatuh daripada bangunan atau tebing dan syahid di jalan Allah. Hadith riwayat al-Bukhari: (652)
8. Meninggal dunia dalam keadaan melahirkan anak.
قَتْلُ الْمُسْلِمِ شَهَادَةٌ وَالطَّاعُونُ شَهَادَةٌ وَالْبَطْنُ وَالْغَرَقُ وَالْمَرْأَةُ يَقْتُلُهَا وَلَدُهَا جَمْعَاءَ
Maksudnya: Seorang muslim yang terbunuh dikira sebagai seorang syahid, kematian akibat wabak taun juga dikira sebagai syahid, kematian karena sakit perut, mati lemas dan seorang wanita yang meninggal dunia kerana melahirkan anaknya dikira sebagai syahid. Hadith riwayat Ibn Kathir: (5869)
9. Meninggal dunia kerana mempertahanakan harta dan maruah dirinya.
جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ” أَرَأَيْتَ إِنْ جَاءَ رَجُلٌ يُرِيدُ أَخْذَ مَالِي قَالَ : فَلَا تُعْطِهِ مَالَكَ قَالَ : أَرَأَيْتَ إِنْ قَاتَلَنِي قَالَ : قَاتِلْهُ قَالَ : أَرَأَيْتَ إِنْ قَتَلَنِي قَالَ : فَأَنْتَ شَهِيدٌ قَالَ : أَرَأَيْتَ إِنْ قَتَلْتُهُ قَالَ : هُوَ فِي النَّارِ
Maksudnya: Datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, bagaimana kalau ada seseorang yang hendak mengambil hartaku?” Baginda SAW bersabda, “Jangan engkau berikan hartamu!”. “Bagaimana kalau dia melawanku?”. Baginda SAW bersabda; “Lawanlah dia!”. “Bagaimana kalau dia membunuhku?” Baginda SAW bersabda; “Engkau syahid”. “Bagaimana kalau aku yang membunuhnya?” Baginda SAW bersabda: “Dia di neraka!” Hadith riwayat Muslim: (140)
10. Meninggal dunia dalam keadaan melaksanakan amalan soleh.
مَنْ قَالَ : لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ ابتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ ، خُتِمَ لَهُ بهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ ، وَمَنْ صَامَ يَوْمًا ابتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ خُتِمَ لَهُ بهَا ، دَخَلَ الْجَنَّةَ ، وَمَنْ تَصَدَّقَ بصَدَقَةٍ ابتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ خُتِمَ لَهُ بهَا ، دَخَلَ الْجَنَّةَ “
Maksudnya: Barangsiapa yang mengucap ‘Laa ilaaha illallah’ ikhlas kerana mencari keredhaan dia Allah SWT, dan diakhiri hayatnya dengan perkara tersebut nescaya dia akan masuk Syurga. Barangsiapa yang berpuasa pada suatu hari kerana ingin mencari keredhaan Allah SWT, dan diakhiri hayatnya dengan perkara tersebut nescaya dia akan masuk Syurga. Barangsiapa yang bersedekah ikhlas kerana Allah SWT kemudian dia meninggal dunia, maka dia akan masuk Syurga.” Hadith riwayat Ahmad: (23372)
Sumber: Dr Kamilin Jamilin & Mufti Wilayah Persekutuan