Selain Indonesia atau Vietnam, Korea juga menjadi destinasi pilihan untuk kaki travel. Bukan saja kerana promosi tiket murah, tetapi kerana keindahan tempat berkenaan terutama buat kaki selfie.
Biarpun bukan negara Muslim, tetapi pengunjung ke Korea mudah untuk mendapatkan makanan halal. Walau pun begitu, ada juga beberapa tempat yang perlu kita pastikan makanan dijual adalah ‘halalan tayyiban’.
Salah satu tempat yang dikatakan agak meragukan status halal makanan dijual adalah di Myeongdong Street. Walaupun banyak menjual makanan ‘halal’ di kawasan yang popular ini.
Baru-baru ini viral di media sosial apabila seorang netizen mempersoalkan mengenai status kehalalan makanan di sana.
Dalam posting dimuat naik di laman twitter, dia ternampak ‘taktik’ licik salah seorang penjual sebuan stall yang telah menyalah guna label halal ini.
Menerusia satu perkongsian video, pemilik akaun menggunakan nama @Najib_Ayub telah merakam gelagat seorang penjual yang katanya telah menaikkan signboard halal apabila ternampak ramai wanita bertudung di kawasan kedainya.
Namun begitu, peniaga ini kemudiannya bertindak turunkan semula signboard berkenaan apabila melihat pelancong dari Filipina yang datang ke kedai berkenaan.
Dalam postingnya juga dia sempat menasihatkan kepada mereka yang mahu berkunjung ke Korea supaya berhati-hatri dalam mencuba street food di sana kerana bimbang terkena dengan sikap peniaga yang mengambil kesempatan.
Malah ada antara salah satu kedai yang turut menyediakan daging khinzir namun meletakkan tanda halal di sana.
Ternyata posting ini menarik perhatian ramai warganet dan turut bersetuju bahawa makanan di Myeongdong Street tidak semuanya halal dan kebanyakannya scam pelancon Muslim.
Jadi bagi sesiapa ‘kaki travel’ yang mahu ke sana, agar lebih-lebih berhati-hati dengan soal makanan. Kita perlu peka dengan bahan-bahan dalam makanan berkenaan adakah benar-benar halal dan boleh dimakan.
Dalam pada itu, Najib ketika dihubungi oleh Harian Metro memberitahu bukan niat untuk memburukkan peniaga di situ (Korea Selatan), tetapi video dikongsi sebagai peringatan kepada rakyat Malaysia yang mahu mencari makanan halal di sana.
Menurutnya juga, video berkenaan dirakam secara spontan oleh isterinya, Nurul Nadiah Abd Aris, 28, ketika berjalan sekitar kawasan berkenaan pada waktu malam.
“Ketika berjalan di Myeongdong, saya terkejut apabila melihat papan tanda dengan logo halal diletakkan di bawah meja niaga ketika kunjungan pelancong Filipina sedangkan ia digantung di hadapan gerai sebelum itu.
“Situasi itu seolah-olah menunjukkan peniaga terbabit hanya menggantung papan tanda berlogo halal ketika kunjungan kumpulan pelancong Muslim saja sebagai taktik untuk menarik kehadiran mereka.
“Namun, tidak semua peniaga di situ bersikap begitu kerana ada juga yang jujur,” katanya lagi yang turut memberitahu ada juga segelintir warganet salah tafsir dengan perkongsian video berkenaan.
Namun dia tidak peduli kata-kata negatif berkenaan kerana hanya menjalankan tanggungjawab berkongsi pengalaman ketika melancong. Malah terserlah pada mereka yang menonton untuk buat penilaian sendiri.
“Saya selalu melancong dan pernah menetap selama tiga tahun di Dublin, Ireland sebelum pulang ke tanah air.
“Apa yang saya perhatikan, terdapat satu persamaan dalam kalangan segelintir pelancong Muslim iaitu mudah tertarik untuk membeli makanan di gerai atau restoran yang mempamerkan logo halal.
“Selain itu, ramai juga yang menaruh keyakinan tanpa was-was terhadap makanan laut dijual sedangkan sos dan minyak digunakan untuk menggorengnya belum dijamin status halalnya.
“Ada juga yang memberi alasan tidak salah memakannya kerana darurat sedangkan pilihan di tangan kita.
“Apa salahnya jika kita memeriksa terlebih dulu bahan yang digunakan, memasak sendiri dan atau membeli peralatan seperti sudu, garpu serta periuk jika ragu-ragu.
“Dalam hal ini, kita tidak boleh menyalahkan peniaga saja sebaliknya perlu berusaha mencari maklumat sebelum melancong kerana segelintir peniaga menganggap hidangan bebas alkohol dan daging khinzir termasuk dalam kategori makanan halal,” katanya.