Assalamu’alaikum ustaz, adakah seorang ibu yang menyediakan juadah berbuka untuk keluarganya turut mendapat pahala memberi makan kepada orang berbuka puasa ?
Jawapan :
Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Dalam bulan Ramadhan, kita amat-amat dianjurkan untuk memperbanyakkan amalan soleh. Antara amalan soleh yang sangat digalakkan adalah memberi makan kepada golongan yang berbuka puasa. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya : Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.
Riwayat Al-Tirmizi (807)
Bahkan Imam Izzuddin Al Izz bin Abd al-Salam dalam menjelaskan fadhilat memberi makan kepada orang yang berpuasa beliau berkata : ‘’Sesiapa yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa dalam sepanjang tahun, maka dia akan mendapat pahala berpuasa selama setahun’’.
Rujuk Maqasid al-Saum, Izz Abd al-Salam (Hlm. 18).
Ads
Ini kerana, setiap kebaikan yang dilakukan oleh seseorang itu akan mendapat 10 ganjaran pahala seperti yang disebutkan dalam firman Allah S.W.T:
Maksudnya : Sesiapa yang melakukan suatu kebaikan maka baginya sepuluh ganjaran pahala.
Surah Al-An’aam (160)
Justeru, apabila seseorang itu memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa maka dia akan mendapat ganjaran puasa sebanyak 36 kali. Kemudian pahala tersebut digandakan kepada 10 kali bagi setiap satu maka keseluruhannya dia akan mendapat 360 ganjaran dan ia merupakan jumlah hari dalam setahun mengikut kalendar hijrah.
Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan di atas, perkataan memberi makan kepada orang yang berbuka puasa datang dalam bentuk yang umum. Dalam erti kata, ia meliputi perbuatan membelanja makan, memasakkan makanan lalu diberikan kepada orang yang berbuka puasa, juga turut meliputi perbuatan membantu penyediaan makanan serta mengagihkan makanan. Setiap individu yang terlibat dalam usaha memberi makan kepada orang yang berbuka puasa, akan diganjarkan pahala dengan mengikut kadar usaha sama ada banyak ataupun sedikit.
Kerana itu dalam isu perbezaan pendapat dalam kalangan fuqaha’ sama ada makanan yang diberikan adalah makanan yang mengenyangkan atau apa sahaja makanan termasuk makanan yang ringan seperti buah tamar, segelas air, kuih muih, dan seumpamanya, kami berpendapat bahawa makanan yang afdhal adalah makanan yang mengenyangkan. Manakala seseorang yang memberi makanan seperti kurma dan segelas air, turut mendapat pahala perbuatan memberi makan tersebut.
Ads
Ini adalah jelas seperti yang diriwayatkan oleh Salman al-Farisi R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya : ‘’Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka dia mendapat ganjaran dibebaskan dari api neraka dan keampunan ke atas dosa-dosanya’’. Lalu ditanyakan kepada Rasulullah S.A.W : ‘’Wahai Rasulullah, bukanlah kesemua kami ini mampu untuk memberikan sesuatu untuk orang berpuasa berbuka’’. Maka Rasulullah S.A.W menjawab : ‘’Allah memberikan pahala ini kepada sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa dengan susu yang dicampur dengan air, sebiji kurma, atau air minuman’’.
Riwayat Ibn Khuzaimah (1878)
Maka pengajaran dari hadis di atas, pahala dan ganjaran itu diberikan mengikut kadar usaha masing-masing dalam memberikan makanan kepada golongan yang berbuka puasa. Ini juga seperti yang ditunjukkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Khalid Al-Juhani R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
Maksudnya : Sesiapa yang mempersiapkan (peralatan) bagi mereka yang pergi berperang, dia juga (dianggap) telah pergi berperang. Dan sesiapa yang menjaga (kebajikan) keluarga seseorang yang pergi berperang, dia juga dianggap telah pergi berperang.
Riwayat Muslim (1895)
Imam Al-Nawawi dalam syarahan ke atas hadis ini beliau berkata :
Maksudnya : Pahala ini terhasil dengan setiap usaha sama ada sedikit mahupun banyak, serta (pahala ini turut diperolehi) setiap individu yang menjaga kebajikan keluarga mereka yang keluar berperang dari sudut menunaikan hajat mereka, bersedekah ke atas mereka, membantu mereka dalam urusan, dan ia (ganjaran pahala) berbeza mengikut kadar sama ada sedikit atau banyak. Pada hadis ini juga terdapat galakan untuk berbuat ihsan (kebajikan) kepada mereka yang berkerja untuk kemaslahatan umat Islam atau mengambil tempat mereka dalam menjaga tanggungjawab dan kepentingan mereka.
