Kita kerap membaca di medsos tentang rungutan anak-anak kecil berlari dan membuat bising bila datang ke masjid untuk tarawih. Kemudian ada AJK Masjid atau makcik pakcik yang akan menjerkah agar anak-anak ini untuk diam supaya orang ramai khusyuk solat. Ini fenomena biasa saban tahun.
Kalau dari kecil anak-anak ini tidak dibiasakan datang ke masjid dan berasa selesa di rumah Allah, mana mungkin kita boleh mengharapkan di masa depan mereka akan memakmurkan masjid.
Nampaknya kita kena belajar dari negara Turki. Masjid tidak hanya difungsikan sebagai tempat ibadah dan belajar agama semata-mata tapi ia juga dijadikan tempat bermain.
Dari satu perkongsian fb Azwir Nazar rakyat Indonesia yang tinggal di Turki berkongsi sekeping gambar yang memberikan kesan mendalam bagi yang melihatnya.
Jelasnya, selepas selesai solat tarawih, imam solat akan bermain dengan kanak-kanak ini. Dapat dilihat imam bermain keretapi dengan anak-anak kecil ini dan semuanya kelihatan seronok untuk terus berada di masjid sempena Ramadan ini.
Bahkan katanya lagi, banyak masjid-masjid baru di Turki seperti Masjid Hamdi Cami di Ankara menyediakan ruang bermain di sudut kanan di bawah tangga untuk kanak-kanak bermain.
Bukan itu saja, di luar pun sama seperti taman-taman untuk mereka bermain. Pendek kata masjid menjadi tempat orang berkumpul untuk mencari kebahagiaan.
Dalam pada itu, katanya, apa yang dilakukan di masjid-masjid di Turki ini berdasarkan titah penakluk Constantinopel iaitu Sultan Muhammad Al Fatih, pernah berkata,
Mereka nampaknya menyakini dan mengikut apa yang ditititahkan oleh pendahulu mereka, Sultan Muhammad Al-Fatih bahawa, “Rasa khuatirlah olehmu bila masjid masjid mu sudah tiada lagi terdengar suara anak kecil”.
“Jika suatu masa kamu tidak mendengar gelak tawa anak-anak, riang gembira di antara saf shalat di masjid-masjid, maka sesungguhnya takutlah kalian akan datangnya kejatuhan generasi muda di masa itu.”
Semoga cara mendidik anak-anak kecil ini cintakan masjid ditiru oleh masjid-masjid di Malaysia.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Hayati Peristiwa Nuzul Al-Quran, Baca Al-Quran Hari-Hari Bukan Setahun Sekali Setiap Kali Ramadan
Setiap kali 17 Ramadan umat Islam di seluruh dunia pasti akan mengenangkan satu peristiwa yang amat penting dalam sirah Islam iaitu bermulanya penurunan al-Quran ke atas Rasulullah melalui perantaraan malaikat Jibril.
Ayat yang mula-mula sekali diturunkan adalah lima ayat pertama daripada surah Al-Alaq. Ketika itu Rasulullah berada di Gua Hira’.
Sejak daripada peristiwa itu al-Quran diturunkan secara beransur-ansur selama 23 tahun iaitu 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah sebelum lengkap sepenuhnya pada 10 Hijrah.
Secara umumnya al-Quran mempunyai 114 surah dan 6,666 ayat. Namun begitu pendapat yang paling masyhur tentang jumlah ayat al-Quran adalah lebih daripada 6,200 ayat cuma bilangannya secara tepat berbeza antara satu ulama dengan ulama yang lain.
Dari segi susunan pula al-Quran dimulai dengan surah al-Fatihah dan berakhir dengan surah an-Nas. Surah yang terpanjang pula adalah surah al-Baqarah (287 ayat) dan terpendek surah al-Kauthar (tiga ayat).
PETUNJUK BUAT UMAT MANUSIA
Penurunan al-Quran berlaku dalam dua bentuk iaitu secara sekali gus dan beransur-ansur. Bagaimanapun terdapat perselisihan pendapat tentang berapa kali berlakunya penurunan al-Quran secara sekali gus.
Al-Suyuti dalam kitabnya ‘al-Itqan fi Ulum al-Quran’ berdasarkan tiga riwayat oleh Ibn Abbas, Hakim dan al-Nasaie hanya membahagikan kepada dua peringkat sahaja.
Pertama, al-Quran diturunkan sekali gus dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah. Dari Baitul Izzah, al-Quran diturunkan secara beransur-ansur kepada Rasulullah SAW melalui perantaraan Jibril selama 23 tahun dan kemudian disampaikan kepada semua sahabat dan umat baginda.
