Kecoh di media sosial kisah pensyarah dari UiTM Seri Iskandar, Perak yang dilihat melontarkan kata-kata agak kasar terhadap golongan B40 atas insiden pelajar tidak mempunyai komputer walau sudah di semester 5. Walau pelajar itu dikatakan sudah tamat pengajian, ada pro dan kontra dalam isu ini dan ia mengikut apa yang kita fikirkan, sama seperti penciptaan manusia yang agak unik dengan pelbagai pemikiran.
Ini kerana penciptaan manusia berbeza dengan maklukNya yang lain kerana dilebihkan dengan pengurniaan akal fikiran dan banyak lagi. Allah SWT berfirman:-
لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).” (Surah al-Tin: 4).
Bahkan manusia itu juga dibahagi kepada tiga iaitu mereka yang berilmu, yang belajar dan yang tidak berilmu dan tidak belajar.
Saidina Ali R.A berkata:-
النَّاسُ ثَلَاثَةٌ: فَعَالِمٌ رَبَّانِيٌّ، وَمُتَعَلِّمٌ عَلَى سَبِيلِ نَجَاةٍ، وَهَمَجٌ رَعَاعٌ أَتْبَاعُ كُلِّ نَاعِقٍ، يَمِيلُونَ مَعَ كُلِّ رِيحٍ
Maksudnya: “Manusia ada tiga jenis: Seorang alim rabbani (yang takut kepada Allah SWT) dan seorang murid (pelajar) yang ingin selamat, dan selain itu rakyat jelata pengikut tiap suara seruan, condong mengikut arah angin.
Justeru, di sebalik insiden yang terjadi ini, ia mengikut apa yang kita fikirkan sama ada berilmu atau tidak.
Dalam pada itu, Pensyarah Hadis yang juga penulis terkenal, Dr Kamilin Jamilin di fbnya berkongsi satu kenangan ketika belajar di Riyadh dahulu dan bagaimana sikap Profesor yang terlalu baik di mana menyelitkan wang di dalam sampul secara diam-diam di sebalik kesusahan dilaluinya dahulu.
Ya, betapa indahnya akhlak tanpa memalukan sesiapa. Baca perkongsiannya:-
Masa saya belajar di Riyadh dulu, pernah ada masa-masa kita rasa terhimpit dengan kesempitan wang, sebab perlu menyara keluarga, bayar sewa rumah yang mahal dan sebagainya.
Beberapa kali masa saya rasa sebegitu, tiba-tiba lepas habis kelas, pensyarah saya Prof. Dr. ‘Ali al-Sayyah diam-diam meletakkan satu sampul di meja saya. Di dalamnya ada 2500 riyal! Bukan sekali! Seolah-olah beliau macam tahu apa yang pelajarnya ini rasai walaupun saya tidak pernah meminta apa-apa.
Pernah juga beliau memanggil saya ke pejabatnya dan memberikan saya beberapa peralatan komputer untuk kegunaan pengajian saya dan kata sambil tersenyum: “Ini hadiah untuk pelajar yang rajin”.
Beliau tidak pernah merendahkan sesiapa, sebaliknya sentiasa membantu dan memberi galakan yang terbaik. Akhlaknya itu membuatkan saya pernah berkata di dalam hati: “Suatu hari nanti, aku ingin menjadi pembimbing kepada pelajarku seperti guruku ini dan usaha buat kepada pelajarku seperti apa yang beliau buat kepada diriku!”.
-Dr. Kamilin Jamilin-
** Gambar laptop hadiah daripada insan istimewa di Riyadh pada tahun 2010 yang masih elok saya gunakan sampai hari ini.