Rujuk Syarah Al Nawawi ‘ala Sahih Muslim (13/40)
Penutup
Sebagai kesimpulan, setelah menekuni beberapa nas dan hujahan di atas, kami menyatakan bahawa seseorang ibu yang menyediakan makanan dan hidangan berbuka kepada keluarganya yang berpuasa turut termasuk dalam perbuatan memberi makan kepada orang berbuka. Demikian juga semua ahli keluarga baik suami dan anak-anak yang turut membantu ke arah menyiapkan juadah berbuka turut memperoleh ganjaran seperti yang disebutkan di dalam hadis. Ganjaran ini pula mengikut kadar usaha yang dilakukan dalam erti kata, lebih besar usaha makanya lebih besarlah juga ganjaran pahala. Wallahu A’lam.
Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Kerajaan Arab Saudi mengumumkan bahawa wanita kini dibenarkan mengerjakan ibadah haji dan umrah tanpa penjaga lelaki atau mahram.
Lapor Arab News, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Tawfiq bin Fawzan Al-Rabiah mengumumkan keputusan itu dalam sidang media di Kedutaan Arab Saudi di Kaherah, Mesir, semalam.
Yang Bergelut Mencari Mahram
Penasihat Perkhidmatan Haji dan Umrah Arab Saudi, Ahmed Saleh Halabi berkata wanita yang menunaikan umrah atau haji tanpa mahram perlu ditemani bersama wanita atau pihak lain.
Halabi berkata keputusan ini sesuai dengan fatwa penyeliaan Alazhar AlSharif di Mesir, Abbas Shoman, Mac lalu.
Terdahulu, Kementerian Haji dan Umrah Saudi mengumumkan membenarkan kaum wanita menunaikan umrah tanpa mahram pada Mac lalu.
Arab Saudi Benarkan Wanita
Bekas penasihat Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Faten Ibrahim Hussein berkata keputusan itu memudahkan wanita yang bergelut mencari mahram di tengah-tengah pelbagai kekangan.
Di samping itu, Arab Saudi juga telah melakukan pelbagai usaha lain untuk memudahkan haji dan umrah secara keseluruhan termasuk dengan menggunakan teknologi moden.
Tunai Haji & Umrah Tanpa Penjaga
Dalam masa sama, Arab Saudi dilaporkan menyediakan platform Nusk yang boleh memudahkan orang ramai mendaftar haji sekaligus membolehkan jemaah memohon visa umrah melalui platform dalam masa yang singkat dan boleh diperolehi dalam tempoh 24 jam.
Sudah menjadi trend hari ini kita melihat anak-anak muda atau yang digelar Budak-Budak Baru Nak UP (BBNU) tidak malu mewarnakan rambut dan juga kuku.
Perbuatan ini kerana mahu tampil cantik dan berbeza dari orang lain. Ada yang mewarnakan rambut dengan warna putih, hijau, merah ataupun kuning keemasan.
Bukan sahaja rambut, malah bahagian kuku juga turut diwarnakan. Tidakkah mereka ini terfikir bagaimana jika tiba-tiba meninggal dunia sedangkan rambut dan kuku masih lagi diwarnakan.
Apakah hukumnya dan bagaimana menguruskan jenazah mereka yang tidak sempat menukar kembali angota badan kepada keadaan asal.
Dalam persoalan ini, apabila ditanya kepada Pendakwah Bebas, Ustaz Riza Kamaruddin menjelaskan hukum asas mewarnakan rambut atau kuku itu adalah haram bagi lelaki dan perempuan.
Dan jika mereka ini ditakdirkan meninggal dunia dalam kedaaan belum sempat menukar kepada keadaan asal, jenazahnya tetap diuruskan seperti jenazah Muslim lain.
“Warna yang lekat pada rambut ataupun kuku jenazah akan tetap dibiarkan begitu sahaja. Tidak boleh dipotong, dibuang atau digunting pada mana-mana anggota badan mayat.
“Jadi saya mahu ingatkan kepada generasi muda hari ini terutama kaum Muslimin yang sering mewarnakan rambut itu sentiasalah mengingati mati.