Sesungguhnya terlalu banyak keistimewaan dan kelebihan yang terdapat dalam al-Quran. Kitab suci itu adalah petunjuk bagi semua umat manusia daripada segala kesesatan. Al-Quran juga menjadi penyuluh daripada sebarang kegelapan.
Malah kitab suci itu juga adalah pelengkap kepada kitab-kitab terdahulu yang pernah diturunkan kepada para nabi dan rasul sebelum Rasulullah seperti Zabur, Taurat serta Injil.
Bagaimanapun agak malang apabila keaslian kitab-kitab tersebut seperti Injil dirosakkan serta dicemar oleh pindaan yang dilakukan oleh manusia berkepentingan hingga wujud beberapa versi.
Berbanding al-Quran, kitab suci itu tidak pernah diubah walaupun satu titik huruf kerana Allah telah memberi jaminan untuk memeliharanya. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.” (Al-Hijr: 9)
HEBATNYA AL-QURAN
Keaslian al-Quran tetap terpelihara dan kekal sehingga akhirat meskipun penurunannya telah berlaku sejak lebih 1,400 tahun yang lalu. Inilah hebatnya al-Quran. Al-Quran adalah kalam Allah yang tiada tandingannya.
Dalam membicarakan tentang al-Quran kurang lengkap jika kitab suci itu tidak dikaitkan dengan kedatangan Ramadan. Selain berpuasa, umat Islam juga dituntut untuk memperbanyakkan membaca al-Quran.
Bahkan ada di antara kita yang berusaha khatam 30 juz al-Quran dan itulah yang menjadi kebiasaan setiap kali kedatangan Ramadan sama ada secara bersendirian atau berkumpulan.
Tidak kurang juga masjid atau surau yang melantik imam-imam hafiz jemputan untuk memimpin solat tarawih sepanjang bulan ini. Tujuannya adalah agar mereka mengalunkan bacaan al-Quran lengkap 30 juzuk dalam solat tersebut.
Semuanya ini bertujuan membudayakan al-Quran pada sepanjang bulan Ramadan. Sejajar dengan firman Allah yang bermaksud;
“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.” (Al-Baqarah: 185)
Hakikatnya, inilah suasana yang berlaku sepanjang bulan Ramadan. Bagaimanapun keadaan yang serupa tidak berlaku sebaik sahaja Ramadan pergi meninggalkan kita. Sepatutnya dalam bulan-bulan yang lain juga al-Quran perlu sentiasa dibaca dan tidak boleh ditinggalkan.
Malangnya budaya itu tidak berterusan selepas Ramadan melabuhkan tirainya. Al-Quran hanya dibuka setahun sekali iaitu apabila tibanya Ramadan manakala dalam 11 bulan yang lain, kitab suci itu hanya disimpan rapi dalam almari.
Justeru, marilah budaya ini diubah dengan menjadikan al-Quran sebagai teman paling rapat. Perubahan itu boleh dilakukan bermula Ramadan ini.
AL-QURAN AKAN TOLONG KITA
Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa al-Quran mampu menolong kita sebaik sahaja meninggalkan alam yang fana ini. Pada masa itu tiada apa yang dapat membantu kita kecuali amal ibadat yang dilakukan sepanjang hidup kita di dunia ini termasuk membaca al-Quran.
Cuba kita lihat corak kehidupan Rasulullah dan para sahabat. Asas kehidupan baginda dan para sahabat adalah al-Quran. Kitab suci itu bukan setakat dibaca malah segala pengajaran dan perintah yang terdapat di dalamnya dilaksanakan dengan penuh taat.
Dalam khutbah terakhir Rasulullah dalam haji wida, baginda ada berpesan:
“Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah al-Quran dan Sunnahku.”
Semoga kita sama-sama dapat menghayati dan mengambil iktibar dari peristiwa Nuzul Quran ini dan memperoleh keberkatan dariNya.
VIDEO KASHOORGA:
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Cara Mandi Wajib Setelah Haid, Apa Perkara Wajib & Sunat
Isi Kandungan
ToggleSalah satu keistimewaan wanita adalah dikurniakan tempoh ‘pembersihan dalaman’ atau haid, datang kotor atau datang bulan. Kebiasaannya, wanita akan didatangi haid sebulan sekali dan tempoh standard adalah selama 5-7 hari, namun ada juga yang lebih daripada itu.
Setelah dirasakan tiada lagi darah haid pada penghujung tempoh tersebut, maka diWAJIBkan melakukan mandi wajib.
Mandi wajib ini bukan sahaja wajib kepada perempuan yang baru habis haid tetapi juga kepada semua yang dalam keadaan hadas besar.
