Ikhlas Paling Penting, Tak Perlu Hadiah Mewah. Guru Terharu Dapat Sayur & Cili Padi Di Hari Perpisahan Bertukar Sekolah

Share

Imam al-Ghazali menyatakan dalam kitab Ihya’ ‘Ulum al-Din; “Setiap manusia akan binasa kecuali orang yang berilmu, dan orang yang berilmu akan binasa kecuali yang beramal dengan ilmunya, dan orang yang beramal juga binasa kecuali yang ikhlas dalam amalannya.”

Ikhlas itu letaknya di hati. Ia menjadi dasar penilaian Allah SWT terhadap amalan hamba-hamba-Nya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada rupa dan harta kamu, tetapi Allah SWT melihat kepada hati dan amalan kamu.”

Perkongsian seorang guru di akaun Tik Toknya, Hafiz Zainuddin tentang hadiah diterima seorang guru, Cikgu Abu benar-benar membuatkan ramai terharu.

Manakan tidak, ada guru mendapat hadiah yang agak bernilai dari anak murid sendiri dan boleh dipandang sampai bila-bila namun perkongsian dari cikgu Hafiz ini membuatkan ramai rasa sebak.

Ini kerana berdasarkan perkongsian mengenai guru-guru yang mengajar di kawasan pendalaman, SK Pos Tenau, Slim River,  Perak, Cikgu Hafiz menunjukkan berbagai jenis sayuran kampung yang diterima guru berkenaan pada hari-hari terakhir Cikgu Abu yang juga mantan Guru Besarnya bertugas di sekolah tersebut. Ia terdiri dari pucuk paku, cili padi, pucuk ubi termasuk ubi kayu yang diterima dari anak-anak muridnya.

Ramai menzahirkan rasa terharu di atas keprihatinan anak-anak muridnya yang ikhlas menghadiahkan guru besar mereka yang bertukar bertugas ke sekolah lain.

Berdasarkan ucapan diterima, ramai menzahirkan rasa sebak dan masa sama terharu kerana keikhlasan pelajar terhadap guru mereka.

Walau ianya tidak mewah tetapi sikap menghargai itu tersemat di hati dan Cikgu Hafiz mengiyakan perkara tersebut. “Tak semestinya kena baru baru terharu kerana keikhlasan bukan pada nilai kemewahan semata,” tulisnya.

Benarlah, ini antara pengalaman dalam hidup manusia dan ianya manis dikenang sampai bila-bila kerana ikhlas itu sukar diungkap dengan kata-kata sebaliknya melalui perkataan.

Published by
almaswa Haji Che Ros