“Persembahan yang kalian akan bawa bertemu dengan Allah itu merupakan suatu bentuk larangan dan tegahan dari Allah SWT yang kamu akan bawa sampai mati depan Allah nanti.
“Alangkah azabnya bila kita mati dalam keadaan begitu rupa. Jadi kepada yang mewarnakan rambut atau kuku itu hendaklah segera bertaubat kepada Allah SWT,” ujar Ustaz Riza.
Ustaz Riza Kamaruddin
Menurutnya bersihkan semula kuku dan hilangkan warna pada rambut berkenaan. Namun begitu lain pula hukumnya bagi wanita yang sudah berkahwin.
“Untuk wanita bujang memang tidak ada alasan untuk mewarnakan rambut. Hukumnya tetap haram. Tapi bagi wanita yang sudah berkahwin berbuat begitu dengan niat berhias untuk menarik perhatian suami, hukumnya adalah diharuskan.
“Dan bagi kaum lelaki pula, jika mahu mewarnakan rambut hanya dibenarkan guna warna merah seperti inai dan hanya untuk mereka yang ada uban sahaja,” tambahnya lagi.
Wallahualam
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Siapa tidak kenal dengan Ustaz Ebit Lew, seorang pendakwah yang ‘datang’ dengan ‘pakej dakwah’ yang lembut dan berhemah ketika menyampaikan sesi dakwahnya.
Pendekatan dakwah Ustaz Ebit Lew menjadikan ramai orang terbuka hati untuk menerima dakwah yang cuba disampaikannya.
Menjadikan sosial media seperti Instagram miliknya sebagai medium untuk menyampaikan dakwah secara ‘halus,’ nyata usaha dan pendekatannya telah berjaya ‘mencuri’ hati ramai netizen.
Antara yang sering dikongsikan oleh Ebit Lew ialah tentang bagaimana dia menyantuni isterinya. Berikut perkongsian Ebit Lew. Moga dijadikan contoh buat para suami.
Terima kasih Allah atas kurniaanmu anakku Airis safiyyah lew ini dah 10 tahun. Sekejap jer masa berlalu..selamat hari lahir anak tercinta buah hati ayah 27/6. Dekat tarikh lahir bidadariku yang tercinta 17/6.
Masih teringat-ingat isteri sedang berjalan dan tiba-tiba rasa nak bersalin. Terus ke hospital. Malam tu tak berhenti.berzikir dan berdoa supaya Allah mudahkan..
Saat mula keluar senyap jer baby. Doktor risau dan kami pun risau…isteri mengalirkan air mata. Tak berhenti mengalir air mata. Ya Allah panjanglah usia dan jadikan ia asbab hidayah..
SELALU MEMAHAMI
Syukur lahir dari perut isteri yang sanggup susah bersama suaminya. Yang tiada gaji besar. Tiada rumah dan tiada kereta. Duit hantaran dikumpulkan bersama walaupun belum benar-benar mengenali isi hati satu sama lain. Keperluan rumah berjimat cermat. Doa dan sokongan ibu bapa dan ibu bapa mertua. Isteri yang tidak pernah merungut walaupun sekali dalam hidupnya. Sedangkan selalu hidupku diuji dengan kesusahan dan kesibukan dalam kerja agama..pernah kadang-kadang tiba-tiba saya ada tugas agama yang perlu dilaksanakan. Bila pulang ke rumah, isteri telah menyiapkan semua barang untuk berada di jalan Allah.
Benarlah isteri yang paling dicintai suami ialah isteri yang paling memahami suami dan bersama-sama menyokong dalam kerja agama..
Saat kesibukan melanda. Saya berikan duit padanya. Sedar-sedar dia belikan hadiah buat mak ayah saya dengan duit yang diberikan…
HARGAI ISTERIMU
Kadang-kadang benarlah hargailah wanita yang bersama ketika kita susah. Selamanya tiada sepertinya dengan kehendak Allah.
Kadang-kadang pulang lewat ke rumah. Gembiranya hati lihat isteri sedang hidupkan Ta’lim bersama anak-anak.
Wahai anakku contohi dan belajar dari umi yang berkorban untukmu dan ayahmu dan hanya kerana mencintai Allah. Jadilah seperti sahabiah. Ya Allah terima kasih memberiku ibubapa yang baik. Ya Allah terima kasih memberiku isteri yang baik. Ya Allah terima kasih atas kurniaanmu-ebit lew