Firdaus Wong atau lebih dikenali dengan panggilan Bro Firdaus cukup sinonim dengan dakwah jalanan. Dia yang dahulunya penganut agama Buddha namun selepas memeluk agama Islam, Bro Firdaus aktif menyampaikan dakwah.
Perbezaan agama antara dirinya dan keluarga tidak menjadikan hubungan kekeluargaan menjadi hambar. Buktinya hubungan Bro Firdaus dengan keluarga terutama kedua ibu bapanya tetap akrab.
Baru-baru ini Bro Firdaus berkongsi bagaimana dia menyambut harijadinya. Bukan setakat meraikan dirinya sendiri, tetapi kali ini dia meraikan ibu bapanya yang masih belum memeluk agama Islam.
Ini catatan Bro Firdaus di laman Facebooknya tentang bagaimana dia menyambut hari jadi dan menyantuni kedua ibu bapanya meskipun mereka berlainan agama.
Bagaimana saya sambut harijadi saya hari ini?
Breakfast dengan ibu bapa saya yang belum Muslim kemudian bawa mereka membeli persiapan Tahun Baru Cina dan juga membeli hadiah hari jadi. Bukan beli hadiah hari jadi untuk diri saya tetapi membelikan hadiah untuk mereka.
Birthday saya kenapa belikan hadiah untuk mereka pula? Merekalah asbab saya dilahirkan di dunia ini dan kemudian dikurniakan hidayah memeluk Islam pada 2005. Mereka jugalah yang mendidik dan menjaga saya. Merekalah yang lebih layak menerima hadiah pada hari lahir saya dan bukannya diri saya.
SEBELUM INI SAMBUT DENGAN KAWAN-KAWAN
Sebelum memeluk Islam, saya hanya meraikan harijadi dengan kawan-kawan sahaja tetapi setelah memeluk Islam, saya mempunyai perspektif yang lain. Yang layak meraikan adalah IbuBapa saya dan yang layak menerima hadiah adalah IbuBapa saya bukannya saya & saya sepatutnya mendahulukan IbuBapa saya pada harijadi saya.
Mereka banyak menyokong gerak kerja dakwah & kebajikan saya walaupun belum Muslim. Saya telah mengajak mereka memeluk Islam berkali-kali dan saya hanya mampu berdoa agar Allah bukakan hati mereka, adik beradik saya serta ahli keluarga mertua saya yang belum Muslim untuk memeluk Islam. Allahuma Ameen.
Allahuakbar. Tersentuh hati membaca catatan Bro Firdaus. Layanan kepada kedua ibu bapanya tidak pernah berubah walaupun mereka berlainan agama. Malah Bro Firdaus tidak pernah henti-henti berdoa agar kedua ibu bapanya diberikan hidayah untuk memeluk agama Islam suatu hari nanti.
Sumber kredit: FB: Firdaus Wong Wai Hung (Official)