Artikel berkaitan: Hukum Mandi Wajib Selepas Subuh Semasa Bulan Ramadan
Artikel berkaitan: Ini Antara Amalan Boleh Dilakukan Kalau Nak Kumpul Banyak Pahala, Walaupun Sedang Dalam Haid
Allah SWT memerintahkan hambaNya melaksanakan mandi wajib bagi sesiapa yang berhadas besar sebelum melakukan beberapa ibadah seperti mendirikan solat, tawaf, memegang mushaf al-Quran, beriktikaf di masjid dan seumpamanya.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا ۚ
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.
(Surah al-Nisa’: 43)
Kita wajib mandi wajib sekiranya melakukan persetubuhan, keluar air mani secara sengaja atau tidak, mati selain daripada mati syahid, datang haid bagi perempuan, nifas (darah yang mengiringi selepas bersalin) dan wiladah (bersalin)
Namun untuk perkongsian kali ini, berikut adalah tatacara mandi wajib untuk perempuan selepas haid. Haid adalah salah satu najis yg menghalangi kita (wanita) untuk melaksanakan ibadah solat dan puasa, maka setelah selesai haid kita harus bersuci dengan cara yang betul mengikut sunnah Rasulullah SAW.
1. Menghadap kiblat :
Hadapkan badan ke arah kiblat, basuh kedua-dua tangan sebanyak tiga (3) kali, berinstinjak dengan membasuh kemaluan, buang najis atau membersihkan apa sahaja yang akan menghalang air mandi terkena permukaan kulit.
2. Wuduk (dilakukan sebelum mandi):
Niat : Sahaja aku berwuduk bagi melakukan mandi wajib, sunat kerana Allah Ta’ala
3. Niat:
Segala amal itu tergantung pada niatnya, maka jangan lupa niat. Niat boleh diucapkan boleh juga di dalam hati.
Mulakan dengan bacaan Basmallah (Bismillahi Rahmani Rahim) kemudian diikuti dengan niat mandi wajib iaitu:
Bacaan niat :
“Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Ta’ala”
4. Meratakan air:
Siram air dan diratakan ke seluruh tubuh badan dari kepala hingga hujung kaki. Pastikan air sampai sampai ke semua anggota badan. Mulakan dengan sebelah kanan kepala, kiri dan tengah.
5. Siram ke seluruh badan:
Siram dari epala keseluruhan lalu jangan lupa seluruh tubuhnya wajib terkena air semuanya. Jangan ada bahagian yang tidak terkena air.
Perkara Wajib & Sunat Semasa Mandi Wajib
Perkara Wajib:
- Niat
- Membasuh seluruh badan yang zahir dengan air termasuk kulit atau rambut. Air hendaklah disampaikan ke bahagian dalam rambut dan pangkalnya.
Perkara Sunat:
- Membasuh kedua-dua tangan di luar daripada bekas air
- Membasuh kemaluan dengan tangan kiri dan juga segala kekotoran yang ada pada badan.
- Berwuduk
- Menyelati rambut kepala dengan air kemudian membasuh kepala tiga kali
- Membasuh bahagian kanan dulu kemudian kiri.
- Menggosok tubuh dan berturut-turut dalam membasuh anggota.
- Mengambil air dan membasuh ke semua tubuh yang berlipat seperti kedua-dua telinga lipatan perut, di dalam pusat dan ketiak.
- Membasuh sebanyak tiga kali sebagai kias kepada wuduk
Walaupun nampak ringkas, tetapi ia sangat penting kerana tanpa mandi wajib, segala ibadat kita tidak diterima Allah.
Kashoorga: Ibu-ibu boleh kongsikan kepada anak-anak perempuan sebagai persediaan dan boleh juga kongsikan artikel ini kepada yang lain kerana ia amat mustahak untuk diketahui, fahami dan amalkan.
Sumber artikel: Ritha
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Hukum Mulut Berbau Makan Durian Hingga ‘Ganggu’ Jemaah Lain Waktu Solat
Hebatnya penangan raja buah pada musim ini sehingga ia telah tular dan menjadi kegilaan ramai.
Setiap kali tiba musim durian, pasti ramai orang akan membelinya dan kadang-kadang ada yang akan membuat jamuan dan pesta memakan durian.
BAU DURIAN DI BAWA KE DALAM SOLAT
Tahukah anda, buah durian yang sudah tua dan terlalu masak mengandungi alkohol. Disebabkan itulah, jika dimakan secara berlebihan, ia boleh memabukkan, malah boleh muntah kerana panas dari dalam.
Namun, menurut pandangan ulama’ seperti Mufti Indonesia, Imam Abu Hanifah dan ramai lagi, ia bukanlah alkohol yang sampai kepada hukum haram.
