Indahnya Kematian, Arwah Sempat Sebut Allah Ketika Solat Isyak Berjemaah Sebelum Rebah

Share

Tidak lewat sesaat tidak juga cepat seminit, semua Allah sudah tentukan ajal kehidupan manusia. Pengakhiran sangat indah yang juga disebut husnul khatimah dan lebih bermakna berlaku di bulan Ramadan yang mulia dan sedang bersolat Isyak.

Baca perkongsian dari Ustaz Pahrol Mohamad Juoi mengenai kejadian berlaku malam tadi saat dirinya bersolat di Masjid Nur, Jalan Seri Pagi, Bandar Saujana Utama.

Sedang imam membaca surah pada rakaat pertama di solat Isyak malam ini, tiba-tiba kedengaran seorang rebah di belakang saya dengan bunyi yang agak kuat seiring suara, “Allah!”.

Usai solat, keadaan menjadi gempar bila ada ahli jemaah yang menyeru, “ada sesiapa doktor di sini… cepat-cepat.”

Beberapa orang menerpa ke tempat kejadian dan terus memberi pertolongan cemas. Saya dengan beberapa ahli jemaah di saf pertama terus berada di tempat masing-masing sambil mendoakan kebaikan buat ahli jemaah tersebut dan terus melapangkan ruang bagi proses pengudaraan yang baik.

Beliau tidak sedarkan diri. Tangan dan tubuhnya longlai sekali. Ketika doktor menekan dadanya berkali-kali untuk membantu proses bernafas, beliau terus lemah.

Setelah tubuhnya yang tidak berdaya di usung ke belakang, doa tahlil serta solat Tarawih diteruskan. Usai solat Tarawih dengan diikuti solat witir, pengumuman dibuat yang mengatakan ahli jemaah telah pun meninggal dunia.

Saya terpegun. Sayu. Sedih. Begitu cepat dan tiba-tiba sekali Izrail menjemputnya pulang. Dan alangkah indahnya kematiannya, di rumah Allah, pada malam Ramadan yang barakah, sedang solat, serta sempat mengucapkan nama Allah. Cemburu!

Ustaz Pahrol tergerak hati merakam suasana dalam masjid sebelum beberapa saat kemudian, kematian ini terjadi.

Entah mengapa pada malam ini, saya tergerak untuk solat di Masjid Nur, Jalan Seri Pagi, Bandar Saujana Utama. Dan malam ini, isteri pula agak sihat untuk ditinggalkan seorang buat saya berjemaah di masjid.

Tentunya insiden ini bukan kebetulan. Tetapi punya tujuan, buat diri saya dan sesiapa sahaja yang berada di masjid itu, di jauh dan dekat. Cukuplah mati itu sebagai peringatan. Mengingati mati ialah zikir yang senyap….

Ketika melihat si anak duduk menangis di samping jenazah, seorang wanita (mungkin isteri) yang terburu-buru datang sambil mengalirkan air mata…saya sayu. Kami sendu.

Dan kami mendoakan Allahyarham akan tersenyum meninggalkan dunia yang penuh fitnah ini menuju alam baqa yang penuh saadah. Insya-Allah. Amin.

Gambar di bawah, saya ambil hanya beberapa ketika sebelum peristiwa itu. Entah kenapa, hati saya tergerak untuk mengabadikan sesuatu. Tanpa saya jangka, malaikat Izrail sudah pun berada di muka pintu untuk mencabut nyawa sahabat tersebut…

Innalilahi wa innailaihi rajiun. Semoga Allah mengasihani dan mengampuni rohnya. Amin.

Kematiannya yang indah…kita? Entah di mana? Entah bila? Bagaimana? Terus rahsia.

Tetapi pasti tiba!

-Pahrol Mohamad Juoi

Published by
almaswa Haji Che Ros