Kisah rakyat Malaysia ini pernah viral di media sosial apabila keluarganya membuat rayuan untuk membawanya pulang ke Malaysia selepas tidak sedarkan diri akibat ditidurkan selepas dimasukkan ke di wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Myongji pada 2 Oktober lalu akibat serangan asma.
Dalam kisah yang mendapat perhatian ramai ini termasuk kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk membantunya sekeluarga membawa pulang Rozzana Mat Nanyan untuk adiknya menerima rawatan di Malaysia.
Namun selepas bertarung nyawa lebih dari sebulan, hari ini Rozzana pergi jua dalam keadaan koma di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Myongji, Korea Selatan meninggal dunia pada 9.46 pagi tadi (waktu Malaysia).
Rozzana yang bekerja di kilang pembuatan buku dan kalendar di Incheon tidak sedarkan diri sejak 2 Oktober iaitu hari pertama dimasukkan ke hospital kerana ditidurkan bagi mengelak diserang sawan.
Kakak tirinya, Nur Diana Abdul Rahim Lee, 46 yang telah berangkat ke negara berkenaan sejak sebulan lalu memaklumkan hal ini di facebooknya pagi tadi.
"Bismillah. Perjuangan Rozzana berakhir jam 10.46:35 (waktu Korea Selatan) 9.46:35 (waktu Malaysia) 24/11/2021," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Bahkan beberapa hari sebelum adiknya itu meninggal dunia, Nur Diana yang keseorangan di Korea turut memaklumkan situasi terkini keadaan adiknya kepada ibunya, Kalsom Suleiman.
“Akak dah terangkan kat mak keadaan Rozzana. Mintak mak buat solat hajat mohon keajaiban atau lepaskan. Doa ibu mustajab”.
Ternyata impian dan hajat keluarga ini untuk melihat anak mereka pulih seperti sedia kala tidak kesampaian namun redha dengan janji Allah ini. Bahkan janji untuk membawa adiknya itu pulang juga tidak tertunai kerana arwah akan dikebumikan di Korea.
Bahkan dalam hantaran terkininya di fbnya, Dian Diana, turut berkongsi “perjuangan agak perit” awal rayuan membawa pulang adiknya itu ke Malaysia namun kos agak tinggi mengakibatkan impian itu tidak tercapai. Namun urusannya mula dipermudahkan oleh Allah dengan pertolongan ramai pihak.
Di mana rayuan itu mendapat perhatian usahawan pakaian dan kasut Muhammad Nor Khuzaifah Zohari, 32, yang mengadakan jualan amal di FB pada 13 November lalu dan turut disertai 30 peniaga pakaian dan kasut terpakai yang menetap di Korea Selatan.
Hasil jualan amal dan sumbangan pengikut usahawan itu mengumpul hampir RM112,000. Namun takdir Allah mengatasi segalanya apabila adiknya dijemput Allah.
Berikut perkongsiannya.
Dik…tangga ni akak panjat hari pertama masa akak sampai Paju. Terpinga-pinga jam 6 pagi keluar dari Hotel Marina Bay selepas 13 hari di kuarantin.
Phaii sediakan teksi depan hotel utk amik akak bawak ke Paju. Tu lah pintu rumah awak dik. Pintu yang akak keluar masuk sepanjang 33 hari ni.
Tu baju sejuk yang tergantung. Baju tu lah akak pakai setiap kali ke mana-mana. Topi je akak tak pakai dik. Tu beg tu. Beg tu lah akak bawak ke sana sini.
Lauk malam tadi akak masak, akak tak sentuh lagi bila jam 2.30 pagi Jai, Izhar & Dollah datang gegar pintu rumah kejut akak. Akak baru terlelap dalam 1 jam lepas meet dengan family lepas moderator Ustaz Tido contact akak.
Gembira akak dik satu nama yang agak popular hubungi akak. Dia kata boleh bantu sampai ke TMJ. Puas akak cari dana dengan orang-orang yang popular tapi rayuan akak dia orang tak perasan. Tak apalah. Kita jangan salah salahkan takdir sebab gerak hati tu atas izin Allah.
Kini awak dah kembali pada Pencipta awak dik. Dah hilang segala kesakitan yang awak tanggung. Kerana awak, akak belajar survive. Sedar, ramai orang baik-baik yang membantu tanpa mengenali siapa kita.
Mereka bantu sehabis baik sampai akak segan dik. Orang bayar makan. Bagi duit, sewakan hotel, hantarkan ke sana ke sini. Allahu.
Akak kuat dik, jangan risau. Akak akan uruskan perjalanan terakhir awak sebaik mungkin.
Akak akan perjuangkan penat lelah awak yang tak diadili dengan betul. Cuma akak sebak bila tengok barang-barang awak.
Harta duniakan dik, kita akan tinggalkan semua. Yang penting mak redha dengan awak.
Walau macam mana sekali pun penampilan awak, awak tetap adik perempuan akak yang kuat, yang degil, yang tak dengar cakap akak.
Akak rindu dik suara awak panggil "Kak Nor, Kak Nor". Tak tahu dah nak tulis apa.
Setakat ni dulu. Ingat nanti akak tulis lagi.
#misimembawajanahpulang