Menurut Imam Abu Hanifah lagi, hukum memakan durian adalah berbalik kepada hukum asal, iaitu harus dan tidak haram.
Hal ini kerana, segala jenis buah dan juga jus buah yang tidak diproses seperti arak, iaitu diperam selama tiga hari atau lebih adalah halal untuk dimakan.
Namun, perlu diingatkan untuk tidak berlebihan kerana bimbang boleh mengundang mudarat.
Hal ini ada disebut melalui firman Allah dalam kalamnya yang berbunyi:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
“Dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”
(Surah Al-A’raf, 7:31)
Malah, tidak dapat disangkal lagi bahawa terdapat banyak kebaikan dan khasiat yang akan diperoleh jika kita memakan buah durian. Hal ini telah didasari oleh beberapa buah kajian saintifik yang telah dilakukan oleh pakar-pakar pemakanan mengenai keunikan durian.
Buah durian yang dikatakan mengandungi vitamin A, C, E, B1, B2, kalsium, protein, serat, karbohidrat, kalium dan fosforus dikatakan baik untuk kesihatan dan kecantikan kulit. Malah, antioksidan yang terkandung di dalam durian tersebut boleh mencegah dan menghilangkan jerawat.
Ia juga mengandungi tryptophan yang berfungsi untuk menenangkan fikiran dan tubuh serta boleh mengubati penyakit imsonia. Vitamin B-6 yang juga terkandung di dalam buah durian mampu menghasilkan serotonin yang berfungsi untuk mencegah tekanan secara semulajadi.
Akhir sekali, ia diyakini boleh mengawal keseimbangan gula dalam darah sehingga kadar gula menjadi normal.
Walau bagaimanapun, ia tidak digalakkan dimakan oleh golongan yang mempunyai penyakit diabetis dalam jumlah yang banyak kerana ia mengandungi karbohidrat yang tinggi dalam bentuk glokosa dan fruktosa, menurut Dr Zubaidi.
Sebenarnya, banyak lagi khasiat dan manfaat durian yang diperoleh oleh para penggemar durian sehingga ia diiktiraf sebagai buah paling sedap oleh peminat durian yang fanatik.
Walau bagaimanapun, pengambilannya perlu dielakkan sebelum ingin menunaikan solat, sama ada berjemaah atau tidak.
Hal ini kerana, baunya yang boleh menganggu kekhusyukan sesiapa sahaja dalam solat. Bukankah Allah telah berpesan bahawa, apabila solat, kita perlu meletakkan dunia dan isinya di luar agar tidak mengganggu ibadah kita.
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ
الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ
Mafhum: “Dan berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.” (Surah Al-Mu’minun, 23:1-2)
Malah, dalam sebuah hadis nabi juga ada disebut bahawa mereka yang memakan benda-benda yang sangat kuat baunya perlulah dibersihkan mulutnya terlebih dahulu sebelum bersolat.
مَنْ أَكَلَ ثُومًا أَوْ بَصَلًا فَلْيَعْتَزِلْنَا أَوْ لِيَعْتَزِلْ مَسْجِدَنَا
Maksud: “Siapa memakan bawang putih atau bawang, maka jarakkanlah mereka daripada kamu atau jarakkanlah daripada masjid kami.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Menurut tafsir Al-Allam Syarh ‘Umdatul Ahkam, makruh hukumnya memakan benda-benda yang berbau jika ingin solat selepasnya. Ia bukan sahaja untuk mengelakkan daripada jemaah lain tidak terganggu, malah malaikat dan makhluk lain di dalam masjid juga.
Oleh itu, muslim dinasihatkan untuk mengelakkan diri daripada memakan durian atau makanan lain yang berbau seperti petai, bawang dan sebagainya sebelum menunaikan solat untuk mengelakkan daripada mulut yang berbau.
Inisiatif lain ialah dengan membersihkan mulut untuk menghilangkan bau seperti bersugi atau menggosok gigi dengan bersih.
Hal ini adalah untuk menjaga kesucian dan maruah diri sendiri selain memberi keselesaan kepada jemaah lain juga.
KESIMPULAN
Makan durian secara beramai-ramai adalah tidak salah, malah digalakkan untuk membantu mengeratkan silaturahim. Namun, jika dimakan secara berlebihan dan sehingga mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri atau jemaah lain, ia perlulah dielakkan.
Islam tidak melarang umatnya untuk merasa nikmat dunia, namun perlu berjaga-jaga agar tidak merosakkan ibadah diri sendiri dan orang lain.
Sumber kredit: TZKRH
VIDEO KASHOORGA:
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI