Berkahwin adalah sebahagian dari sunnah Nabi. Bahkan pernikahan ada disebut dalam surah An-Nisa ayat 1 & 3 yang menyebut:-
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبً
Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu. (An-Nisa ayat 1)
وَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُوا فِي الْيَتَامَىٰ فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَلَّا تَعُولُوا
Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.(An-Nisa ayat 3).
Bahkan dalam Surah Ar-Ruum ayat 21, antara rahsia dan matlamat perkahwinan yang Allah SWT firmankan:-
وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦٓ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٰجٗا لِّتَسۡكُنُوٓاْ إِلَيۡهَا وَجَعَلَ بَيۡنَكُم مَّوَدَّةٗ وَرَحۡمَةًۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Al-Ruum: 21)
Namun bukan semua rumah tangga berakhir dengan bahagia. Kebanyakannya kerana wujudnya orang ketiga.
Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali berkongsi di fbnya kisah seorang ibu tunggal yang sebelum ini bercerai kerana tak sanggup bermadu kerana ada wanita lain terpikat dengan sikap romantik bekas suaminya kini kembali jatuh cinta, hanya disebabkan romantiknya suami orang baru dikenalinya.
Antara aduan semalam – wanita awal 40-an jatuh cinta dengan suami orang. Dia sendiri adalah ibu tunggal dengan 4 anak, bercerai dengan suami 3 tahun lalu kerana tak sanggup bermadu, bila suami mengambil keputusan untuk berkahwin lagi.
Dia faham sakitnya berkongsi tapi katanya, dia tak mampu melawan kehendak hati, rasa cinta dan kasihkan si lelaki yg khabarnya terlalu prihatin dan penyayang.
Saya: "Suami dulu?"
Klien: "Dia memang penyayang, romantik dan ambik berat. Sebab tu ramai perempuan nak kat dia."
Saya: "Agaknya isteri kedua suami dulu pun rasai yang sama dengan apa yang awak rasa sekarangkan?!"
Klien: "Tu lah! Isteri kawan saya tu dah cakap, dia takkan setuju, tak sanggup nak kongsi. Tapi saya sayang sangat kat kawan saya tu puan. Saya dah tak kisah kena kutuk macam-macam walau kadang-kadang terasa macam semua apa yang saya pernah cakap kat bekas madu saya dulu tu, dah kena batang hidung sendiri…"
Betul kata orang tua kita, hidup ini macam roda. Ada masanya kita di atas, memijak yang bawah. Ada tikanya pula di kita di bawah, dipijak pula oleh yang di atas.
Lantaran, berhati-hati dengan setiap patah perkataan yang diluah. Ujian Allah sukar dijangka. DIA sebaik2 perencana dan segalanya bertujuan untuk memberikan keinsafan kepada kita.
Berhati-hatilah dengan sikap romantis suami kerana ia buat banyak rumahtangga musnah hanya kerana menurut hawa nafsu.