Ibu berkorban derma hati untuk anak. ‘Begitulah kasih emak, hanya Allah mampu membalasnya.’ Jika kesakitan anak mampu dipindahkan, sudah tentu sang ibu rela menanggungnya.
Seorang ibu sanggup lakukan apa saja untuk anaknya, malah sanggup menggadaikan nyawa agar anaknya kembali sihat dan dapat meneruskan hidup seperti orang lain.
Artikel Berkaitan:
Cinta Sampai Syurga, Suami Derma Sebelah Buah Pinggang Untuk Isteri
Ibu ini bersedia untuk mendermakan sebahagian hati kepada anaknya, Bazly Yusuf Mohd Barkhia yang mengalami masalah hati sejak lahir.
Malahan wanita yang dikenali dengan nama, Nur Marhaini Ismail, 31, sanggup berkorban demi memastikan Bazly, 3, dapat meneruskan hidup secara normal seperti kanak-kanak lain.
“Organ (hati) saya sesuai dengan Bazly dan pembedahan akan dilakukan bagi memindahkan sebahagian hati saya kepada Bazly.
“Pembedahan itu akan dilakukan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kami akan ditahan selama sebulan untuk proses rawatan dan pemantauan terlebih dahulu,” katanya.
Sebenarnya jelas Nur Marhaini, anak kedua daripada tiga beradik itu dilahirkan tanpa saluran hempedu selain mempunyai masalah hati dan memerlukan pembedahan segera berikutan fungsi organnya itu kini semakin merosot.
Tambahnya, sebelum ini, Bazly pernah menjalani pembedahan ketika masih bayi bagi memasukkan saluran hempedu sebelum ini.
“Kami sepatutnya dijadualkan ke HKL pada Isnin lalu untuk pembedahan kedua iaitu pemindahan hati.
“Tapi belum sempat kami berangkat ke sana, keadaan kesihatan dia (Bazly) tidak mengizinkan apabila dia mengalami sesak nafas dan kini menerima dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Nur Marhaini turut memberitahu, keadaan Bazly setakat ini semakin stabil dan tidak lagi bergantung pada alat bantuan pernafasan.
Tambahnya, mereka mungkin akan berangkat ke HKL dalam masa terdekat bergantung pada keputusan pihak HTAA.
“Kami harapkan pembedahan kedua (pemindahan sebahagian hati) dapat dilakukan. Saya bimbang apabila doktor memberitahu keadaan hati dan nadi Bazli semakin merosot.
“Jadi pembedahan itu perlu dilakukan segera bagi mengelak keadaan lebih buruk terjadi,” katanya.
Di samping itu, Nur Marhaini juga meluahkan bahawa dia kini buntu memikirkan mengenai kos perbelanjaan sepanjang berada di HKL terutama untuk suami, Mohd Barkhia Yahya, 38, yang terpaksa menemani mereka berdua selama sebulan.
Ujarnya, suaminya bekerja sebagai mekanik dan memperolehi gaji secara harian, sekali gus terjejas punca pendapatannya.
Ditanya mengenai kos pembedahan, Nur Marhaini berkata, pihak hospital masih belum memaklumkan jumlah kos pembedahan atau rawatan.
Walau bagaimanapun, mereka sekeluarga perlu bersedia dengan kos keperluan lain untuk kami bertiga sepanjang berada di sana.
Dia memaklumkan tidak pernah memohon atau menerima sebarang bantuan dari mana-mana agensi kerajaan.
“Setakat ini, kami hanya menerima sumbangan wang tunai daripada badan bukan kerajaan (NGO) Amal Team, baru-baru ini.
“Saya tidak tahu kelayakan atau prosedur untuk memohon bantuan berkenaan namun dalam keadaan sekarang kami memang memerlukannya,” jelasnya.
Baca Di Sini:
Kashoorga: Hanya Allah saja yang mampu membalas jasa dan pengorbanan seorang ibu kepada anak. Jika ingin dihitung sekalipun tak mampu.
Sumber: Sinar Harian
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.