Indonesia Berduka, Masjid Seluruh Negara Diminta Lakukan Solat Jenazah Ghaib Untuk 53 Krew Yang Mati Syahid

Share

Tiada apa yang lebih menduka citakan apabila berita gembira yang ditunggu berakhir dengan kematian. Lebih memilukan jika jenazah ada di depan mata, kita masih boleh menatapnya walau kaku tetapi tragedi menimpa 53 anak kapal selam KRI Nanggala -402 sememangnya amat menyedihkan kerana jasad masih terkubur di dasar laut pada kedalaman 838 meter.

Kesemua mereka disahkan meninggal dunia dan dikategorikan sebagai mati syahid selepas kapal selam ini terpecah kepada tiga bahagian akibat tekanan air di dasar laut.

Dalam kes mati syahid ini, untuk pengetahuan semua, syahid terbahagi kepada tiga kategori iaitu syahid dunia yang perlu dilayani sebagai seorang syahid dan dikebumikan tanpa dimandi serta dikapan terlebih dahulu, namun ia tidak syahid di sisi ALLAH kerana tiada keikhlasan disebabkan berjuang dan mati kerana riak atau kepentingan peribadi tertentu.

Manakala syahid kedua pula adalah syahid akhirat dan jenazah perlu dikapan, dimandi dan disolatkan seperti jenazah orang Islam lain serta tergolong dalam kalangan orang meninggal dunia kerana mempertahankan keluarga, harta benda dan kampung halamannya dan jenazah akan diberi pahala syahid oleh ALLAH SWT.

Biasanya kes syahid akhirat ini melibatkan wanita yang mati ketika melahirkan anak, orang yang mati kerana sakit perut, terkena wabak taun, mati lemas dan sebagainya.
Manakala syahid dunia akhirat pula iaitu seseorang terbunuh dalam peperangan menentang musuh demi menegakkan kedaulatan agama ALLAH dengan ikhlas semata-mata bagi mencari reda-Nya.

Masjid di seluruh Indonesia diminta adakan solat jenazah ghaib

Pimpinan Pusat Dewan Masjid Indonesia (PP DMI) merakamkan takziah di atas kejadian yang menimpa kesemua anak kapal kapal selam KRI Nanggala- 402 ini.

Ditandatangan oleh Ketua Umum DMI Hm Jusuf Kalla dan Setiausaha Agung DMI H Imam Adarugutni di Jakarta hari. Dalam satu kenyataan dikeluarkan, PP DMI menyeru, mengajak dan mengharapkan keseluruhan Pimpinan DMI Wilayah, Daerah, Cawangan dan Ali DMI serta masjid di seluruh Indonesia mengadakan solat jenazah ghaib bagi kesejahteraan anak kapal yang masih terkubur di dasar laut pada kedalaman 838 meter ini.

Antara doa yang diminta termasuklah:-

  1. Melakukan solat jenazah ghaib secara berjemaah atau bersendirian iaitu pada waktu Isyak selepas solat Isyak dan sebelum solat tarawih.
  2. Mendoakan agar 53 anak kapal KRI Nanggala 402 yang gugur sebagai syuhada mendapat tempat terbaik di sisi Allah taala, Tuhan Yang Maha Esa.
  3. Mendoakan agar seluruh ahli keluarga terlibat diberi kekuatan dan ketabahan zahir dan batin serta sentiasa memperoleh rahmat dan berkah dari Allah SWT.
  4. Memohon agar pihak pemerintah memberikan perhatian kepada ahli keluarga para syuhada ini.

Sumber : TribunNews

Published by
almaswa Haji Che Ros